(BARANGKALI INILAH) HIKMAH SURAH YUSUF SELEPAS SURAH HUD DALAM AL-QURAN

Semangat mentarbiyah ummat mestilah sama dengan semangat mentarbiyah keluarga.

Dari mana lahirnya ummat berkualiti kalau bukan dari institusi kekeluargaan yang berpegang teguh dengan ajaran agama.

Demikianlah perenungan hikmah bergilir-gilirnya ayat-ayat infaq jihad dan ayat-ayat nikah cerai dalam bentuk susunan ayat yang menakjubkan dalam surah al-Baqarah.

Demikianlah kisah seorang ibu yang mengandung dengan semangat yang tinggi agar anak berbakti kepada agama di permulaan surah Ali Imran, sedangkan di penghujung surah memberi liputan besar kepada peristiwa perang Uhud dan tarbiyah Allah kepada para Sahabat dan ummat.

Demikianlah hikmah surah Yusuf dengan aksi tarbiyah kekeluargaan menyusuli surah sebelumnya, Hud dengan segala aksi tarbiyah para anbiya’ kepada ummat.

Demikianlah hikmah susunan lima al-Musabbihat (Madaniyah) yang banyak memaparkan ayat-ayat jihad di celah-celah surah-surah kekeluargaan.

Al-Hadid bergandingan dengan al-Mujadilah dengan kisah Khaulah sejak dari ayat pertamanya, al-Hasyr dengan kisah kepungan ke atas perkampungan Yahudi Bani Nadhir bergandingan dengan surah al-Mumtahanah dengan kisah Ummu Kulthum binti Uqbah di dalamnya.

Al-Mulk dengan segala ancaman kepada kaum Quraish pula hadir selepas kisah rumahtangga Nabi dan para Sahabat dalam surah al-Talaq dan al-Tahrim.

Demikianlah hikmah lafaz “wahai Nabi” sebanyak dua kali dalam surah al-Tahrim itu sendiri, yang pertama isu tarbiyah kekeluargaan, disusuli yang kedua isu tarbiyah ummat.

Mengenali nama-nama seluruh ummat Bani Adam hingga hari Kiamat adalah satu tarbiyah buat Adam di Syurga. Sebagaimana menghormati, mendidik dan memuliakan Hawwa di Syurga merupakan satu tarbiyah kepada Adam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Al-Tahrim, 66 : 6)

Wallahu a’lam.

‎والله الموفق للصواب، وإليه المرجع والمآب

Syaari Ab Rahman
18 Safar 1441 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started