
Tadabbur kisah Ashab al-Sabti akan membawa kita beberapa buah ibrah antaranya :
Al-Quran bukti kerasulan Nabi
Kisah ini ialah ayat-ayat Madaniyah dalam surah Makkiyah (al-Khalidi). Kisah ini tiada dalam Old Testament mahupun tafsir-tafsir kepada kitab itu. Tetapi kisah yang terjadi pada moyang Yahudi ini diketahui dan berlegar sesama Yahudi di Madinah. Nabi diminta “bertanya kepada mereka” sebagai pembuktian kepada kebenarannya sebagai Rasul yang diwahyukan berita ghaib dari masa lampau (Al-Maududi)
Semakin kaya ialah ujian dari Allah
Semakin kaya bukan penanda Allah semakin sayang. Belum tentu. Bahkan seseorang mesti semakin bertaqwa dan berhati-hati serta “risau” adakah Allah sedang mengujinya atau tidak seperti diujinya Ashab al-Sabti dengan semakin melimpah pendapatan mereka setiap hari Sabtu, ikan muncul secara mudahnya di permukaan lautan tanpa perlu bersusah susah menangkapnya.
Amar makruf nahi mungkar ialah kerja mulia kerja para anbiya
Bukan kebetulan kisah penegur Ashab al-Sabti ini di penghujung surah selepas surah menceritakan kisah enam orang Rasul berusaha gigih menyelamatkan aqidah kaumnya. Akhir zaman, selepas jauh dari Rasul, ujian beratnya barangkali bukan aqidah semata-mata, tetapi harta.
Amar makruf nahi mungkar asbab kepada rezeki
Allah selamatkan satu kumpulan sahaja dari dua kumpulan (kumpulan pelanggar hari Sabtu dan penghalang kumpulan amar makruf nahi mungkar) apabila azab itu jatuh. Allah mematikan keturunan Ashab al-Sabti dengan dijadikan kera dan mengurniakan rezeqi kehidupan kepada yang mencegah keburukan dilakukan Ashab al-Sabti dari tersebar atau menginspirasikan Bani Israil yang lain.
Serangan was-was syaitan bahaya dan akan berterusan
Awal surah ini menceritakan was was Syaitan kepada Adam dan Hawwa’ r.a. iaitu kononnya buah Syurga dari pohon itu menyebabkan kekal (mahu hidup lebih lama) dan mulia (mendapatkan kedudukan al-Malak). Demikianlah hujung surah, kisah ini menjelaskan makna was was iaitu keinginan Ashab al-Sabti untuk memonopoli industri perikanan kerana mahu kedudukan lebih tinggi dan hidup dengan lebih lama sehingga sanggup menzalimi nelayan-nelayan yang mencari rezeqi di hari selain hari Sabtu.
Bahaya mengaitkan dosa dengan takdir Allah
Di awal surah, Iblis mengatakan Allah penyebab kesesatannya. Di hujung surah, kisah ini memaparkan kumpulan penghalang kumpulan amar makruf nahi mungkar sebagai tiada faedahnya tazkirah yang disampaikan kerana kerasnya hati mereka dan tiadanya perubahan berlaku selepas diberikan berkali kali peringatan. Kumpulan penghalang ini berhujah Allah sudah mentakdirkan mereka sesat dan akan ditimpa azab Allah, tiada manfaat lagi peringatan diberikan. Sedangkan kumpulan amar makruf nahi mungkar menegaskan tazkirah mereka bukan tujuan untuk mengubah sikap Ashab al-Sabti, tetapi untuk mereka boleh menjawab di hadapan Allah kelak apabila ditanya “apa kamu buat kepada pelaku dosa secara terang-terangan” berkenaan.
Kumpulan amar makruf nahi mungkar bukanlah kumpulan yang bercakap kasar kepada pelaku dosa
Ini berdasarkan kalimah mau’izhah yang diungkapkan kumpulan penghalang kepada kumpulan amar makruf nahi mungkar. Mau’izhah ialah peringatan yang lembut dan mengharapkan perubahan akan berlaku, bukan sebaliknya kata-kata kasar atau kesat kepada pendosa dengan meyakini tiada perubahan akan berlaku. Perhatikan ungkapan kumpulan amar makruf nahi mungkar yang masih optimis bahawa Ashab al-Sabti boleh berubah dengan “mudah-mudahan mereka bertaqwa” walaupun pada akhirnya terbukti mereka tidak pun berubah dan kekal fasiq.
Pelihara hari Jumaat agar kita tidak khianat
Allah telah peruntukkan satu hari untuk kita membersihkan hati selepas enam hari kita bekerja mencari rezeqi. Tadabburlah surah al-Jumuaah agar kita faham pentingnya ayat-ayat sebelum “bersegeralah mengingati Allah dan meninggalkan perniagaan” agar kita tidak menjadi mereka yang melanggar syariat hari Sabtu.
Leave a comment