وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
- Inilah ayat yang menguji kita pelajar tafsir untuk menyaring pendapat-pendapat ahli tafsir yang pelbagai. Kekalkan bersikap pertengahan. Jangan belajar tafsir untuk sekadar berdebat dengan orang lain (yang mempunyai rujukan tafsir berbeza). Jangan pula belajar tafsir dengan sikap sombong lalu tidak boleh menerima teguran dan kritikan dari orang lain (yang mempunyai dalil pentafsiran yang lebih kuat).
- Ayat ini menguji sikap pertengahan kita. Jangan sekali-kali terjebak dalam Israiliyyat yang mendakwa Yusuf sudah membuka bajunya kerana terpesona (nauzubillah). Jangan pula mengquduskan Yusuf sehingga seolah-olah Baginda malaikat yang tidak ada apa-apa perasaan dalam hati kerana ini menunjukkan Baginda lelaki yang tidak normal kelelakiannya (nauzubillah).
- Al-Quran tidak bergegas membawa kita kepada adegan perlumbaan fizikal iaitu ayat seterusnya melainkan dipaparkan terlebih dahulu perlumbaan dalam hati masing-masing. Ia dijadikan satu ayat khas iaitu perihal apa dalam hati kedua-dua belah pihak.
Penggunaan perkataan هَمَّ kepada kedua-dua pihak sedangkan ia boleh disatukan sahaja menunjukkan hati Yusuf berlari ke garisan penamat yang lain dari apa yang sedang dituju oleh hati isteri al-Aziz.
Halus pemilihan perkataan al-Quran dan halus pula bagaimana ia disusun kerana perihal dalam hati ialah perihal yang sangat halus, hanya Yang Maha Halus Pengetahuan sahaja mampu melakukan sesuatu yang tidak akan mampu dilakukan sejarawan. Sejarawan mana boleh faktakan apa dalam hati manusia !
- Ayat ini merakamkan apa dalam hati Yusuf dan isteri al-Aziz. Itulah rakaman yang sama dalam buku catatan amalan kita membabitkan perihal dalam hati kita. Inilah dua makna “al-Kitab” perlu kita faham. Kisah-kisah orang terdahulu dalam al-Kitab (al-Quran) juga menjelaskan kisah kita kelak dalam al-Kitab (buku catatan amalan).
Peliharalah apa yang datang dalam hati kita kerana Allah tahu siapa yang berdosa dalam hatinya sebelum diterjemahkan dalam bentuk tindakan. ( وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ – al-Baqarah, ayat 283), namun ayat 285 diturunkan kepada para Sahabat yang kerana taqwa mereka sangat resah gelisah dengan persoalan adakah lintasan hati juga akan dipertanggungjawab dan disoal di Akhirat nanti)
- Ramadhan datang agar kita dilatih untuk رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ Allah semasa diuji. Apa yang berlaku kepada kita mukmin barangkali tidak akan difahami dan dipertikaikan mereka yang belum Muslim.
Pizza enak di hadapan mata memang halal untuk dimakan, namun mengapa tidak dipandang semasa siang Ramadhan ? Inilah tarbiyah agar apabila engkau diuji dengan perempuan atau lelaki cantik di hadapan matamu, atau wang ringgit suapan dihulur kepadamu, engkau melihat “burhan” Allah.
- Mukmin itu ada dua mata ketika kafir hanya ada satu mata. Mata hatilah yang membezakan kita dengan mereka.
Itulah “mata” yang menyebabkan Yusuf melihat isteri al-Aziz sebagai godaan yang menjijikkan dan menghinakan. Itulah “mata” yang diperolehi dalam solat yang menyebabkan Syuaib a.s. melihat wang yang diperolehi dengan cara penindasan bakal mengundang bencana besar dari Allah ( قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ – Surah Hud, ayat 87)
- “Mata” inilah yang tidak diperolehi oleh kafir kerana mata mereka hanya melihat yang zahir sahaja sedangkan mukmin melihat adanya yang batin iaitu “burhan” dari Tuhannya ( يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِّنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ – al-Ruum, ayat 8 ) dan setakat itu sahajalah ilmu yang mereka ada ( ذَٰلِكَ مَبْلَغُهُم مِّنَ الْعِلْمِ ۚ- al-Najm, ayat 30)
- Mukmin melihat adanya kehebatan dan keindahan yang mahu Allah beri di sebalik setiap ujian mereka apabila melihat perempuan atau lelaki yang cantik tetapi tidak beriman. ( وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ ۗ أُولَٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ – al-Baqarah, ayat 221)
- Kalimah الْمُخْلَصِينَ berada dalam konteks ujian perzinaan menjelaskan rezeki Allah iaitu keikhlasan kepada Nabi Yusuf dan tidak sekali-kali mendatangkan alasan untuk diheret ke lembah perzinaan menghinakan itu.
Yusuf direzekikan Allah keikhlasan apabila baginda memilih untuk melihat ke arah “burhan” Allah dan bukannya melihat ke arah isteri al-Aziz ketika 1001 alasan boleh dibisikkan Syaitan kepada Baginda untuk menghalalkan perbuatan berkenaan.
Kita perlu berusaha dahulu agar Allah beri perlindungan, kemudian barulah bertawakkal kepada Allah dan menunggu turunnya bantuan dan rezeki dari-Nya.
- Berusaha dahulu menjadi mereka yang bersikap ihsan lalu dikurniakan Allah rezeqi “hukman” dan “ilman” menunjukkan pertalian rapat ayat ini dengan ayat 22 ( وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ )
- Hadis-hadis Nabi sentiasa mentafsirkan ayat-ayat al-Quran, bahkan menyerlah dan mengukuhkan munasabah ayat atau munasabah kalimah yang mungkin tidak kelihatan sebelum ini. Ihsan ialah engkau beribadah seumpama melihat Allah iaitu “burhan” Allah. Inilah kekuatan Yusuf ketika diuji.
Namun seandainya kita tidak sekuat Yusuf, berpegangkan definisi kedua dari Nabi SAW iaitu beribadah dengan keyakinan Allah melihat ke arah kita.
Jangan sempitkan maksud ibadah dan kehambaan kerana ayat ini juga menjelaskan makna menjadi hamba Allah.
( Sahih Bukhari : قَالَ مَا الإِحْسَانُ قَالَ ” أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ ” )
- Kalimah الْمُخْلَصِينَ menunjukkan Yusuf menjadi benar-benar hamba Allah semasa dikepung oleh isteri al-Aziz agar Baginda memperhambakan dirinya kepada kemahuan isteri al-Aziz yang mempertuhan hawa nafsu.
- Kita sangat mahu anak membesar dengan rezeki bersifat harta atau ilmu atau kedudukan atau keluarga yang lebih baik dari kita. Kita lupa rezeqi yang lebih utama kita mohon kepada anak kita ialah apa yang direzeqikan Allah kepada Yusuf iaitu kebencian kepada dosa dan maksiat atas pilihannya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa. ( وَلَٰكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ – al-Hujurat, ayat 7)
- Kita terlupa rezeqi Allah yang sangat penting untuk kita minta dari Allah ialah pendinding dari was was Syaitan yang telah berjaya menyebabkan ayah dan ibu kita tertanggal pakaian syurga mereka dahulu ( فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ – Taha, ayat 121)
- Seorang Rasul diuji dengan ujian berat. Baginda menganggap ia ujian dari Allah. Mereka yang meneruskan tugas para Rasul jangan sangka kita tidak diuji. Ketinggian ilmu seorang ulama boleh sahaja diuji Allah dengan pelbagai bentuk ujian. ( فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ – al-Najm, ayat 32)
Syaari Ab Rahman
9 Syawal 1441 H
Bangi
Leave a comment