
1) Mulakan dengan bahasa persahabatan, bukan bahasa “ceramah”
Yusuf tidak membuka sesi dengan “wahai manusia…”, tetapi dengan “يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ” (wahai dua sahabatku yang sepenjara). Ini adab asas usrah: hubungan dulu, isi kemudian—dakwah yang sebenar ialah bersahabat, kerana perubahan perlukan masa dan rasa ditanggung.
2) Dengar “presented problem”, tapi jangan terperangkap—carilah real problem
Dua pemuda datang dengan isu mimpi (presented problem). Yusuf jadikan itu pintu untuk menyentuh akar sebenar: aqidah dan Rabb yang disembah (real problem). Ini adab naqib: jangan hanya jawab simptom—bantu ahli nampak punca.
3) Gunakan “wow factor” ahli untuk kembalikan wow kepada Allah
Mereka kagum dengan “ilmu takbir mimpi”. Yusuf “pusingkan” kekaguman itu supaya kembali kepada Allah sebagai sumber ilmu & ghaib—macam mengembalikan keterpesonaan kepada Tuhan, bukan kepada personaliti naqib.

4) Jangan tunggu “audience besar”—dakwah fardiyyah pun boleh ubah sejarah
Surah Yusuf menunjukkan peralihan besar: daripada dakwah kepada kaum ramai (ya qaumi) kepada dakwah kepada dua orang (ya sahihbayi). Ini mendidik adab usrah: dua orang pun cukup untuk kerja besar, kalau dibuat betul.
5) Bina kredibiliti dengan akhlak & ihsan, bukan “pandai bercakap”
Mereka berkata: “إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ”—mereka percaya kerana mereka nampak ihsan Yusuf, bukan kerana slide atau retorik. Usrah yang magnetik lahir bila ahli rasa: “naqib ni baik sungguh, selamat nak cerita.”
6) Didik ahli dengan “penjara hati”: kurangkan keinginan dunia, barulah bicara jadi jernih
Naqib tekankan “penjara maknawi”—bila hati tidak dikuasai gajet, status, atau nafsu, seseorang mula betul-betul berfikir dan muhasabah. Dalam usrah, adabnya: wujudkan suasana yang tenang, fokus, tertutup, supaya hati mudah menerima.
7) Jadikan usrah selektif & berfaedah—cakap yang penting sahaja
Allah “selektif” dalam penceritaan, dan Yusuf pula sebelum babak ini jarang bercakap—maka naqib dan ahli surah patut belajar tidak membazir kata, bercakap yang mendatangkan manfaat. Ini adab besar naqib: jangan usrah jadi “borak kosong”.
8) Ajarkan tauhid dengan soalan yang membuka akal, bukan menghukum
Yusuf ajar tauhid melalui soalan perbandingan (“tuhan-tuhan berasingan vs Allah Yang Esa”)—ini teknik usrah yang beradab: ajak berfikir, bukan paksa setuju. Seiring prinsip naqib: kekal neutral, re-phrase, bina ruang selamat untuk bincang.
9) Bila perlu sampaikan perkara berat, mulakan dengan yang lebih mudah diterima
Dalam ayat 41, Yusuf mentafsir—seorang selamat, seorang dihukum. Tidak dispesifikkan siapa agar kedua-duanya kekal bertenang. Perhatikan pula Yusuf: dahulukan berita gembira, kemudiankan dukacita. Ini kaedah tarbiah: jangan “sentap” tanpa hikmah—kebenaran tetap, tetapi cara menyampaikannya beradab.

10) Tutup dengan penutup yang jelas & pelan bertindak
Yusuf menutup dengan kepastian: “قُضِيَ الأَمْرُ”—mesejnya tidak tergantung. Seolah-olah Yusuf mahu keduanya terima ketentuan taqdir, masa untuk “move on” walau salah seorang akan menangis sedih. Namun sekurang-kurangnya dia sudah mendengar tauhid yang akan menyelamatkannya di alam barzakh.
Dalam usrah, penutup yang beradab ialah: ringkasan ahli + naqib simpulkan + pelan bertindak (supaya usrah tidak tinggal “feeling” sahaja).

Oleh :
Syaari Ab Rahman
Simposium Nuqaba KISAS
7 Februari 2026
Leave a comment