100 FAKTA AL-QURAN

Satu buku yang baik.

Lebih baik kalau dapat didiskusikan dengan lebih lumat.

Ke arah membumikan Ulum al-Quran.

Ini kerana memaparkan fakta satu hal, mengungkap hikmah di sebalik fakta satu hal.

APA untuk membina pengetahuan asas, MENGAPA untuk membina kemahiran berfikir aras tinggi.

Kebetulan banyak ruang kosong untuk diconteng-conteng dengan catatan-catatan ilmiah dari guru-guru tafsir masing-masing, inshaallah.

Saya memang suka buku-buku ringan sebegini apabila ia menyedia ruang untuk catitan pembaca selepas interaksi yang lebih aktif dengan mereka yang berkeahlian dengan isu-isu al-Quran.

  1. Fakta 7 mengenai tempoh penurunan al-Quran iaitu 23 tahun. Namun apakah hikmah lamanya tempoh al-Quran diturunkan sehingga memakan masa bertahun-tahun ?
  2. Fakta 36 mengenai lima nama lain kepada al-Quran. Namun apakah hikmah adanya nama lain kepada al-Quran ? Apakah hikmah surah tertentu memaparkan nama tertentu al-Quran ?
  3. Fakta 43 mengenai wahyu pertama yang diturunkan iaitu lima ayat pertama dari surah al-Alaq dan fakta 44 mengenai wahyu terakhir diturunkan. Namun, apakah hikmah ia sebagai pertama dan ia sebagai terakhir ?
  4. Fakta 49 mengenai ayat terpanjang dalam al-Quran iaitu mengenai hutang. Namun apakah hikmah panjangnya ayat mengenai isu hutang ?
  5. Fakta 51 mengenai ayat-ayat Sajadah dalam al-Quran. Kita perlukan barangkali daurah seharian untuk menghuraikan tafsir dan tadabbur makna-makna lima belas ayat-ayat bersimbol Sajadah ini.
  6. Fakta 53 mengenai ayat paling agung dalam al-Quran. Kita perlukan barangkali sejam dua untuk menjelaskan makna agung berkenaan dengan melihat keindahan setiap kalimah yang dikemukakan surah al-Baqarah ayat 255 ini.
  7. Fakta 54 mengenai surah al-Ikhlas sepertiga al-Quran.
  8. Fakta 55 mengenai surah Yaasin jantung al-Quran. Benarkah ia “fakta” ?
  9. Fakta 57 dan 71 mengenai surah yang paling indah iaitu surah al-Rahman. Namun adakah 31 ayat yang sama berkenaan sebuah “pengulangan” atau “keindahan” ?
  10. Fakta 59 hingga 63 mengenai huruf-huruf muqata’ah. Namun apakah hikmah adanya surah bermula sebegitu rupa ?
  11. Fakta 67 mengenai enam ayat mengandungi kalimah syifa’ dari al-Quran. Apakah tafsir, konteks dan tadabbur ayat berkenaan ?
  12. Fakta 70 mengenai surah yang setiap ayatnya ada kalimah Allah. Namun apakah hikmah surah al-Mujadilah satu-satunya surah yang ada keunikan berkenaan ?
  13. Fakta 73 mengenai lima surah bermula dengan tahmid, fakta 74 mengenai dua surah bermula dengan Tabaraka, fakta 75 mengenai tujuh surah bermula dengan tasbih. Namun apakah persamaan dan keunikan tersendiri antara kelima-lima surah ini ?

Dan banyak lagi.

Kesimpulannya, buku ini baik untuk “beginner” kepada proses interaksi dengan al-Quran.

Namun, buku yang sama boleh digunakan untuk lebih memahami mutiara-mutiara terindah dari khazanah Ulum al-Quran.

Pilihan di tangan anda

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started