RESEENSI BUKU: TADABBUR SURAH AL-ANFAL

RAMAI YANG BERTANYA SEMASA SESI “LIVE” PAGI TADI, MAKA INILAH BUKUNYA.

SINOPSIS BUKU 17 RAMADHAN
“TADABBUR SURAH AL-ANFAAL”
Penulis : Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Muhammad Mukhlis Yunus
Terbitan : Centre of Quranic Research – CQR, Universiti Malaya

Antara model karya tadabbur surah yang mesti diketengahkan sebagai pengisian gelombang tadabbur al-Quran pada masa kini.

Saya melihat karya ini berusaha memenuhi aspirasi tafsir bil ma’thur dan bil ra’yi.

Mereka yang berkecimpung dengan dunia tafsir akan mendapati karya ini dihasilkan penulis yang sangat matang dengan pelbagai ittijah (pendekatan dan kecenderungan) ahli-ahli tafsir zaman-berzaman, lalu penulis mengambil manhaj-manhaj yang terbaik, “buang yang keruh ambil yang jernih” lalu satu sampel dipersembahkan kepada masyarakat iaitu surah al-Anfaal.

Mengapa al-Anfaal ?

Kombinasi unsur Makkiah dan Madaniah yang seimbang dibentangkan dalam satu surah.

Bagaimana pendekatan penulisan ?

Setiap ayat akan ditunaikan hak-hak tafsir seperti keterangan mufradat (makna perkataan), asbab al-nuzul, munasabah ayat (kepada ayat-ayat yang tiada asbab al-nuzul), ulasan ayat (kenyataan imam-imam mufassirin yang terbaik pada menjelaskan makna ayat).

Kemudian ditunaikan pula hak-hak tadabbur seperti pengajaran ayat, hubungan ayat ini dengan realiti semasa, isu-isu salah tafsiran dan isu-isu kemasyarakatan yang sering terjadi yang mempunyai kaitan langsung dan tidak langsung dengan ayat.

Dalam bahagian kedua iaitu hak-hak tadabbur inilah, kekadang pembaca boleh tersentak dan “dipukul-pukul”.

Kelihatan corak pembumian pengajaran mirip pendekatan Buya Hamka, namun penulis memaparkan sisi pandang yang kekadang tidak kita duga.

Sekaligus membuktikan al-Quran yang turun 1,400 tahun dahulu, sentiasa menawarkan peringatan yang kekal releven dan mustahak diberikan perhatian oleh umat manusia.

Untuk makluman, karya tafsir surah yang mengandungi 75 ayat dan setebal lebih 400 halaman ini membuka tirai dengan perbahasan mengenai syarat-syarat dan kaedah-kaedah tadabbur al-Quran.

Pasti ada sebab mengapa penulis yang sangat senior dengan dunia pentafsiran al-Quran menyentuh isu ini sehingga mencecah 20 halaman.

Paling penting kekuatan buku ini bagi saya ialah penulisan yang memelihara hukum-hakam bahasa Melayu yang baik.

Isteri saya – selepas membaca sepertiga buku ini – mencadangkan agar dijadikan surah ini sebagai surah kedua selepas al-Mulk untuk saya daurahkan secara online.

“Sampai bila abang mahu daurahkan surah-surah popular sahaja dalam pengamalan masyarakat.” Tersentaklah saya penuh keinsafan.

Dalam fikiran saya, mungkin surah ini menjadi surah pilihan tadabbur dari ayat ke ayat sepanjang Ramadhan tahun hadapan (inshaallah jika masih diberi nyawa oleh Allah) berpandukan sepenuhnya karya ini.

Karya ini mesti dibeli dan diperolehi terlebih dahulu agar rancak perbincangannya nanti.

Sebagaimana surah Yusuf memaparkan satu isu iaitu kisah Nabi Yusuf, maka surah al-Anfaal juga memaparkan satu isu iaitu perang Badar.

Isunya hanyalah perspektif apa mahu digunapakai ketika berinteraksi dengan surah ini, dan al-Quran itu sendiri.

Perang Badar, kita sudah terlalu kerap membaca pelbagai kitab-kitab sirah yang menjelaskan “apa”, “bila”, “di mana”.

Tiba masanya kita kembali membelek nas-nas al-Quran itu sendiri untuk menjawab persoalan-persoalan yang tidak sebatas “apa, bila dan di mana”.

Pembentangan al-Quran yang tidak bersifat kronologikal pasti mengusik jiwa yang sudah sebati dengan sentuhan ahli sejarah.

Apakah fakta yang dibentangkan al-Quran yang jarang kita ketahui ? Itu satu perkara.

Bagaimanakah fakta itu diungkapkan dan disusun dari satu ayat ke ayat ? Itu satu perkara.

Kedua-duanya menakjubkan bagi mereka yang melakukan tadabbur.

Mesej-mesej al-Quran meskipun pelbagai surah dengan pelbagai tema, ada surah perang, ada surah damai, hanya yang menyempurnakan hak-hak tadabbur akan menemui konsistensi dalam pesan-pesan al-Quran.

Setengah kita beranggapan surah al-Anfaal ialah surah perang Badar. Satu-satunya liputan terperinci dalam al-Quran yang tidak disentuh dengan padat dan lumat dalam 113 surah selainnya.

Namun, tadabbur jualah akan membawa kita antara pesan-pesan konsisten dalam surah ini, ditegaskan dalam surah ini sebagaimana dalam surah-surah yang lain ialah membebaskan diri dari fitnah harta dan materialistik.

Saya mesej Dato’ Prof. Dr. Zulkifli Yusuf, penulis karya ini dan “mahaguru” bidang tafsir al-Quran, agar ustaz sudilah mendoakan akan ada pasukan yang dapat kembangkan methodologi tafsir seperti dipersembahkan dalam karya tahun 2016 ini kepada keseluruhan al-Quran.

Syaari Ab Rahman
Mendamba Doa Para Pentadabbur al-Quran
17 Ramadhan 1441
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started