BERSAMA “MAQASID” SURAH YUNUS

Firman Allah SWT :

فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ آمَنَتْ فَنَفَعَهَا إِيمَانُهَا إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ لَمَّا آمَنُوا كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ

(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan). (Yunus, 10 : 98)

Ayat ini menjadi sebab dinamakan Allah SWT surah ini.

Ayat ini menceritakan mengenai besarnya kedudukan iman dan kepentingannya pada mengelakkan azab Allah SWT di dunia dan di Akhirat.

Betapa hidup penuh kesenangan dan kemewahan sangat mendedahkan seseorang kepada sikap menangguhkan iman dan melengah-lengahkan taubat.

Sangat menarik apabila ayat 22-23, Allah SWT memaparkan sikap mudah alpanya manusia apabila diselamatkan Allah SWT dari mati tenggelam di lautan semasa menaiki bahtera. Bersesuaian dengan nama surah yang mengingatkan kita kepada sikap Nabi Yunus AS yang kembali berdakwah kepada kaumnya selepas diselamatkan Allah SWT dari mati tenggelam di lautan.

Pada ayat 24 pula, Allah SWT memberikan perumpamaan mengenai kehidupan dunia dengan menggunakan air hujan. Sekali lagi objek air digunakan bersesuaian dengan nama surah dengan tokoh yang melihat kebesaran Allah SWT kepadanya dalam kegelapan perut ikan di dasar air lautan dalam.

Dipaparkan pula kisah dua kaum yang diazab Allah SWT dengan air iaitu kaum Nabi Nuh AS dan kaum Firaun kerana menangguhkan iman dan taubat selepas segenap ayat-ayat Allah SWT dan mukjizat-Nya diperjelaskan. Sekali lagi, kemunculan makhluk air sebagai tentera Allah SWT sangat munasabah dengan surah Yunus ini.

Selain itu, antara keunikan kisah-kisah dalam surah ini dan tidak dirakamkan dalam surah selainnya ialah :

📌 Adanya pendedahan ekslusif ucapan Nabi Nuh AS paling “berani mati” ketika bersendirian mencabar pemimpin-pemimpin utama dari kaumnya ( فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً ثُمَّ اقْضُوا إِلَيَّ وَلَا تُنظِرُونِ )

📌 Adanya pendedahan ekslusif pendokong sebenar ajaran Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS ialah angkatan para pemuda ( فَمَا آمَنَ لِمُوسَىٰ إِلَّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَوْمِهِ عَلَىٰ خَوْفٍ مِّن فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِمْ أَن يَفْتِنَهُمْ )

📌 Adanya pendedahan ekslusif Nabi Musa AS mendoakan kecelakaan Firaun dan kaumnya sebelum meninggalkan Mesir ( رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ )

📌 Adanya pendedahan ekslusif ucapan taubat Firaun ketika hampir mati lemas ( حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ )

Wallahu a’lam.

Rujukan :
Dilalah al Asma’ al-Suwar al-Quraniyah ‘ala Mahawiriha wa Maudhu’atiha,
Dr. Umar Ali Hassan Arafat

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started