KEINDAHAN SUSUNAN LAPAN CIRI ‘IBADUL RAHMAN DI PENGHUJUNG SURAH AL-FURQAN

1.Disangka ciri ʿIbād al-Raḥmān itu banyak tadabbur di bilik dan di masjid. Rupanya Allah mula dengan adegan di jalan raya dan pasar raya. Berjalan di bumi dengan tawadhu. Berdepan kaum jahil dengan salam. Cahaya al-Quran bukan hanya untuk dibaca. Tetapi untuk dibawa hidup dan disebar di tengah manusia.

    2. Disangka siang begitu hebat mengurus dakwah dan manusia. Rupanya malamnya mereka audit diri di hadapan Allah. Sujud dan qiyam. Siang menjaga manusia. Malam melapor kepada Tuhan.

    3. Disangka bila qiyam sudah banyak, hati akan rasa ‘aku dah selamat’. Rupanya Allah letak dua ayat takutkan neraka selepasnya, bukan satu ayat sahaja. Seolah-olah Allah mengajar. Ibadah yang benar tidak melahirkan ujub. Ia melahirkan takut dan doa.

    4. Disangka orang yang kuat qiyam akan lemah dalam dunia organisasi, naif dalam pengurusan kewangan. Rupanya selepas doa menjauhi neraka, Allah terus sebut disiplin dalam perbelanjaan. Tidak boros. Tidak kedekut. Spiritualiti yang betul melahirkan integriti dan tata kelola. Termasuk dalam mengurus amanah syarikat.

    5.Disangka bila rezeki melimpah, rangkaian makin luas, pengikut makin ramai, ujian sudah tiada, bahkan ia muncul dalam bentuk yang lebih halus. Kenalan lama kembali. Pengikut pelbagai latar dan agama hadir. Peluang “engagement” luas terbuka. Bersama peluang itu datang bisikan yang menguji aqidah, menguji marah, menguji sayang.

    Lalu Allah letakkan checkpoint paling keras di tengah. Tidak syirik (aqidah). Tidak membunuh (marah). Tidak berzina (sayang). Menjaga tauhid, nyawa, dan maruah. Dia kekal istiqamah walau “circle” apa pun datang kepadanya. Tidak menjual prinsip demi tepukan.

    6. Disangka bila sudah kaya dan bertaqwa, menjaga diri dari terkena fitnah tiga serangkai tadi, habislah cerita. Rupanya dalam kalangan pengikutnya ada yang membisikkan mahu berhijrah dan bertaubat, tetapi takut kerana dosa terlalu banyak. Lalu dia gunakan pengaruhnya untuk memujuk mereka supaya jangan putus asa dari rahmat Tuhan.

      Sebab itu ayat taubat dan pengampunan dalam rangka ʿIbād al-Raḥmān ini terasa sangat panjang, hingga tiga ayat ketika yang lain hanya satu ayat. Ia seakan Allah sengaja meluaskan ruang nafas. Supaya orang yang paling kotor semalam pun berani pulang hari ini. Dan supaya orang yang sedang menuju Allah tidak merasa pintu itu sempit.

      7. Disangka ujian seterusnya hanya pada dosa besar yang jelas. Rupanya ujian sosial juga berat. Fitnah. Lagha. Circle lama mengajak kembali pada jahiliah. Dia ajak kawan-kawan lama mendekat kepada al-Quran dan majlis-majlis ilmu. Ada yang mahu. Ada yang tidak. Bahkan yang tidak mahu, mengajaknya pula minum-minum bersantai. Tiba masa perlu beredar kerana adanya caci sindir orang, dia beredar kirāman. Hormat. Mulia. Tanpa hina. Tanpa cerca. Silaturrahim dijaga. Prinsip tetap dipelihara.

      8. Disangka kemuncak profil ʿIbād al-Raḥmān ialah pandai menilai orang. Rupanya kemuncaknya ialah pandai menilai wahyu. Bila diingatkan ayat Allah, dia tidak pekak dan tidak buta. Dia bukan sekadar lalu ayat-ayat Tuhan. Dia berhenti. Faham. Tersentuh. Lalu dia berubah.

      9. Disangka selepas semua itu, dia sudah sampai. Rupanya ujian terakhir ialah yang paling dekat. Membina keluarga. Doanya bukan lagi aku. Tetapi kami. Pasangan dan anak menjadi qurrata a‘yun. Dan cita-citanya bukan kuasa. Tetapi menjadi imam bagi muttaqin. Pemimpin kebaikan yang bermula dari rumah.

        Ya Allah, Ramadhan ini, golongkanlah aku di akhirnya nanti dalam kumpulan yang mendapat keberkatan al-Quran, dalam kumpulan ʿIbād al-Raḥmān.

        Ameen

        Syaari Ab Rahman
        Yayasan Tadabbur

        Leave a comment

        Website Powered by WordPress.com.

        Up ↑

        Design a site like this with WordPress.com
        Get started