
Islam mensyariatkan pelbagai batasan dan peraturan sebelum dan selepas perceraian dilafazkan.
Semua syariat perceraian ini bukan kerana lelaki di tanah Arab sahaja menzalimi wanita sebelum al-Quran diturunkan.
Bukan juga kerana adanya tunjuk perasan kaum lelaki yang tidak rela dengan penghinaan kepada wanita terus dilakukan, atau adanya gerakan khas menuntut keadilan ke atas wanita muncul di tanah Arab sehingga mendapat perhatian Tuhan.
Ini kerana surah ini adalah hadiah keadilan dari Pemilik tujuh petala langit agar disambut dan ditaati penduduk bumi.
Agar persengketaan antara bani Adam dan Hawa itu masih didasarkan kepada ketaqwaan.
Agar suami isteri menjadi jiwa-jiwa yang saling kekal menghormati dalam apa jua kesulitan yang dihadapi.
Jangan biarkan kemarahan kepada isteri menyebabkan hilang dasar ketaqwaanmu.
Jangan biarkan kebencian kepada isteri menjemput syaitan, mengheret kezaliman dan keganasanmu ke lembah kehinaan.
Inilah Islam agama yang mulia dan tinggi untuk memulia manusia dan meninggikan kemanusiaan.
Inilah surah yang menegaskan pada suami bahawa kebencian adalah makhluk dalam tubuh yang sangat mudah memejamkan mata pada segala kebaikan isteri selama ini.
Sekalipun perceraian telah dilafazkan, surah ini masih membentangkan harapan, permaidani kasih sayang dan haruman wangi yang mesti ditebarkan kembali atas sarang dan buaian rumahtangga.
Perceraian yang tidak didasarkan kepada taqwalah yang boleh membunuh anak dan membunuh potensi-potensi anak dalam diam.
Bahkan Islam menghadapi realiti kebencian dan perceraian ini bukan sekadar dengan pengarahan-pengarahan atas nama syariat.
Dibimbing, dipujuk dan dimotivasikan manusia ini dengan slogan ketaqwaan berulang kali dalam surah ini, agar kembali kepada Tuhannya kerana itulah sumber ketenangan menghapuskan kemarahan.
Bersabar sebelum melafazkan, bersabar sebelum membuat sebarang keputusan sentiasa membuka halaman baru diari kehidupan yang lebih baik dari jangkaan.
Tiadalah yang berpaling dari syariat ini melainkan yang tertutup akalnya.
Tiadalah yang mencela syariat ini melainkan yang cetek akalnya.
Tiadalah yang berpaling dari syariat ini kepada syariat manusia melainkan mereka yang mengikut hawa nafsunya untuk kekal hidup di dunia.
Surah Perceraian
Refleksi Fi Zhilal al-Quran
Syaari Ab Rahman
13 Safar 1441 H
Miri, Sarawak
Leave a comment