
Semua orang boleh melaungkan slogan TADABBUR !
Tetapi …
Bukanlah TADABBUR seandainya sekadar memindahkan satu ilmu dari satu kitab tafsir atau satu ulama tafsir kepada yang mendengar.
TADABBUR adalah merasakan besarnya limpahan kasih sayang Al-Rahman di sebalik setiap ayat-ayat yang dilalui dan diperhatikan dengan mendalam. Di situlah terletaknya “lubb” kepada segala kemukjizatan al-Quran.
Seharusnya, semakin banyak pembelajaran tafsir berlaku, semakin banyak TADABBUR berlaku, semakin meningkatkan ketundukan kepada al-Rahman, semakin bersemai sifat kemanusiaan sesama insan, bukannya kesombongan dan perasaan keiblisan seolah-olah “aku lebih faham ayat ini berbanding kamu”.
TADABBUR bukan dinilai pada sebanyak mana hukum hakam bahasa (Arab) dihafal atau kitab tafsir sudah dibaca. TADABBUR dinilai pada sejauhmana yang membaca semakin merasakan belaian kasih sayang al-Rahman yang menurunkan al-Quran.
Memahami kalam Tuhan satu perkara…
Merasai kasih sayang al-Rahman satu perkara…
Apa guna bertambah kefahaman kepada satu persatu firman Tuhan, namun tidak pula bertambah rasa rindu dan sayang untuk bertemu al-Rahman, rasa rindu dan sayang kepada cahaya yang diutuskan صلى الله عليه وسلم.
Masalah yang saban hari menimpa negara kini bukanlah kerana ketandusan ulama atau sekolah pengajian al-Quran, tetapi kerana pendakwah atas nama al-Quran sudah hilang keberkatan dalam ucapan, Al-Hikmah dalam tindakan.
TADABBUR seharusnya menatijahkan satu kesedaran bahawa al-Rahman sangat berhati-hati memilih perkataan, untuk menyantuni hamba-hamba-Nya yang diciptakan dengan tujuan, mana kalimah perlu didahulukan dan dikemudiankan, mana huruf perlu ditambah atau digugurkan, mana ayat perlu didahulukan dan dikemudiankan, mana surah perlu diawalkan dan diakhirkan, dan segala macam aspek لطائف al-Quran yang dibongkar ulama yang soleh zaman berzaman.
Tiba-tiba ketika Tuhan bersikap kehati-hatian (kemahatelitian) sedemikian, kita yang mengaku hamba a-Rahman, yang mengaku sudah melakukan TADABBUR al-Quran, tidak pernah rasa bersalah bercakap penuh kekasaran, naik suara tanpa keperluan, menghamburkan perkataan tanpa mempedulikan perasaan orang yang disasarkan.
TADABBUR seharusnya bukan sekadar menimbulkan kekaguman bahawa ini kalam Tuhan, bahkan sepatutnya rasa cinta dan sayang kepada Dzat yang menurunkan kalam.
الرحمن علّم القرآن خلق الإنسان علّمه البيان
Leave a comment