Allah Maha Mengetahui dan Maha Halus pengetahuan-Nya ke atas segala sesuatu.
Allah SWT juga telah mengumumkan bahawa jika tujuh lautan dijadikan dakwat untuk menulis kesemua kalam-Nya dan hikmah-Nya, tidaklah mencukupi sama sekali.
Allah SWT juga telah mengumumkan bahawa al-Quran yang diturunkan-Nya ini menjelaskan segala-galanya, تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ
Tiba-tiba tidak dijelaskan nama dan warna anjing pemuda al-Kahfi ?
Tidak dijelaskan bahagian anggota mana pada lembu yang telah disembelih digunakan untuk memukul mayat yang dibunuh Bani Israil ?
Tidak dijelaskan nama kanak-kanak yang dibunuh Nabi Khadar AS ?
Tidak dijelaskan dari sumber pokok manakah diciptanya bahtera Nabi Nuh AS ?
Tidak dijelaskan spesis burung manakah yang dihidupkan semula oleh Allah SWT di hadapan Nabi Ibrahim AS ?
Dan sebagainya…
Benarkah tidak “dijelaskan” atau sebenarnya tiada faedah pada menjelaskan kepada manusia, khalifah di atas muka bumi Allah SWT ?
Al-Quran, kalam yang terlalu mahal, terlalu agung, terlalu berharga, terlalu ajaib, maka janganlah kita para pendakwah mencampuradukkan antara apa yang Allah tidak sebut dengan apa yang disebut-sebut sesama manusia.
Melainkan dengan adab-adab tertentu yang digariskan para ulama tafsir agar kita tidak terjebak kepada sikap merendah-rendahkan kalam Pencipta yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna tanpa kita sedari.
Dia menciptakan kita dengan segala kelebihan dan kelemahan, Dia Maha Mengetahui apa yang perlu kepada kita yang dicipta-Nya dan apa yang tidak perlu, lalu Dia yang sama menurunkan al-Kitab memandu perjalanan kehidupan kita menurut tujuan penciptaan dari-Nya.
Apa yang tidak perlu kepada kita menurut-Nya, untuk apa dijelaskan ?
Lalu mengapa berkata “ini perlu, itu tidak perlu” atau “ini maklumat penting, itu maklumat yang tidak penting” tanpa mendahulukan kehendak Allah dan Rasul-Nya ?
Di mana kita letakkan ayat pertama surah al-Hujurat ?
Namun demikian, ada ayat dalam satu surah yang kelihatannya Al-Quran sengaja mendiamkannya dari sebarang perincian, tetapi dijelas dan dihuraikan dalam surah yang lain.
Ia seperti “za al-Nun” dalam surah al-Anbiya’ ialah Nabi Yunus AS berdasarkan surah al-Saffat. Maka, hendaklah kaedah-kaedah mentafsirkan ayat dengan ayat diketahui dan dikuasai agar kena dan tepat munasabahnya.
Lebih menarik lagi bagi saya jika kaedah-kaedah mengetahui hikmah “mengapa al-Anbiya menyebut za al-Nun sedangkan al-Saffat menyebut Yunus” diketahui. Maka, hendaklah kaedah-kaedah mengenalpasti maqasid surah dan kesatuan temanya diketahui.
Juga seperkara lagi, kekadang ada ayat kelihatan al-Quran mendiamkan, tetapi siyaq dan munasabah ayat sebelum atau selepas menjelaskan apa yang didiamkan berkenaan. Seperti “khalifah” dalam ayat 30 surah al-Baqarah ialah Nabi Adam AS berdasarkan ayat 31.
Juga kekadang ada ayat yang kelihatan al-Quran mendiamkan, tetapi al-Sunnah menjelaskan. Seperti Ismail yang dimaksudkan sebagai zuriat yang ditinggal pada ayat 37 al-Baqarah, Abdullah bin Ummi Maktum dalam ayat pertama surah Abasa dan Nabi al-Khadr pada ayat 65 al-Kahfi.
Lebih menarik lagi apabila nas al-Quran tidak pun memberi isyarat secara zahir, namun al-Sunnah membantu tadabur kita. Contohnya pada ayat 68 surah al-Anbiya iaitu kisah cicak meniupkan api agar lebih marak ke atas tubuh Nabi Ibrahim AS yang seringkali dilabel Israiliyyat sedangkan bersumberkan hadis yang sahih.
Juga kekadang ada ayat yang kelihatan al-Quran mendiamkan, tetapi para Sahabat RA penyaksi penurunan wahyu menjelaskan. Seperti Hilal bin Umayyah, Murarah binti al-Rabi’ dan Kaab bin Malik yang dimaksudkan ayat 106 al-Taubah.
Ini juga termasuk perkataan Ibnu Abbas RA yang direkodkan Imam Bukhari mengenai lafaz حسبنا الله ونعم الوكيل oleh Nabi Ibrahim AS sebelum dan semasa dihumban ke dalam api.
Ini kerana seseorang pentadabbur pasti tertanya-tanya “Bagaimanakah seorang Rasul yang usianya masih remaja, bersendirian tanpa sesiapa berhadapan dengan suasana genting dan berbahaya berkenaan ? Ayat-ayat Allah sangat kemas dan deras pada menggambarkan bantuan Allah yang datang kepada baginda AS, kita pula janganlah terlalu menderas dan mempercepat bacaan tanpa tadabbur. Alhamdulillah, para Sahabat RA menjelaskan apa yang didiamkan nas selari dengan ayat lain mengenai lafaz berkenaan iaitu ayat 173 surah Ali Imran.









Dan pasti lebih menarik jika kita mengetahui mengapa Allah dengan kesempurnaan ilmu-Nya dan kesempurnaan Hikmah-Nya, tidak menyebut apa yang disebut al-Sunnah dan para Sahabah tadi dalam kitab-Nya al-Quran كلام الله المعجز المتعبد بتلاوته.
Terus mengembara dengan Ulum al-Quran dan membumikannya sepanjang tadabbur kitab-Nya.
Semoga semakin banyak kita mendalami al-Quran, semakin kerap kita melafaz dan menginsafi hakikat “Wallahu a’lam” dan menjauhkan sikap Ahlul Kitab apabila mereka melakukan رَجْمًا بِالْغَيْبِ !
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Rujukan dan Inspirasi :
Qawa’id al-Tafsir
Khalid bin Uthman al-Sabt
Leave a comment