REFLEKSI HADIS KEDUA DARI MATAN ARBA’UN

  1. Cara Jibril duduk menunjukkan adab yang tinggi di hadapan murabbi. Adab sebelum ilmu. Dan majlis ilmu fizikal, seakan lutut bertemu lutut, sentiasa ada barakah di zaman semua ilmu boleh dipetik dengan hujung hari.
  2. Jibril sedang mengajar para sahabat dalam bentuk “demontrasi” iaitu bagaimana bertanya soalan yang betul. Tidak semua babak bertanya itu ini, disukai Tuhan.
  3. Tidak perlu berlama-lamaan dengan seorang guru selepas majlis ilmu selesai. Jangan rasa diri terlalu istimewa hingga guru perlu beri masa pada kita. Bangunlah terus selepas semua persoalan terjawab. Masa untuk beramal.
  4. Jawapan Nabi SAW sangat jelas, tidak gagap, tidak mengelirukan, tersusun satu persatu, seakan ada “jahitan” dan hubungan antara satu sama lain. Kalimah jami’ dan mani’ menyerlahkan sifat hikmah Baginda memproses maklumat wahyu ke dalam bahasa difahami yang ringkas dan kemas sesuai keadaan penanya.
  5. Yang bertanya juga sama bijaksana dengan yang ditanya. Soalannya disusun dengan rapi. Bermula dengan perkara yang nampak (apakah itu Islam), berakhir dengan perkara tidak nampak (apakah itu Ihsan).
  6. Kekadang guru boleh memuji pelajar apabila pelajar itu dikenali bakat dan potensinya. Nabi tidak menjawab mengenai Kiamat kerana Nabi arif benar keterbatasan ilmu mengenainya berbanding Jibril.
  7. Hadis bermula dengan adab, berakhir dengan adab. Hadis bermula dengan adab Jibril menanya Nabi SAW – menurut riwayat Umar – sendiri. Hadis berakhir dengan zaman manusia mudahnya menjadi kaya dan membina bangunan tinggi-tinggi, namun pada masa yang sama hilangnya adab mereka pada ibubapa mereka, sebagai tanda hampirnya Kiamat.

Barakallah fikum

Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur
Refleksi Buku
“40 Hadis Imam Nawawi : Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa” (Shekh Ali Jumu’ah)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started