INDAHNYA CARA ALLAH MENDIDIK RASULULLAH SAW MENERUSI EMPAT PERINGKAT PENGKISAHAN NABI YUNUS AS

Nabi Yunus AS diperkenalkan kepada Rasulullah SAW secara berperingkat-peringkat, bersesuaian dengan cabaran semasa Baginda SAW di Makkah.

Ada empat peringkat penceritaan kesemuanya iaitu empat surah.

Setiap peringkat atau surah menawarkan uslub penceritaan yang menakjubkan.

  1. SURAH AL-QALAM (surah kedua berdasarkan penurunan, awal Makkiah) memaparkan secara ringkas mengenai Nabi Yunus AS yang diliputi kemarahan kepada kaumnya, kemudian diberikan nikmat keselamatan iaitu dicampakkan ke tanah tandus selepas terperangkap lama dalam ikan.

Menariknya, ayat ini tidak tergesa-gesa menyebut nama Nabi Yunus kerana mesej ayat ini agar Rasulullah SAW jangan tergesa-gesa mengharapkan kaumnya beriman.

Surah ini menamakan Nabi Yunus sebagai “Sohib al-Hut”.

  1. SURAH YUNUS (surah ke-51 berdasarkan penurunan, tengah-tengah fasa dakwah diperangi Quraish) memaparkan fakta baru yang tidak disebut dalam al-Qalam.

Iaitulah keimanan kaum Yunus yang telah menyebabkan mereka tidak ditimpa azab.

Seolah-olah memugar semangat Nabi SAW berdakwah kerana adanya kaum terdahulu yang beriman dan bertaubat.

  1. SURAH AL-SAFFAT (surah ke 56 berdasarkan penurunan, tengah-tengah fasa dakwah diperangi Quraish habis-habisan) memaparkan fakta baru yang tidak disebut dalam al-Qalam dan Yunus.

Al-Qalam tidak menyebut nama dan apa sebenarnya terjadi sebelum dicampakkan, maka al-Saffat menjelaskan perjalanan baginda meninggalkan kaumnya lalu menaiki kapal penuh muatan, lalu diundi untuk dihumban ke dalam lautan.

Seolah-olah mengingatkan Nabi SAW agar tidak sekali-kali bertindak meninggalkan kaumnya selagi belum datang perintah Allah SWT.

Surah Yunus menyebut kaumnya beriman dan diberi kesenangan ke satu tempoh, al-Saffat memperincikan proses ‘itab (teguran halus) yang berlaku kepada Nabi Yunus AS sebelum dikembalikan kepada kaumnya.

Surah Yunus menyebut kaumnya beriman, al-Saffat memperincikan jumlah penduduk yang beriman berkenaan.

Seakan-akan mengisyaratkan besarnya jumlah bakal Sahabat dan kaum Muslimin yang beriman dengan ajaran Nabi SAW satu ketika nanti.

  1. SURAH AL-ANBIYA’ (surah ke 73 berdasarkan penurunan, fasa tiga tahun terakhir dakwah di Makkah) memaparkan fakta baru yang tidak disebut dalam al-Qalam, Yunus dan al-Saffat.

Iaitulah tasbih apakah yang dilafazkan baginda dalam perut ikan sehingga ajaibnya cara Allah menyelamatkan baginda semasa dan selepas berada dalam kegelapan perut ikan di kegelapan dasar lautan di kegelapan malam.

Seolah-olah peringatan agar Nabi SAW kekal bertasbih kepada Allah SWT agar Allah merezeqikan Baginda SAW jalan keluar kepada kebuntuan gerakerja dakwah yang sedang berlaku dan memberi kekuatan kepada Baginda.

Lebih menarik, surah ini menamakan baginda dengan gelaran baru, “za al-Nun” !

Ajaib penerangan dan penceritaan al-Quran.

Bukti seterusnya tiada “pengulangan” dalam al-Quran kerana Allah SWT mencipta kebosanan pada insan, Dialah juga mencipta kenikmatan untuk insan.

Allahu Akbar !

Terima kasih almarhum Shekh Dr Fadhl Hasan Abbas dan karya uniknya, Qasas al-Quran al-Karim.

Syaari Ab Rahman
12 Jamadil Akhir 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started