Bagi Dr Umar Ali Hasan Arafat (2018) dalam kajiannya دلالة أسماء السور القرانية على محاورها وموضوعاتها, nama surah menunjukkan kualiti-kualiti yang mesti diambil teladan oleh para pendakwah ketika menyampaikan kebenaran Hari Akhirat kepada manusia iaitulah hikmah dalam berhujah dan kesabaran sepanjang menanggung beban dakwah berkenaan.
Bagi Shekh Ali Radhi Abu Zuraiq (2017) dalam kitabnya معجزة أسماء السور القرآنية, nama surah berasal dari kalimah ( نبو ) yang bermaksud ketinggian sesuatu mengatasi yang selainnya. Seolah-olah intipati surah ini ialah apa yang menyebabkan para anbiya ditinggikan kedudukan di sisi Allah berbanding manusia lain.
Seandainya surah ini dinamakan al-Anbiya’ kerana banyaknya nama para Nabi disenaraikan dalam satu surah iaitu sebanyak 16 orang, maka surah al-An’am lebih berhak dinamakan sedemikian kerana di dalamnya terdapat 18 orang nama para anbiya’.
Dalam khazanah para penyair, kalimah النبي itu kerap dimaknakan sebagai jalan yang terang lagi jelas membawa anda kepada destinasi yang anda mahukan. Mengambil kira makna ini, maka surah ini lebih tepat dinamakan al-Anbiya dan bukannya al-Rusul atau al-Mursalin kerana ia menjelaskan peraturan Allah tetapkan kepada alam dan manusia agar perjalanan mereka menuju Allah berakhir dengan keselamatan dan kemenangan.

Wallahu a’lam
Leave a comment