TENTANG “AHMAD”, SURAH AL-MUZZAMMIL DAN AKHIR ZAMAN YANG MERETAKKAN

Ahmad membuka telefonnya. Notifikasi dari al-Jazeera masuk seperti biasa.

Setiap hari berita memaparkan kanak-kanak di tanah zaitun dibom tanpa belas.

Rejim terus bermaharajalela, merampas tanah dan memukul penduduk yang tidak bersenjata.

Sekutu-sekutunya pula mabuk menyerang negara-negara yang tidak berdosa atas nama keamanan dunia.

Ahmad rasa marah.
Ahmad rasa sedih.
Kadang-kadang Ahmad rasa tidak berdaya, mahu putus asa dari mengambil cakna.

Dalam kekacauan itu, Surah al-Muzzammil datang sebagai susunan yang menyelamatkan jiwanya.

1️⃣ (Ayat 1–7) — Dia Membina Malamnya

Ahmad sedar satu perkara:
Jika dia hanya menonton berita dan menyimpan kemarahan, dia akan hancur dari dalam.

Perlawanan yang sebenar bukan dengan rejim.
Dia mesti mula dengan melawan dirinya sendiri.

Jadi dia buat sesuatu yang sunyi.

Dia bangun malam.

Setiap malam, dia paksa diri bangun 15–20 minit lebih awal.
Kadang-kadang mengantuk. Kadang-kadang gagal.
Tetapi dia cuba.

Dia duduk dalam gelap, membaca beberapa ayat.
Tidak panjang. Tidak sempurna.

Tetapi perlahan-lahan, ada sesuatu berubah.

Dia mula rasa… tidak lagi kosong.

Dunia di luar masih keras.
Tetapi jiwanya tidak lagi rapuh.

Dalam gelap itu, dia menangis untuk umat.
Dia sebut nama tanah Zaitun dalam doanya.
Dia minta Allah kuatkan hati anak-anak yang telah kehilangan ibubapanya.

Perlahan-lahan, kemarahannya berubah menjadi keteguhan.

2️⃣ (Ayat 8–14) — Dia Jaga Hatinya Dari Putus Asa

Di negaranya sendiri, Ahmad melihat sesuatu yang lebih menyakitkan daripada berita perang.

Umat Islam bercakaran.
Berpecah kerana kelompok.
Asabiah menjadi kebanggaan

Media sosial pula penuh dengan suara yang mengelirukan,
agama dibincang tanpa disiplin,
hadis dipetik tanpa kefahaman,
pandangan pelik diviralkan tanpa tanggungjawab.

Hatinya pernah panas.

Dia mahu membalas.
Mahukan setiap kesilapan diperbetulkan segera.

Tetapi dia belajar satu perkara penting:

Jika hatinya sibuk melawan semua suara,
dia akan kehilangan pusatnya sendiri.

Lalu dia memilih untuk menenangkan hati.
Menguatkan sandaran kepada Allah.
Tidak membiarkan kebisingan manusia menguasai emosinya.

Dia belajar bersabar dengan kata-kata orang.
Belajar tidak terlalu rapat dengan perbalahan.
Belajar menyerahkan urusan besar kepada Tuhan.

3️⃣ (Ayat 15–19) — Dia Faham Sejarah Tidak Pernah Berpihak Kepada Kezaliman

Mengenai tanah Zaitun, Ahmad menenangkan hati dengan membaca al-Quran yang memaparkan kisah Firaun.

Dan dia tersentak.

Rejim yang kelihatan kebal hari ini bukan yang pertama dalam sejarah.
Firaun lebih kuat. Lebih zalim. Lebih angkuh.

Tetapi akhirnya tenggelam.

Ahmad sedar, kezaliman ada kitaran.
Setiap empayar ada saat runtuhnya.

Ini bukan soal geopolitik semata-mata.
Ini soal sunnatullah.

Keyakinannya berubah.

Dia tidak lagi hanya melihat kekuatan tentera.
Dia melihat janji Allah dalam sejarah.

4️⃣ (Ayat 20) — Dia Membina Sistem Dalam Hidupnya

Mengenai perpecahan dalam negaranya sendiri, Ahmad memahami bahawa bukan semua perkara dalam kawalannya.
Tetapi dia mampu mengatur hidupnya sendiri, dan anak-anaknya.

Dia jaga solat lima waktu seperti tidak boleh dirunding.
Dia mula konsisten menyumbang walaupun sedikit.
Dia ajar anak-anaknya tentang Tanah Zaitun bukan dengan kebencian, tetapi dengan doa dan prinsip.

Dia faham satu perkara penting:

Jika sistem dunia rosak,
kita mesti bina sistem sihat dalam diri dan keluarga.

Solat menjadi tiang.
Zakat menjadi pergerakan ekonomi kecil yang bersih.
Infaq menjadi perlawanan senyap terhadap kerakusan qarun yang kapitalis.

Lalu Apa Yang Berubah?

Ahmad masih lelaki biasa.

Tetapi dia tidak lagi terumbang-ambing dengan setiap berita.
Dia tidak lagi hancur dengan setiap kerenah umatnya.

Dia stabil.

Dan jika ribuan Ahmad wujud dalam satu generasi,
itulah benih kebangkitan sebenar. Pembinaan generasi !

Surah al-Muzzammil tidak menyuruh kita hanya marah.

Ia mengajar susunan dan perjalanan hidup di akhir zaman yang merosakkan.

Bangunkan malam.
Teguhkan hati.
Fahami sejarah kezaliman.
Bina sistem hidup yang bersih.

Dalam dunia akhir zaman yang retak,
itulah cara untuk tidak ikut retak bersama.

Dan mungkin, dari hati-hati yang dibina pada waktu malam,
akan lahir generasi yang Allah pilih untuk memulihkan semula tanah yang sedang dizalimi.

Semoga Allah berkati Ramadhan kita dengan surah al-Muzzammil.

Syaari Ab Rahman
Daurah Surah al-Muzzammil | Ramadhan 1447
“Kunci Tadabbur 13 : Membaca al-Quran Dengan Kesedaran Realiti”

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started