GETIRNYA PERJUANGAN MEMERDEKAKAN AQIDAH DAN PEMIKIRAN

Firman Allah SWT :

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَّهُمْ ۚ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَّنَا إِلَٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. (Al-A’raaf, 7 : 138)

  1. Sepatutnya merekalah (Bani Israil) mempunyai iman setinggi gunung, lalu merekalah yang memusnahkan berhala-berhala berkenaan kerana meyakini Allah SWT bersama mereka selepas terbenamnya regim Firaun di Laut Merah dengan segenap mukjizat yang berlaku sebelum itu.

Namun, sikap nifaq mereka sangat di luar dugaan. Sikap mereka tidak ubah seperti sikap kafir Quraish yang kekal menyembah berhala selepas Allah SWT menyelamatkan Makkah dari tentera bergajah. Sebab itu surah ini surah Makkiyah meskipun memaparkan kisah Bani Israil. (Fadhl Hasan Abbas)

  1. Kini Musa AS tidak lagi berdepan dengan si Thaghut Firaun dan pembesarnya, tapi “jiwa manusia” yang dikarati dengan keladak-keladak jahiliah yang telah lama merosakkan tabiat Bani Israel. Di bawah penjajahan Firaun, jiwa mereka telah rosak dan fitrah mereka telah lama menyeleweng.

Kita bakal melihat penatnya Musa AS membaiki keadaan mereka yang terlalu cintakan dunia, sehingga mereka tidak mahu bangkit dari kotor dan busuknya lumpur dunia yang mereka minta, mereka mahu kekal bergelumang di dalamnya. Inilah babak yang menonjolkan jangkitan kuman yang menyerang jiwa serta tubuh badan mereka, tetapi ia takkan berjangkit melainkan tubuh yang bersedia menerimanya.

Allah SWT sedang paparkan dengan tepat, halus dan amanah mengenai situasi tabiat sebuah generasi manusia yang lemah, baru sahaja dapat hidayah, kembali sesat pula. Baru sebentar naik, tiba tiba terjatuh pula. Baru sebentar di atas jalan yang lurus, berpatah balik dan berpusing semula ke belakang. Hati yang lebih keras dari batu ! (Syed Qutb)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started