MENGAPA TIADA SURAH “AL-JANNAH” DALAM AL-QURAN LALU TERHIMPUN DI DALAMNYA SEMUA AYAT-AYAT MENGENAI SYURGA ?

MENGAPA TIADA SURAH “AL-JANNAH” DALAM AL-QURAN LALU TERHIMPUN DI DALAMNYA SEMUA AYAT-AYAT MENGENAI SYURGA ?

MENGAPA AYAT-AYAT MENGENAI SYURGA BERTABURAN DI PELBAGAI SURAH DENGAN PELBAGAI BENTUK KETERANGAN DI DALAM AL-QURAN ?

Tadabbur kepada ayat-ayat Syurga boleh berlaku dalam dua bentuk.

Pertama, berusaha membelek tafsir dan memahami ayat-ayat berkenaan sehingga menimbulkan keinginan yang meluap-luap untuk ke sana dan menambah amal soleh sebagai bekal agar dapat sampai ke sana.

Kedua, mengkaji bagaimana ayat-ayat Syurga di dalam al-Qur’an secara menyeluruh dan melakukan analisis perbandingan.

Mengapa nama dan kewujudan Syurga Firdaus diumumkan dalam surah al-Mu’minun dan tidak surah selainnya ?

Mengapa penyatuan orang beriman di Syurga dengan ibubapa dan anak-anaknya yang beriman diumumkan dalam surah al-Ra’du, Fathir dan al-Thur dan tidak surah selainnya ?

Mengapa sifat pintu Syurga diumumkan dalam surah al Zumar dan Saad dan tidak selainnya ?

Mengapa sungai di Syurga ada dari madu, susu dan arak diumumkan dalam surah Muhammad dan tidak selainnya ?

Mengapa sumber mata air Syurga yang bernama Tasnim diumumkan dalam surah al Mutaffifin dan tidak selainnya ?

Mengapa mata air Syurga yang bernama Salsabila yang diumumkan dalam surah al Insan dan tidak selainnya ?

Mengapa wujudnya buah Rumman (delima) di Syurga diumumkan di surah al-Rahman dan tidak selainnya ?

Mengapa pakaian ahli Syurga berwarna hijau diumumkan dalam surah al-Kahfi dan tidak selainnya ?

Mengapa ahli Syurga membandingkan buah di Syurga dengan buah di dunia dijelaskan dalam surah al-Baqarah dan tidak selainnya ?

Mengapa persaudaraan ahli Syurga dan hilangnya hasad dengki dan segala bentuk penyakit hati diumumkan dalam surah al-A’raaf dan al-Hijr dan tidak selainnya ?

Mengapa ahli Syurga berpeluang melihat Dzat Allah عز وجل diumumkan dalam surah al-Qiyamah dan Yunus dan tidak selainnya ?

Saya percaya, wujudnya perbezaan lafaz dan keunikan gaya penceritaan Allah SWT mengenai Syurga kerana dua faktor.

Faktor yang pertama ialah kemunasabahan dengan situasi penurunan. Ia bermakna keterangan Syurga kepada Nabi SAW dan kaum Muslimin semasa ia diturunkan sepanjang 23 tahun sama ada di Makkah atau di Madinah ialah keterangan paling tepat dengan persoalan yang bermain dalam fikiran mereka atau keterangan yang paling memotivasikan psikologi mereka pada waktu itu.

Faktor yang kedua ialah kemunasabahan dengan kesatuan tema surah. Setiap surah punyai satu tema khusus yang berpunca dari satu isu besar yang ditangani al-Quran. Segala keterangan dan penghuraian kepada tema atau ‘amud (meminjam istilah al Farahi) ini dijelaskan dengan penuh ihkam, sempurna dan luar jangkaan pembaca al-Quran.

Moga sudah ada kajian atau adanya pengkaji yang meluaskan ilmu Munasabah (penurunan dan penyusunan) kepada pelbagai isu-isu yang dilihat berulang-ulang dalam al-Quran.

Ia berat tetapi sungguh mengasyikkan.

Wallahu a’lam.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started