7 Sebab Untuk Jatuh Cinta Dengan Surah A-L-A-N-B-I-Y-A’

Setiap surah punyai keistimewaan yang tersendiri yang membezakan satu surah dengan surah yang lain.

Ya, mesej Makkiyah dan Madaniyah itu kekal sama, namun bagaimana mesej itu dipersembahkan tidaklah sama.

Antara keistimewaan ibrah dari paparan surah al-Anbiya’ ;

A : Ambil jawapan dari mereka yang pakar (ayat 7)

Inilah ayat yang sering diperingatkan agar dalam apa jua isu yang dibahaskan, hendaklah merujuk kepada pakarnya. Ibrah ini selari dengan konteks ayat yang membicarakan mengenai hikmah para anbiya’ diutuskan dari kalangan manusia. Seperti yang diungkapkan Syed Qutb dalam Fi Zhilal al-Quran, pendakwah yang tidak merasakan apa-apa perasaan orang-orang yang didakwahkan dan persoalan yang bermain dalam fikiran mereka, mereka hanya berdiri di pinggiran sahaja, dakwah tidak akan bersambut kerana tiadanya hubungan yang harmoni dan timbal balas yang praktikal.

L : Lenyapnya segala keinginan dunia (ayat 35)

Kematian itu penamat kehidupan di dunia, namun hakikatnya ia hanyalah titik permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi. Inilah undang-undang Tuhan yang tidak memberi sebarang pengecualian. Inilah salah satu ayat yang jika dibacakan ke telinga sekerap yang mungkin, mampu menyentak segala keinginan membuak-buak kepada keinginan mahu hidup lebih lama di dunia hingga melupakan negeri Akhirat yang kekal abadi. Ayat yang ringkas, tetapi tegas dan puas untuk merawat penyakit al-Takathur !

A : Anak muda bernama Ibrahim ! (ayat 60)

Inilah satu-satunya ayat dalam al-Quran yang mengisyaratkan usia Nabi Ibrahim semasa melakukan dakwah kepada kaumnya. Sungguh mengejutkan apabila al-Quran merakamkan ucapan kaumnya yang memerli Baginda sebagai “budak muda yang mentah lagi fikirannya, tidak fikir panjang, terlalu bersemangat dan kebudak-budakan”.

N : Nabi Ayyub bersangka baik (ayat 83)

Dalam al-Quran, ada dua tempat Nabi Ayyub berdoa dengan doa yang dirakamkan al-Quran. Satu dalam surah ini, dua dalam surah Saad. Perhatikan dengan teliti doa yang telah dimustajabkan Allah SWT ini agar ketika diuji dengan kesakitan, kita memohon terlebih dahulu agar Allah kurniakan kesabaran menghadapi ujian sebelum tergesa-gesa memohon agar diubah takdir yang menimpa.

B : Bacalah istighfar Nabi Yunus (ayat 87)

Satu-satunya ayat al-Quran merakamkan lafaz sebenar ucapan tasbih dan istighfar Nabi Yunus sehingga dikeluarkan Allah dari musibah kegelapan dalam kegelapan perut ikan Nun.

I : Impian Nabi Zakariyya menjadi kenyataan (ayat 89)

Doa Nabi Zakariya memohon dikurniakan anak dirakamkan dengan panjang lebar dalam surah Maryam. Jika anda memilih untuk menghafal doa yang lebih pendek, boleh memilih doa baginda dalam surah ini. Lebih penting lagi, Allah ada merakamkan kualiti baginda yang menyebabkan permohonan doa baginda segera dimustajabkan !

Y : Yakjuj dan Makjuj akan menyerang (ayat 95-96)

Dari mana asal usul Yakjuj dan Makjuj, surah al-Kahfi telah memberikan isyaratnya. Namun apakah kesudahan Yakjuj dan Makjuj selepas tembok Zulqarnain itu berjaya ditembusi mereka ? Pasti ada hikmah Allah menjadikan kisah Yakjuj dan Makjuj dalam dua surah berbeza ketika kita merasakan ia boleh disekalikan sahaja.

A : Agenda utama Rasulullah SAW (ayat 107)

Satu-satunya ayat dalam al-Quran yang mengumumkan Nabi Muhammad sebagai pembawa rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengambil kira sempadan masa dan tempat. Surah yang memaparkan 16 orang nama para anbiya’ ini pasti mempunyai hikmah menutup tirainya dengan pengumuman Nabi SAW sebagai “rahmatan lil ‘alamin”.

Wallahu a’lam

Sebenarnya bukan tujuh sebab, bahkan 1001 sebab untuk jatuh cinta dengan surah ini. Namun memadailah dikongsikan tujuh sahaja sebagai pendedahan awal.

Bertemu esok insyaallah.

Syaari Ab Rahman
25 Zulqaedah 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started