TIADA SATU HURUF PUN DALAM AL-QURAN MELAINKAN MEMPUNYAI TUJUAN DAN DIATUR PULA OLEH YANG MAHA TELITI DAN MAHA HALUS PENGETAHUANNYA

TIADA SATU HURUF PUN DALAM AL-QURAN MELAINKAN MEMPUNYAI TUJUAN DAN DIATUR PULA OLEH YANG MAHA TELITI DAN MAHA HALUS PENGETAHUANNYA

Semasa sesi tafsir tahlili ayat pertama surah al-Kahfi bersama Prof. Madya. Dr Abdul Aziz kelmarin, ada rakan bertanya beliau mengenai pengalamannya pernah dengar huruf ba’ sahaja ada 8 tafsiran.

Terus saya tangkap buku ini.

Sebuah pencerahan dari Prof. Dr. Nashrudin Baidan mengenai besarnya implikasi huruf “jar” dalam pentafsiran al-Quran, yang kebanyakan dari implikasi dari huruf-huruf ini tidak mampu ditunaikan haknya dalam kebanyakan penterjemahan al-Quran.

Jika kita memilih tadabbur yang mendalam, maka aspek kefahaman mengenai implikasi setiap huruf “jar” sebaiknya diketahui.

Huruf “jar” dalam bahasa Arab ada 20 kalimah kesemuanya, namun hanya 8 sahaja yang sering muncul dalam al-Quran.

Apa yang menarik, penulis mengemukakan sampel-sampel ayat dari surah-surah yang sudah melekat dalam kepala iaitu juzuk ‘Amma.

Dalam juzuk ‘Amma, ditemui ada 347 kalimah huruf “jar”.

Tidak dibahaskan penulis 31 kalimah darinya iaitu “waw” sumpah kerana ia tidak menjadi permasalahan utama kajiannya.

Kajian juga menemui tiada ada satu surah pun dari 37 surah juzuk ‘Amma melainkan akan mempunyai huruf “jar”, sekurang-kurangnya dua kalimah.

Surah paling banyak huruf “jar” ?

Dijuarai surah al-Muthafifin iaitu 27 kalimah.

Kajian juga menemui huruf “jar” memainkan peranan sangat penting pada menentukan makna frasa dan ayat sehingga seseorang yang tidak mengendahkan maksud dan implikasi dari huruf “jar” berkenaan boleh melakukan kesalahan atau kekeliruan dalam proses memahami ayat-ayat Allah.

Semoga ada ruang esok untuk saya kongsikan “live” beberapa contoh dari implikasi huruf “jar” yang tiada dalam terjemahan.

Sekaligus ia sebagai satu lagi Sinopsis Buku sepanjang Ramadhan saya, inshaallah.

Syaari Ab Rahman
15 Ramadhan 1441 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started