KERANA ADANYA ANCAMAN NYAWA, PEMUDA AL-KAHFI MENCARI TEMPAT PERLINDUNGAN DAN MENELITI LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN DIRI MEREKA

Mereka menuju ke gua kerana adanya ancaman ke atas nyawa mereka jika terus berada di luar sana.

‎إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”. (Al-Kahfi, 18 : 20)

Kalimah “sesungguhnya” di awal ayat menjelaskan ancaman nyawa itu bukanlah penilaian “atas angin”, bahkan benar-benar jelas kelihatan iaitu kemahuan pemerintah pada waktu itu untuk membunuh pemuda al-Kahfi dengan merejam !

Adakah kita mahu mengatakan pemuda-pemuda al-Kahfi tidak takutkan Allah SWT, bahkan takutkan pemerintah atau manusia di sekelilingnya ?

Pemuda al-Kahfi yang kita baca itu bukanlah pemuda yang bersemangat membuta tuli lalu melaungkan sedia mati di jalan Allah tanpa berfikir panjang mengenai masa depan agama ini. Bahkan kisah mereka mengajar kita mengapa para Sahabat diminta Nabi SAW berhijrah ke Habsyah dan mengapa Nabi SAW berhijrah ke Yathrib.

‎! نفر من قدر اللَّه إلى قدر اللَّه

Bacalah ayat sebelumnya yang menjelaskan mereka sangat teliti dengan “step by step” yang perlu diambil, jelas setiap inci langkah-langkah pencegahan dari bahaya yang bakal menimpa.

Al-Quran tidak pernah sia-sia walau satu kalimah, termasuklah satu ayat mengenai apa yang dipesan kepada utusan pemuda al-Kahfi.

Everything, even small, may have a great purpose!

Yang diutuskan untuk mendapatkan makanan diberikan pesan dengan lima pesanan sekaligus.

Pertamanya, mestilah beramanah dengan duit (tunai) yang diberikan ( فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ ).

Keduanya, mestilah mengetahui selok-belok bandar iaitu lokasi kedai makanan dan paling mengetahui pula halal haram sesuatu makanan ( فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا ).

Ketiganya, hendaklah jangan boros berbelanja semasa membeli makanan yang boleh menyebabkan pembaziran dan biarlah datang dengan sedikit rezeki tetapi diberkati ( فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ ).

Keempatnya, janganlah cepat emosional dengan kesyirikan manusia bahkan sentiasalah berlemah-lembut apabila bercakap dengan mereka ( وَلْيَتَلَطَّفْ ).

Kelimanya, seandainya tertangkap, maka janganlah menyebabkan sesiapa pun menyedari tentang lokasi persembunyian walau apapun terjadi ( وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ).

Jangan ada sebarang kesilapan pada mana-mana langkah.

Kalau lima pesanan ini bukan dinamakan pelan bertindak yang strategik atau pelan pencegahan dari bahaya, mahu namakan apa ? Sungguh pemuda al-Kahfi mengajar keseimbangan keselamatan tubuh dan keselamatan ruh sekaligus.

Perhatikanlah kesan apabila mereka meneliti segala aspek untuk keselamatan diri mereka agar selamatlah agama dalam hati mereka, akhirnya Allah SWT “mengambilalih” urusan memelihara keselamatan diri mereka sepanjang 309 tahun itu !

Sesungguhnya kisah mereka mengajar kita salah satu dari maqasid syariah selepas menjaga agama ialah menjaga nyawa, kita dan selain kita. Apabila nyawa jelas terancam, carilah jalan untuk memeliharanya.

Seperti yang diungkapkan oleh al-Saadi r.h ketika mentafsirkan ayat 20 berkenaan, ayat itu menjelaskan betapa mendalamnya kecintaan mereka kepada agama ini, besarnya harapan mereka agar agama ini dianugerahkan kemenangan ke atas kekufuran, lalu tindakan yang mereka ambil ialah mengelakkan dari apa-apa fitnah yang boleh menimpa agama seperti diseksa dan dipaksa untuk murtad.

Pemuda-pemuda itu boleh memilih jalan menyembunyikan keimanan, namun itu bukan pilihan mereka.

Mereka menemui jalan lain yang tidak memerlukan mereka melafazkan kalimah kufur sedangkan hati kekal beriman. Para pemuda diikat hati mereka oleh Allah SWT untuk beriltizam kepada jalan dan strategi tersebut, maka Allah SWT mengilhamkan mereka ke gua dan menambah petunjuk kepada mereka.

Adakah mereka yang berdegil mahu teruskan solat Jumaat atau solat berjemaah di masjid-masjid di waktu kritikal ini berfikiran jangka panjang seperti pemuda al-Kahfi ketika membaca ayat ini ?

‎فَأَتْبَعَ سَبَبًا

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Syaari Ab Rahman
Jumaat, 25 Rejab 1441 H / 20 Mac 2020
Hari 3 Perintah Kawalan Pergerakan
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started