BILA FATIHAH “EXCITED” BACA KISAH NABI ADAM AS DAN NABI LUTH AS

Tidak mudah meraih buku-buku cerita Nabi-nabi untuk kanak-kanak yang “bersih” dari jarum-jarum Kristianisasi.

Jika ada pun, belum tentu buku-buku itu mendahulukan fakta-fakta yang sahih bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah serta kupasan tadabbur para ulama yang berhati-hati dengan riwayat-riwayat Israiliyyat dan yang tidak diketahui asal usul kisah berkenaan.

Jika ada sekalipun, belum tentu benar-benar sesuai untuk bacaan terus kanak-kanak tanpa perlu ayah ibu menerangkan semula maksud-maksud dari buku-buku berkategori bacaan kanak-kanak berkenaan.

“Sahih” satu perkara.

“Sampai” satu perkara.

Banyak informasi buku “sampai” pada minda anak-anak, tapi tidak sahih.

Banyak informasi buku “sahih” belaka, tapi tak sampai pada minda anak-anak.

Alhamdulillah, unsur “otak kanan” yang ditampilkan buku ini menyebabkan anakanda Fatihah Wajihah telah menamatkan bacaan pada malam yang sama dia diberitahu ketibaan buku-buku ini.

Tidak dapat dinafikan ada juga unsur-unsur “subliminal” yang positif menerusi aktiviti mewarna dan peta-peta yang ditampilkan dalam buku ini. Ia membantu anak-anak “memaku” dengan lebih kemas fakta-fakta dan ibrah-ibrah penting dari satu-satu kisah dalam fakulti minda mereka.

“Abi, mana negara Israil dalam peta mewarna ni ?”

“Jauhnya Nabi Luth berjalan untuk berdakwah, Abi.”

Sungguh “excited” beliau mahu berkongsi kepada kakak-kakaknya di Suri Rumah Membaca.

Lebih penting dari itu, semoga buku ini jadi silibus mengajar kisah-kisah anbiya di tadika-tadika dan sekolah-sekolah.

Jangan paksa anak-anak dengar segmen “Ibrah” IKIM saya dahulu. Bukan semuanya boleh memahami apa yang disampaikan.

Ibrah berbentuk gambar dan aktiviti dalam buku ini kelihatannya banyak membantu “tadabbur” peringkat kanak-kanak.

Tahniah murid-murid Shekh Dr Solah al-Khalidi kerana berbakti meremajakan penulisan-penulisan “Al-Qasas Al-Qurani” nukilan Shekh Solah.

Tahniah ustazah Farah Aisyah Ahmad dan ustazah Wan Nur Syakira Wan Musa !

Tahniah Ikon Syabab !

“If you can’t explain it to a six year old, you don’t understand it yourself.” ― Albert Einstein.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started