
Muaz sampai ke kampung lewat petang Rabu, katanya Khamis mula berpuasa. Ketika langit sudah mula redup dan angin membawa bau tanah yang baru disiram hujan.
Ramadan selalu terasa berbeza apabila dimulakan di sini. Di kota, dia mengejar waktu. Di kampung, waktu seperti memanggilnya duduk diam.
Muaz bukan orang yang asing dengan al-Quran. Dulu dia tamat sarjana muda bahasa Arab, dan kini sedang mengajar al-Quran selepas bergelar sarjana dalam bidang tafsir.
Namun anehnya, semakin tinggi dia belajar, semakin dia sedar ada perkara yang tak boleh dipetik hanya dengan nota dan rujukan. Ada makna yang hanya terbuka bila hati duduk betul-betul di hadapan Kalam Tuhan.
Selepas Isyak, Muaz melangkah ke surau kayu hujung simpang. Lampu kekuningan memantul pada wajah jiran-jiran yang lama tak dia jumpa. Suara budak-budak hilang perlahan bila saf mula rapat. Imam kampungnya naik dengan tenang, dan tarawih pun bermula seperti biasa dua puluh rakaat, ringkas, tidak memaksa.
Muaz cuma perasan satu kebiasaan bila imam berdiri pada rakaat kedua. Bacaan pendek, tetapi bunyinya sama yang dia dengar berulang kali selepas itu.
Surah al-Kawthar !
Sepuluh kali surah paling pendek itu menyeberang malam yang sama, dan Muaz menyangka dia akan rasa jemu. Namun malam itu dia silap.
__
Pada rakaat kedua, bacaan kali pertama, kalimah (إِنَّا) terasa seperti mengetuk perlahan di dada, seolah-olah Allah mengikat resah Muaz dengan satu simpulan yakin.
Satu kalimah yang menegaskan. Bukan “mungkin.” Bukan “harap-harap.” Tapi “sesungguhnya.” Tiada keraguan pada adanya berita gembira dari masa depan, dari Tuhan pada setiap yang beriman.
Bila imam menyambung (أَعْطَيْنَاكَ), Muaz seakan nampak bantuan yang memberi tanpa berkira. Kalimah itu bergerak dari bibir imam ke ruang hati Muaz, menutup bunyi bising kota yang masih tersangkut di telinganya.
Azam Muaz malam itu mudah, dia mahu masuk Ramadan dengan percaya pada janji pengampunan, bukan dengan adat atau kewajipan semata-mata.
__
Rakaat keempat, bacaan kali kedua, ayat yang sama turun tetapi seperti menyentuh tempat lain. Muaz terpaku pada (أَعْطَيْنَاكَ) lagi dan terasa seolah-olah perkataan itu menegur cara dia memberi.
Bukan sekadar “kami beri,” tapi seperti “kami anugerahkan”. Pemberian yang bukan pinjaman, bukan umpan, bukan sesuatu yang bila-bila boleh ditarik untuk menguji.
Selama ini Muaz memberi dengan berkira-kira dan syarat yang halus. Di surau kampung ini, kalimah itu berjalan perlahan dalam dirinya dan berkata tanpa suara, kalau Tuhan memberi seperti ini, mengapa engkau memberi kebaikan kerana mahu dipuji.
Azam Muaz beralih menjadi lebih jernih, Ramadan ini dia mahu belajar memberi kerana Allah, bukan kerana mahukan reaksi manusia.
__
Rakaat keenam, bacaan kali ketiga, Muaz seperti melihat makna (الْكَوْثَرَ) mengembang. Tiga perkataan sahaja pada ayat pertama ini, tetapi perkataan itu terasa seperti limpahan yang tak habis-habis.
Bukan sekadar nama surah. Bukan sekadar “sungai di Syurga.” Tapi rasa kebaikan yang sangat banyak, hingga Muaz tiba-tiba malu dengan cara dia selalu mengira nikmat. Muaz baru sedar, banyak kali dia menyangka hidupnya sempit hanya kerana dia menghitung nikmat dengan mata yang letih.
Malam itu, (الْكَوْثَرَ) bergerak dalam fikirannya menjadi latihan syukur yang baru. Azam Muaz lahir perlahan, dia mahu melatih diri kurangkan mengeluh, bahkan melihat nikmat Tuhan sebagai banyak, walau kecil di bualan orang.
__
Rakaat kelapan, bacaan kali keempat, ayat pertama datang bersama bayang sirah yang Muaz pernah baca dalam kitab-kitab tafsir. Muaz teringat satu kisah, surah ini turun ketika Nabi kehilangan anak lelaki.
Tetapi kali ini Muaz tidak terasa seperti maklumat. Ia terasa seperti pelukan. Duka itu nyata, tapi Allah datang dengan bahasa yang tidak membiarkan luka jadi penamat.
Bila imam membaca (إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ), Muaz terasa seolah-olah Allah mendidik makna musibah. Musibah bukan semata-mata hukuman, tetapi pilihan Allah untuk membawa kebaikan yang lebih banyak selepas sedikit kesakitan.
Lalu perkataan itu beralih dari bacaan kepada penawar. Azam Muaz menjadi lebih matang, bila luka datang, dia mahu ingat bahawa Tuhan sedang memimpin, bukan meninggalkan.
__
Rakaat kesepuluh, bacaan kali kelima, Muaz menangkap sesuatu yang halus. Bunyi hujung perkataan itu menyapa dekat, seolah-olah panggilan khusus.
Huruf “ka”, Kami beri ENGKAU…Surah-surah tertentu memang ada yang seakan memanggil Nabi seorang diri. Tiada jemputan orang lain masuk. Seolah-olah Tuhan berkata: ini waktu kau dan Aku sahaja.
Bila imam membaca (لِرَبِّكَ), Muaz terasa ruang sunyi terbuka, ruang yang selama ini dia tutup dengan skrin, notifikasi, dan sibuk yang tak habis. Ilmu bahasa Arab yang dia pelajari dulu seolah-olah hanya menyediakan pintu, tetapi malam itu hati yang masuk.
Azam Muaz malam itu sangat peribadi, dia mahu ada waktu “me-time” bersama Tuhan, walau sekejap, tanpa gangguan sesiapa.
__
Rakaat kedua belas, bacaan kali keenam, ayat kedua menyapa seperti arahan selepas hadiah. (فَصَلِّ) turun seperti langkah yang perlu dibuat, bukan sekadar perasaan yang perlu dirasa. Bila Tuhan memberi, Tuhan tidak sekadar memuji. Tuhan memberi lalu mengarah.
Dan arahan itu adalah, solat !
Muaz seakan melihat kalimah itu bergerak dari ayat ke tubuhnya, menegakkan berdiri, melenturkan sujud, menyusun nafas.
Dalam kelas tafsir, dia belajar tentang susunan ayat, munasabah, isyarat makna. Namun di surau ini, dia belajar satu lagi, ayat bukan sekadar difahami, ayat perlu ditaati.
Azam Muaz menjadi nyata, dia mahu betulkan solat, bukan sekadar cukup-cukup. Tapi solat yang dia masuk sebagai hamba, bukan sebagai orang yang “sekadar memenuhi jadual.”
__
Rakaat keempat belas, bacaan kali ketujuh imam, Muaz mendengar (لِرَبِّكَ) dengan telinga yang berbeza.
Solat bukan “kerana nikmat,” tapi “kerana Rabb.” Rabb itu bukan sekadar “Yang memberi.” Rabb itu “Yang memelihara, mengarah, mendidik.”
Kalimah itu bergerak seperti menukar nada doa Muaz yang selama ini banyak meminta seperti pelanggan, bukan seperti hamba.
Azam Muaz terbentuk perlahan, dia mahu belajar patuh sebelum meminta, tenang sebelum menuntut.
__
Rakaat keenam belas, bacaan kali kelapan, Muaz tersentak pada (وَانْحَرْ). Sembelih yang besar. Beri yang terbaik. Ada rasa besar pada perkataan itu. Seolah-olah ia bukan meminta sisa, tetapi meminta yang terbaik.
Muaz terkenang betapa kerap dia menangguhkan kebaikan besar kerana mahu selesa. Malam itu, (وَانْحَرْ) bergerak dalam dirinya sebagai panggilan untuk berkorban yang sebenar, masa, tenaga, ego, bukan sekadar wang baki.
Azam Muaz lahir dengan tegas, Ramadan ini dia mahu memberi yang terbaik, bukan sekadar ala kadar.
__
Rakaat kelapan belas, bacaan kali kesembilan, ayat ketiga turun seperti air sejuk. (إِنَّ شَانِئَكَ) seolah-olah memaparkan wajah-wajah yang suka memotong semangat, mencela, mengungkit.
Muaz teringat betapa mudah dia terbakar dengan komen dan sindiran, lalu dia habiskan hidupnya melayan api.
Tetapi ayat itu tidak memerintah Nabi membalas, ayat itu menenangkan, yang sibuk membenci akan jatuh pada kebuntuan sendiri.
Azam Muaz menjadi ringan, dia tidak mahu hidupnya berpusing pada pembenci, dia mahu berpusing pada kebaikan yang Allah mahu.
__
Rakaat kedua puluh, bacaan kali kesepuluh, surah itu datang sebagai penutup malam. (هُوَ الْأَبْتَرُ) berbunyi muktamad, seperti noktah yang tegas tetapi tidak bising.
Muaz seakan nampak makna terputus bukan sekadar nama, tetapi legasi, keberkatan, sambungan kebaikan.
Tiga ayat yang ringkas ini tiba-tiba terasa memikul makna yang besar, seolah-olah Allah mengajar bahawa sesuatu yang pendek boleh membawa barakah yang panjang.
Azam Muaz lahir tanpa drama, dia mahu bina legasi kecil yang bersambung, ilmu, amal, akhlak, walau bermula dari surau kampung yang sederhana.
__
Selesai salam, Muaz tidak terus bangun. Dia duduk seketika memandang mihrab, mendengar sisa bacaan yang masih bergetar di ruang surau.
Malam itu dia belajar sesuatu yang dia selalu terlepas pandang. Surah yang paling pendek tidak semestinya paling kecil. Bila ia diulang dengan hati yang hidup, setiap ulangannya bukan pengulangan, tetapi pembukaan makna baru yang awalnya tak kelihatan.
Muaz melangkah keluar ke serambi. Udara kampung dingin, tanah masih lembap. Orang ramai mula bersalaman dan mengemas sejadah. Muaz baru hendak menyarung selipar bila satu suara tua memanggilnya.
“Muaz!”
Dia menoleh. Imam yang setia dengan al-Kauthar itu sudah lanjut usia, langkahnya perlahan, tetapi matanya tenang.
“Tadi kamu diam lama lepas salam.”
Muaz tersenyum kecil.
“Saya rasa macam surah itu hidup, tok imam. Sepuluh kali, tapi lain lain rasa.”
Imam itu mengangguk, kemudian mendekat sedikit, seolah ada sesuatu yang mahu disampaikan.
“Kamu tahu tak… surau usang ni sebenarnya dah ada nama.”
Muaz terpinga.
“Namanya Surau al-Kauthar!”
Muaz memandang papan surau yang catnya pudar. Tiba-tiba dia rasa sepuluh bacaan tadi bukan kebetulan. Seakan surau itu sendiri sedang bercakap sejak rakaat kedua lagi.
Imam menepuk bahu Muaz perlahan.
“Orang dulu letak nama tu supaya kita ingat. Bila hati kering, jangan cari yang banyak dulu. Cari yang berkat.”
Muaz mengangguk, dada terasa penuh tetapi tenang. Malam itu, permulaan Ramadan di kampungnya terasa benar-benar “bermula”.
__
اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي
وَنُورَ صَدْرِي
وَجَلَاءَ حُزْنِي
وَذَهَابَ هَمِّي وَغَمِّي
اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي بِالْقُرْآنِ
وَاهْدِنِي بِهِ إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيمِ
Ya Allah, jadikanlah al-Quran musim subur bagi hatiku
dan cahaya bagi dadaku
dan penghapus dukaku
dan penghilang keresahan serta kesedihanku
Ya Allah, rahmatilah aku dengan al-Quran
dan pimpinlah aku dengannya menuju jalan-Mu yang lurus
Nukilan :
Syaari Ab Rahman
Diolah dari “Manusia Melukakan, Tuhan Menyembuhkan : Refleksi Surah al-Kauthar”
Terbitan Whitecoat
Leave a comment