Selepas Ensiklopedia Tafsir Maudhuie Surah dari Universiti Sharjah, satu persatu karya dari para asatizah dan ulama UAE mengembangkan legasi yang ditinggalkan pasukan Prof. Mustafa Muslim berkenaan.
Menerusi karya “Ruh al-Quran”, Ahmad Al-Wattary berusaha membongkar sisi kemukjizatan al-Quran dari sudut maqasid dan kesatuan tema surah-surahnya serta keunikan setiap intipati dan “ruh” setiap surah.
Dalam muqaddimah, beliau menjelaskan bahawa ilmu maqasid surah dan kesatuan tema ini ( انتقال من فهم الجزء الى الكل ) bukanlah perkara baru dalam dunia tafsir, bahkan “buah” kepada pelbagai bentuk tafsir tahlili yang telah dilakukan dengan penuh juhud dari para ulama dari ummat Nabi Muhammad SAW sejak masa lampau.

Dalam karya kali ini beliau memilih 10 surah iaitu tujuh dari “keluarga” surah Hawameem (bermula dengan Haa Mim) dan tiga surah selepasnya iaitu Muhammad (SAW), Al-Fath dan Al-Hujurat.
Ahmad al-Wattary merumuskan bahawa kesemua tujuh surah Hawameem bermatlamatkan (maqasid am) seruan kepada ummat manusia agar beriman sepenuhnya kepada kitab terakhir yang menutup sekalian risalah para Rasul hingga hari Kiamat, iaitulah al-Quran.
Lebih menarik lagi, disediakan “mind map” di penghujung setiap bab iaitu surah-surah yang dikupas.





















Di penghujung karya lebih 400 halaman ini, penulis mengembali dan menegaskan keselarian maqasid-maqasid surah-surah Hawameem dan tiga surah selepasnya kepada maqasid umum penurunan al-Quran.
Penulis memilih ayat terakhir surah al-Kahfi sebagai pesan paling sempurna dari Allah SWT mengenai tujuan penurunan al-Quran kepada manusia. Setiap surah ada keindahan yang tersendiri, menakjubkan dan seni huraian yang unik dan tinggi, namun ia tidak akan lari dari asas yang diletakkan pada ayat 110 surah al-Kahfi ini.
Semua pencinta ilmu Maqasid Surah dan Kesatuan Tema Surah serta pencinta “keluarga” surah Hawameem sangat digalakkan memiliki dan menelaah karya ini.
Terima kasih ustaz Ahmad Syihan Ismail kerana mengurus penghantarannya ke maktabah MSNS.
Leave a comment