Jika sukar menghafal 110 ayat surah al-Kahfi, hafallah 10 ayat pertamanya.
Jika masih sukar menghafal 10 ayat pertamanya, apakah alasan untuk tidak boleh menghafal surah al-Asr.
Antara cara Allah memudahkan al-Qur’an sebagai peringatan adalah penghujung al-Qur’an didatangkan surah yang pendek-pendek menerangkan intipati ajaran al-Qur’an yang telah disampaikan oleh surah yang panjang-panjang.

Surah al-Asr bermula dengan sumpah Allah kepada masa. Betapa besarnya sumpah itu menandakan besarnya peranan makhluk yang bernama masa.
Surah al-Kahfi bermula dengan kisah masa yang ditundukkan kepada sekumpulan pemuda yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Merekalah kumpulan pemuda yang apabila mereka tidak mampu mengubah sikap pemerintah negara mereka, mereka fokuskan untuk mengubah sikap sesama mereka. Mereka ditundukkan masa oleh Allah sehingga tidur mereka yang berlalu tiga ratus tahun hanya dirasakan sehari atau separuh hari sahaja.
Bangunnya mereka untuk Allah perlihatkan pada kita sikap mereka yang berpesan-pesan sesama mereka agar jangan membuang masa dengan perdebatan yang sia-sia. Gunakan duit perak ini untuk mendapatkan makanan yang halal kerana masa yang suntuk mesti difokuskan pada perkara yang utama.
Kisah kedua dalam surah al-Kahfi adalah kisah kerugian. Apakah makna sebenar kerugian pada surah al-Asr ? Kisah pemilik dua kebun adalah kisah kaya harta namun miskin jiwa. Di sisi Allah, dia rugi dan Allah menunjukkan dengan jelas pengakhiran kisahnya adalah sebuah kerugian.
Kisah ketiga dalam surah al-Kahfi adalah kisah Nabi Khadr عليه السلام yang berpesan-pesan kepada Nabi Musa عليه السلام dengan kebenaran dan kesabaran. Bukankah kesabaran adalah kelemahan utama Nabi Musa عليه السلام di ketiga-tiga hentian ?
Kisah keempat dalam surah al-Kahfi adalah jihad seorang pemerintah Muslim untuk menjadikan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran sebagai dasar sebuah pemerintahan dan kekuasaan. Kekufuran ditangani dan kezaliman dicegah sama aktifnya dengan keadilan ditegakkan dan Islam disebarkan.
Surah al-Kahfi dari awal hingga ke akhir surah menegaskan iman dan amal soleh. Ayat 2, ayat 30, ayat 88 mengenai kemenangan orang yang beriman dan beramal soleh di dunia dan di Akhirat.
Ayat 7 mengenai mereka yang terbaik amal solehnya. Apakah amal soleh yang terbaik ?
Masih kurang jelas mengapakah dipaparkan kisah-kisah dakwah para anbiya’ hampir seperempat al-Qur’an ?
Surah al-Asr menjelaskan bahawa ia adalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.
Apakah pula amal yang paling rugi sebagaimana ayat kedua surah al-Asr dan ayat 103 surah al-Kahfi ?
Jika sukar memahami mesej surah al-Kahfi pada makna rugi, rujuklah surah sebelum al-Asr.
Semoga Allah membimbing kita dengan cahaya al-Kahfi dan al-Asr.
Syaari Ab Rahman
Jumaat, 10 Syawal 1440 H
Bangi, Selangor
Leave a comment