
Kedudukan surah “109.AL-KAFIRUN” dalam susunan mushaf tepat sekali.
Barangkali antara hikmahnya – dari 1001 hikmah ditemui para ulama tafsir – agar kita jelas definisi kafir yang melayakkannya seseorang masuk ke dalam senarai diazab Allah seperti Abu Lahab dan isterinya ( Nauzubillah ).
Jelas melihat mukjizat dan kekuasaan Allah yang tidak mampu dijelaskan dengan akal fikiran, masih tidak mahu beriman (105. AL FIIL).
Dimudahkan perjalanan dan direzeqikan pendapatan menakjubkan, masih tidak mahu beriman (106. QURAISH)
Bahkan, diperlihatkan saban hari dengan lokasi-lokasi azab kaum terdahulu sepanjang perjalanan, masih tidak mahu beriman (106. QURAISH).
Kemudian, terus kekal selesa dengan gaya hidup menzalimi anak yatim, gelandangan dan mematikan akses bantuan kepada mereka yang memerlukan, membunuh perlahan-lahan para mustadhafin (107. AL-MA’UN).
Kemudian, melakukan peng”abtar”an, menyakiti hati para Rasul yang diutuskan pada tahap paling biadap dan tidak berperi kemanusiaan (108. AL-KAUTHAR).
Maka, selepas bertahun-tahun dakwah dan teguran dengan pelbagai cara tidak diendahkan, hatta 950 tahun diberi masa untuk menyelamatkan mereka, tetapi mereka kekal nekad mahu melengkapkan diri dengan syarat-syarat kemusnahan yang digariskan surah-surah di atas, sehingga mereka dan binatang sudah tiada lagi perbezaan, بل هم أضل , maka layaklah mereka ini diberi ucapan penghabisan dan perpisahan oleh para Rasul, kerana sudah tiada makna jika kekal hidup berdakwah dengan makhluk seperti ini (109. AL-KAFIRUN)
Kini tiba urusan Allah kerana Rasul sudah pergi !
Sunnatullah !
Mereka mesti dikalahkan di dunia, dihapuskan legasi dan pewaris mereka, diamankan bumi ini dari penyakit berbahaya mereka dari merebak (110. AL-NASR) sebelum mereka dihantar ke Neraka dan menyaksikan keadilan Allah SWT di Akhirat kelak (111. AL-MASAD).
Semoga Allah memelihara kita dari kekufuran dan kekafiran.
Wallahu a’lam.
والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب
Syaari Ab Rahman
5 Rabiul Awwal 1441 H
Bangi
Leave a comment