Apabila disebut “fityah”, kita mungkin cenderung kepada kemahuan menyiasat siapakah nama-nama mereka. Kita terlupa bahawa kalimah itu sendiri sudah lebih dari memadai untuk dihayati berbanding nama-nama mereka sendiri. Melainkan kita tidak pernah melalui usia muda dan kepemudaan.
Membuat pilihan untuk menyatakan keimanan ketika engkau boleh memilih menyembunyikan keimanan, bukanlah pilihan yang mudah bagi pemuda!
Membuat pilihan untuk beriman di zaman tiada Rasul yang diutuskan atau menjadi sumber kekuatan, bukanlah pilihan yang mudah bagi pemuda!
Membuat pilihan untuk beriman dengan risiko tinggi kehilangan rakan dan taulan, beroleh sebaliknya makian dan perlian, bukanlah pilihan yang mudah bagi pemuda!
Membuat pilihan untuk beriman ketika ibu dan ayah sudah bersedia mewariskan masa depan yang menyenangkan, bukanlah pilihan yang mudah bagi pemuda!
Membuat pilihan untuk menghadapi kematian ketika ruang hidup untuk berhibur dan berfoya-foya terbentang luas di hadapan, bukanlah pilihan yang mudah bagi pemuda!
Membuat pilihan ketika ada yang peluang hidup yang lebih memudahkan tidaklah sesulit membuat pilihan ketika memang tiada pilihan!
Bukanlah kebetulan kisah pemuda berkenaan, kerapnya pengulangan kalimah من أمرنا menandakan kerapnya Allah memuji pilihan, keputusan dan pendirian yang mereka buat pada usia yang ramai sebaya mereka memilih زِينَةً dan jalan yang lebih menyenangkan.
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا
(Terima kasih pada semua yang hadir ke Daurah Kisah Pemuda al-Kahfi di Rumah Kertas Rami semalam. Semoga mulai malam ini, semua bersemangat untuk menghafalnya dan menikmati kemanisan ayat-ayat Allah mengenai kisah berkenaan dalam solat yang dikerjakan. Jazakumullah khairan kathiran)


Leave a comment