MENGETUK PINTU 2026 DENGAN DOA NABI YUSUF ALAHISSALAM (12:101)

Di penghujung Surah Yusuf, terdapat satu doa yang sangat ringkas, tetapi sarat dengan makna kepimpinan. Ia bukan doa orang yang sedang gagal, bukan juga doa orang yang sedang mencari peluang. Ia adalah doa Nabi Yusuf ketika berada di puncak amanah, kuasa dan kepercayaan. Saya ada mengulas lanjut dalam karya terdahulu, “Pengikut Yang Merosakkan”, namun sudut pandang yang ditulis di sini tiada di sana.

Inilah doa yang saya rasakan sangat wajar menjadi pegangan hidup, khususnya sesiapa yang diberikan amanah sebagai CEO atau pimpinan sesebuah organisasi ilmu atau organisasi dakwah.

Inilah yang membezakan kisah-kisah al-Qur’an dengan kisah-kisah lain. Al-Quran tidak sekadar menceritakan kejayaan seorang Nabi, tetapi memperlihatkan nilai spiritual di saat kejayaan seseorang itu memuncak.

Nabi Yusuf berdoa (12:101) :

۞ رَبِّ قَدْ ءَاتَيْتَنِى مِنَ ٱلْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِى مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ ۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ تَوَفَّنِى مُسْلِمًۭا وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ ١٠١

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”.

Doa ini, apabila direnungi, sebenarnya tersusun dalamnya enam unsur utama yang membentuk jiwa seorang pemimpin.

UNSUR PERTAMA : JAWATAN ITU UJIAN

رَبِّ قَدْ ءَاتَيْتَنِى مِنَ ٱلْمُلْكِ

Doa ini bermula dengan sebuah pengakuan. Nabi Yusuf mengakui bahawa kuasa, jawatan dan pengaruh yang ada padanya bukan hasil kehebatan diri, tetapi pemberian Allah.

Di sinilah terletaknya ketenangan seorang pemimpin. Apabila seseorang sedar bahawa amanah itu diberi, bukan dimiliki, dia tidak lagi terbeban dengan ego untuk sentiasa membuktikan dirinya “somebody”. Keputusan dibuat dengan lebih tenang, bukan dari tekanan atau ketakutan.

Nabi Yusuf juga mengakui bahawa kekuasaan yang ada padanya hanyalah “min al-mulk”, iaitu “sebahagian” sahaja, bukan keseluruhan. Ungkapan ini penuh kerendahan diri. Banyak lagi nikmat yang Allah kurniakan kepada orang lain, dan banyak lagi yang tidak dikurniakan kepadanya.

UNSUR KEDUA : ILMU MEMAHAMI MANUSIA

‎وَعَلَّمْتَنِى مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ

Nabi Yusuf tidak menyebut kekuasaan sahaja tanpa menyebut ilmu. Di sinilah keseimbangan sesebuah organisasi terserlah.

Jika Yusuf diberi kerajaan tanpa ilmu mimpi, Mesir tidak akan selamat daripada kemarau. Jika diberi ilmu mimpi tanpa kerajaan, ilmu itu tidak mampu menyelamatkan jutaan nyawa.

Kemudian Nabi Yusuf menyebut tentang perihal ilmu terpenting diberikan Tuhan padanya. Ia bukan ilmu tafsir mimpi semata-mata, bahkan keupayaan mentafsir realiti, membaca manusia dan memahami isyarat masa depan.

Inilah yang sangat diperlukan dalam kepimpinan hari ini. Bukan sekadar bijak mengurus angka, tetapi bijak membaca zaman. Doa ini mendidik saya bahawa “growth” yang sihat lahir daripada kefahaman yang mendalam, bukan reaksi tergesa-gesa terhadap tekanan pasaran dan “algorithm”.

UNSUR KETIGA : MENCIPTA KEHIDUPAN BARU

فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ

Di saat manusia sedang “sujud” kepada Yusuf, Yusuf sendiri mengalihkan ucapannya ke langit dan sujud sebenar adalah kepada Tuhannya. Ini bukan ucapan doa selepas solat atau khutbah di masjid, tetapi doa di atas takhta sebuah negara termaju di dunia. Kuasa yang besar dan pujian manusia langsung tidak mengubah hatinya.

Perkataan Fāṭir membawa makna “membelah” dan “memulakan sesuatu daripada ketiadaan”. Inilah lafaz yang paling tepat menggambarkan perjalanan hidup Nabi Yusuf.

Allah membelah kegelapan telaga dengan timba kafilah, lalu bermulalah kehidupan baru seorang Yusuf.

Allah membelah kehinaan pasar hamba dengan pembelian al-‘Aziz, lalu bermulalah kehidupan baru di istana.

Allah membelah kesempitan penjara dengan mimpi raja, lalu bermulalah kehidupan baru sebagai pemimpin tertinggi Mesir.

Inilah agama yang menyatukan keperluan langit dan keperluan bumi, keperluan ruh dan keperluan jasad. Seorang pemimpin tidak perlu takut dengan bahan mentah kehidupan yang pahit, kerana Allah Fāṭir mampu menghasilkan natijah yang tidak pernah disangka daripada “bahan” yang sama.

Lafaz Fāṭir ini mengingatkan saya satu hakikat bahawa kita bukan pencipta rezeki, bukan penentu masa depan, bahkan kita hanya pengurus amanah kecil dalam sistem Allah yang Maha Besar.

UNSUR KEEMPAT : SUMBER PERLINDUNGAN

‎أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ

Bahagian paling menenangkan dalam doa ini ialah apabila Nabi Yusuf menyatakan dengan jelas: “Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat.” Ia memutuskan sumber ketakutan seorang pemimpin.

Di tengah dunia bisnes yang penuh strategi dan tipudaya manusia yang mengejar keuntungan, Nabi Yusuf menegaskan bahawa pelindungnya hanyalah Allah, bukan sistem, bukan pengaruh, bukan manusia.

Dunia perniagaan dan organisasi sentiasa berubah. Angka boleh turun, projek boleh gagal, sokongan boleh beralih. Tetapi apabila perlindungan disandarkan kepada Allah, seorang CEO mampu membuat keputusan dengan lebih berani dan berprinsip, tanpa menggadaikan nilai demi kelangsungan jangka pendek.

UNSUR KELIMA : MAKNA SEBENAR KEJAYAAN

‎تَوَفَّنِى مُسْلِمًا

Menariknya, Nabi Yusuf tidak berdoa agar kuasanya dikekalkan atau empayarnya diperluaskan. Sebaliknya, permintaan utamanya ialah agar dia diwafatkan sebagai seorang Muslim !

Seolah-olah baginda berkata:
“Aku tidak kisah dibuang dari rumah, dibuang dari istana, asalkan jangan Engkau buang aku dari agama-Mu.”

Ini adalah peringatan paling jujur buat seorang pemimpin. Kejayaan sebenar bukan apa yang kita bina di dunia, tetapi bagaimana kita menghadap Tuhan.

Doa ini menjadi penapis yang sangat halus. Setiap keputusan perlu ditanya, adakah ia mendekatkan aku kepada Allah atau sekadar membesarkan organisasi tanpa ruh.

UNSUR KEENAM : LINGKUNGAN YANG BAIK

‎وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

Akhirnya, Nabi Yusuf memohon agar digabungkan bersama orang-orang soleh ( وَأَلْحِقْنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ ). Ini mengajar bahawa kejayaan tidak sepatutnya mengasingkan seseorang daripada lingkungan yang baik.

Seorang pemimpin memerlukan ekosistem yang sihat. Ia seperti penasihat kerohanian, sahabat atau staf yang jujur menegur, dan komuniti yang menjaga iman. Dari sinilah lahir organisasi yang bukan sahaja efisien, tetapi berakhlak.

Inilah doa orang yang mahu berjaya dalam bisnes, tetapi tidak mahu kehilangan Tuhan ketika berjaya.

Doa Nabi Yusuf mengajar kita bahawa kejayaan bukan bermula dengan permintaan, tetapi dengan pengakuan, dan tidak berakhir dengan kuasa, tetapi dengan iman.

Dan mungkin, inilah doa yang paling saya perlukan setiap kali amanah semakin besar, dan jalan di hadapan semakin mencabar.

Siiru ala barakatillah semua untuk 2026 !

Syaari Rahman
Yayasan Tadabbur Malaysia
Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.
Tadabbur Centre Sdn. Bhd.

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started