MERAWAT ASABIYYAH DENGAN SURAH AL-HUJURAT

“Surah ini satu surah yang besar. Ia hampir-hampir merupakan satu-satunya surah yang melukis sebuah alam dengan ciri-ciri masyarakatnya yang bersih, luhur dan sejahtera. Ia mendedahkan hakikat-hakikat agung jauh ke dalam lubuk hati manusia dengan hanya menggunakan lapan belas ayat sahaja!” – Syed Qutb r.h., Fi Zhilal al-Quran

Selepas proses membelek beberapa tafsir dan membaca berulang kali, baru terasa keindahan perjalanan surah al-Hujurat.

Seakan-akan mesej utama surah ini terletak pada ayat 9 iaitu mencegah percakaran, perpecahan dan lebih buruk lagi, pertumpahan darah sesama kaum Muslimin sehingga lupa musuh yang lebih utama.

Dikukuhkan pula dengan mesej dua surah sebelumnya yang menjelaskan dengan siapa seharusnya diumumkan perang dan dengan siapa seharusnya diumumkan berdamai, jangan sampai terkeliru, yang patut berkawan kita lawan, yang patut berlawan kita berkawan.

Ayat 1 hingga 5 memaparkan satu isu yang terjadi masa lampau yang dijadikan Allah SWT sebagai ruang terbaik menurunkan teguran dan peringatan. Sikap sekumpulan Arab Badwi yang kasar, kurang beradab dan memandang rendah para Sahabat semasa menemui Rasulullah SAW dijadikan isu pertama surah ini kerana mudahnya manusia ini belajar sesuatu menerusi kisah dan peristiwa.

Sikap tidak beradab dengan Rasul, memandang rendah orang lain dan merasakan diri lebih baik seperti inilah sebenarnya “bom jangka” yang akan mengheret kepada kekeruhan, permusuhan dan pertumpahan darah.

Kemudian datanglah ayat 6 hingga 10 iaitu seakan-akan mesej utama surah ini yang menyebabkan ia diapit surah peperangan, Muhammad ( صلى الله عليه وسلم ) dan surah perdamaian, al-Fath.

Betapa banyak salah faham, perpecahan dan permusuhan berlaku akibat dari propaganda dan rencana orang-orang fasiq dalam selimut umat Islam dan sikap umat Islam sendiri yang gelojoh dan tidak bersabar, berfikir panjang sebelum mengambil apa-apa pendirian dan keputusan.

Tanpa pendamai dan penghukum yang adil, keadaan akan semakin genting. Lebih kritikal lagi apabila masing-masing mendakwa kebenaran di pihaknya dan tidak di pihak satu lagi, sedangkan mereka lupa meletakkan neraca menilai yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan itu mestilah dengan neraca al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana ditegaskan ayat pertama surah ini.

Kemudian datanglah ayat 11 hingga 13 tepat pada masanya. Ketakutan pada risiko perkelahian sesama umat Islam menyebabkan masing-masing perlu bergegas mencari ubat dan pelan pencegahan.

Rupa-rupanya perkelahian dan permusuhan itu bermula dari sekecil-kecil perbuatan mulut yang tidak bertaqwa, dan perbuatan mulut itu pula ada sumbernya iaitu prasangka dan prejudis yang dibisikkan Syaitan. Hati yang bertaqwa itulah solusi pencegahan terbaik dari Tuhan.

Kemudian datanglah ayat 14 hingga 18 yang kelihatan mengungkit semula unsur penceritaan karenah kumpulan-kumpulan Arab Badwi. Kalau ayat 4 membabitkan Bani Tamim, kali ini ayat 14 babitkan Bani Asad.

Kedua-dua kabilah merasakan mereka ada kelebihan yang mesti diraikan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Sungguh tiada makna menjadi Arab kalau Arab itu tidak mengamalkan Islam.

Pesan-pesan Ilahi di bahagian penutup surah lebih universal dan ditujukan kepada semua orang beriman hingga hari Kiamat. Ditegaskan bahawa Islam itu hanya permulaan, namun destinasi seterusnya ialah iman. Iman itu ialah mengamalkan seluruh yang diperintahkan dalam surah ini.

Surah ditutup dengan sebuah keinsafan bahawa Ilmu Allah Maha Sempurna, Dia Maha Melihat perihal umat yang diuji dengan kasar bahasa, buruk sangka, mula mengata, menghasut dan menyemarakkan api asabiyyah ini akan berulang dan terus berulang.

Jika bukan sistem yang ditetapkan Yang Maha Pencipta alam semesta yang penuh kekemasan dan kestabilan tanpa perlanggaran, maka sistem apa yang mahu dirujuk untuk membina kestabilan hidup bermasyarakat dan mengemaskan kesatuan ummah ?

إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Syaari Ab Rahman
14 Jamadil Akhir 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started