USTAZ, MENGAPA TIGA KISAH DI HUJUNG SURAH AL-BAQARAH NAMPAK TAK TERATUR ?
KENAPA SEKEJAP KISAH NABI IBRAHIM, KEMUDIAN KISAH UZAIR, KEMUDIAN KISAH NABI IBRAHIM SEMULA ?

Rahsia susunan tiga kisah ini sangatlah indah bagi yang melakukan tadabbur.
Tiga kisah ini mendidik secara halus peralihan sikap manusia dari tahap pertama (kisah pertama) kepada tahap ketiga (kisah ketiga).
Kisah pertama mengenai seseorang yang masih mahu menyembunyikan kebenaran yang dilihat mata kepalanya sendiri mengenai hakikat kehidupan dan kematian. Bahkan dia mendakwa dirinya juga ada kelebihan berkenaan.
Kisah kedua mengenai seseorang yang telah pun beriman tetapi memerlukan bukti lalu diperlihatkanlah kepadanya bukti lalu berimanlah dia dengan sebenar-benar iman.
Kisah ketiga mengenai seseorang yang merintih dan memohon kemuliaan khusus dari Allah, yang tidak diberikan kepada orang lain selainnya, agar berlakunya sesuatu yang akan menambah-nambah cintanya kepada Tuhannya, selepas dia membuktikan keimanan yang kental kepada Tuhannya selama ini, sebelum membuat permohonan tersebut.
Demikianlah saya olah ayat untuk memudah faham apa yang disebut dalam Tafsir Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayi wa al-Suwar.
Semoga Allah merahmati al-Imam Burhanuddin al-Biqaie (wafat 855 H) atas upaya berijtihad dan bertadabbur mengeluarkan salah satu hikmah munasabah di sebalik tiga kisah di penghujung surah al-Baqarah tersebut.
اخيرا والله أعلم بحقائق التأويل من كلامه عز وجل
Leave a comment