IBRAH DI SEBALIK ISU “FEELING IS PRAYER”

Apa jua teknik berdoa yang kita belajar dari kursus-kursus motivasi, kita perlu ingat bahawa al-Qur’an sudah membimbing kita sejak dari surah al-Fatihah lagi ke arah kemustajaban doa.

Doa-doa para anbiya’ yang sekian banyak dirakamkan dalam al-Qur’an pula memperjelaskan lagi hikmah surah pertama al-Quran berbentuk doa.

Pertamanya adalah memuji-muji Allah SWT terlebih dahulu dan meyakini bahawa Dia al-Rahman al-Rahim, Dia ada rencana terbaik kepada kita di sebalik setiap musibah yang berlaku kepada kita.

Maka janganlah berdoa agar terus diubah taqdir yang berlaku kerana siapa kita yang tahu masa depan di sebalik taqdir yang menimpa.

Keduanya, mintalah agar Allah SWT kekalkan kehambaan kita kepada-Nya dengan kekalnya kita di jalan yang lurus, sama ada ketika kita sakit atau miskin atau kehilangan barang berharga atau mengalami tekanan pekerjaan atau ketiadaan jodoh dan seumpama dengannya.

Jangan terlalu gopoh dan tergesa-gesa meminta atau mendesak dikembalikan kesihatan atau kekayaan atau barang yang hilang atau ditukar tempat kerja atau dikurniakan jodoh kerana kita mungkin tidak tahu bahawa jika dianugerahkan itu dengan segera, kita mungkin bertambah lalai kepada-Nya.

Ketiganya, lampirkan setiap permintaan dengan perjanjian dengan Allah SWT untuk menjadi orang-orang yang lebih dekat dengan kalam-Nya al-Qur’an, lebih bersyukur atau bernazarlah sekiranya permintaan itu diperkenankan, kita akan menggunakan nikmat permintaan yang diperkenankan itu untuk lebih menyeru ramai manusia kembali ke jalan yang lurus.

Keempatnya, banyakkan melakukan amal soleh dan kebaikan kerana Allah SWT supaya ia menjadi tawassul kita bersama dengan doa yang dipanjatkan.

Kelimanya, lakukan usaha yang bersesuaian dengan apa yang diminta seperti meminta pendapat pakar atau mencari kaedah-kaedah alternatif berdasarkan hukum alam (sunnatullah). Jangan goyang kaki tunggu keajaiban doa berlaku.

Keenamnya, jangan jemu berdoa. Ulang dan ulangilah permintaan kerana itulah sikap para anbiya’ dan Nabi صلى الله عليه وسلم apabila diuji. Jangan sekali-kali berkata “aku dah letih berdoa”.

Ketujuhnya, jangan sekali-kali bersangka buruk kepada Allah SWT sekiranya kelihatan selepas enam langkah ini, permintaan kita belum diperkenankan.

Kembalilah pada yang pertama di awal tadi, yakini dan pujilah Allah SWT sebanyak-banyaknya kerana Dia sedang rencana banyak kebaikan yang kita tidak diberitahu bila ia akan menjelma.

Hukum asal yang perlu kita faham sampai mati adalah kita hanya عبد dan Dialah رب yang berhak untuk mentaqdirkan apa sahaja tanpa kita boleh mempersoal.

Demikianlah surah pertama dalam al-Quran mengajar kita.

Ia bukan teknik yang perlu dipelajari dari mana-mana kursus motivasi.

Ia adalah tadabbur surah al-Fatihah yang perlu diamalkan dalam kehidupan.

Semoga Allah SWT terus membimbing saya dan kita untuk meniti kehidupan dan mempertahan keberagamaan yang semakin mencabar dan mengelirukan di akhir zaman ini.

Syaari Ab Rahman
28 Zulqaedah 1440 H
Bangi

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started