DARI SEORANG PENGKAJI MENJADI PEJUANG PALING DIGERUNI

Membelek sepintas lalu tesis lebih 600 halaman beliau, saya segera faham bahawa kelantangan ucapannya bukan sesuatu yang dibuat-buat.

Disangka ia kajian seorang ahli akademik yang lahir dari bilik berhawa dingin, rupanya tulisan seorang insan yang selama ini menutup wajah dengan serban merah. Seorang ilmuwan yang akhirnya membayar kebenaran ilmunya dengan nyawa.

Jelaslah kefasihan bahasa Arab beliau bukan kerana membaca skrip, tetapi kerana beliau berbicara dari hati yang sarat dengan keilmuan. Nyata kepimpinan beliau memilih orang yang tepat untuk berada di posisi yang tepat.

Tesis “Ardhul Muqaddasah Menurut Perspektif Yahudi, Kristian dan Islam” itu bukan sekadar luahan kesakitan umat yang telah lama dipendam, bahkan digarap dengan bimbingan cahaya al-Qur’an dan al-Sunnah.

Apakah makna memperjuangkan isu Baitulmaqdis sebagai isu akidah, dan bukan sekadar tanah yang dijajah ?

Benarkah konflik tanah Zaitun ini mampu diselesaikan tanpa menyentuh akar kepercayaan agama Yahudi dan Kristian terhadapnya ?

Jika tanah Zaitun dibebaskan hari ini tanpa pembetulan akidah umat, adakah penjajahan itu benar-benar akan berakhir ?

Ini antara persoalan penting yang dijawab oleh tesis beliau.

Kini, beliau telah syahid ketika mempertahankan tanah Zaitun yang beliau kaji dan hujahkan di pentas dunia, bukan sekadar di meja viva. Kajian itulah fikrahnya dan hujahnya di hadapan Allah nanti, ketika dunia dan sebahagian ummat sedang ditipu dengan naratif palsu kaum penjajah.

أنتم خصومنا أمام الله عزوجل 😭😭😭

Sesiapa yang mampu, terjemahkanlah dan jadikanlah tesis beliau ini sebagai silibus pejuang. Kerana yang bakal lahir daripada kitab ini bukan hanya pejuang yang mencintai syahid, tetapi pejuang yang memiliki thaqafah luas tentang Baitulmaqdis, dari sejarah para nabi hingga kedudukannya di akhir zaman.

Sebenarnya, ini bukan sekadar kisah seorang individu. Beliau hanyalah jelmaan kepada karakter barisan hadapan tanah Zaitun yang mencintai ilmu dan mencintai perjuangan dalam satu nafas. Mereka tidak membenarkan kita memberi alasan untuk memilih antara mencintai ilmu tetapi meninggalkan perjuangan, atau mencintai perjuangan tetapi meninggalkan ilmu.

Semoga syurga tertinggi buatmu wahai “A.U”, jurucakap rasmi tanah Zaitun !

Syaari Ab Rahman
Yayasan Tadabbur
4 Januari 2026

(Thesis beliau telah saya kongsikan di laman Telegram Syaari Ab Rahman)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started