Alhamdulillah, terima kasih Suri Rumah Rahmah atas jemputan ke Persidangan Suri Rumah Kebangsaan ini. Mujur isteri yang menemani menguatkan saya untuk tidak rasa “alien” dalam majlis yang sangat bermakna untuk “empower” kumpulan ‘suri rumah tauuu…’. 😁
Hampir 250 orang wanita yang membanjiri dewan The Everly Putrajaya ini, semoga Allah merahmati himpunan yang diadakan untuk merenung dan mengamalkan makna “qurratu a‘yun” sebagai azwaj pada ayat 74 surah al-Furqan.
Melengkapkan perkongsian bermakna dari Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Dr Atiyah Azmi dan Lin Arifin ZAYAN, saya berkongsi kualiti tokoh-tokoh yang berada dalam definisi “suri rumah”, menggunakan akronim MADYAN untuk memudahkan ingatan.
MADYAN itu sendiri adalah kisah permulaan kepada sebuah institusi “qurratu a‘yun” seorang Nabi yang paling banyak kisahnya dalam al-Qur’an.
Di bumi Madyan, (Nabi) Musa a.s. dipertemukan dengan wanita muda yang istihya‘ (sangat pemalu), namun berani menyesuaikan diri dengan “circle” agresif di Madyan, pada masa yang sama bijak memberi nasihat kepada ayahnya sendiri dalam hal pengambilan pekerja.
Mencadangkan Musa a.s. mengambil alih kerja mereka bermakna mencipta ruang lebih banyak masa di rumah untuk berbakti pada ayah, keluarga, bahkan pada diri sendiri.
- M – Motivator “Khalifah”
Seperti Sayyidatina Khadijah RA yang menjadi motivator Nabi ﷺ, seorang suri rumah mampu memberi sokongan besar pada suami agar terus kuat berbakti sebagai “khalifah” di luar rumah.
Saya kongsikan semalam bagaimana figura wanita yang besar jasanya pada Baginda ini menyediakan “tapak geografi” kepada bakal Nabi dan “tapak spiritual dan emosional” kepada Baginda selepas kenabian.
- A – Analyzer Isu Ummat
Seperti Sarah RA, isteri Nabi Ibrahim, yang”berdiri” dan “ketawa” menunjukkan kepekaanya dengan isu umat ketika mendengar berita tentang kaum Luth.
Suri rumah hari ini boleh mengurus masa membaca mereka pada pelbagai karya (sertai “suri rumah membaca” yang pernah dikendalikan isteri saya), dengan pembacaan yang meluas pastinya mereka mampu menganalisa isu semasa dengan lebih baik.
- D – Didik Anak, Designer Wawasan, Developer Character
Seperti ibu Musa, ibu Yahya, ibu Maryam—semua membuktikan bahawa pendidikan anak di rumah boleh membina sejarah besar umat yang membanggakan.
Ibu Musa membesarkan Musa dengan wawasan menjatuhkan rejim, ibu Maryam mendoakan anaknya menjadi “muharrara“, isteri Nabi Zakariya pastinya membesarkan Yahya sejak kecil dengan hikmah dan pengalaman hidup yang banyak.
Saya ada mencadangkan pada suri rumah agar memaknai surah al-Qasas kerana ada tiga kisah wanita “suri rumah” di permulaan surah berkenaan.
- Y – Yakinkan Suami Ketika Musibah
Seperti Hajar yang berkata kepada Nabi Ibrahim: “إذن لا يضيعنا” (Jika Allah yang memerintahkan, Allah tidak akan sia-siakan kita). Keyakinan isteri mesti menguatkan langkah suami setiap kali musibah datang menimpa keluarga atau salah seorang dari pasangan.
Kelas-kelas tadabbur al-Quran dan refleksi hadis-hadis Baginda yang dipelajari suri rumah secara atas talian pastinya menjadi benteng utama dari pasangan diganggu was-was syaitan yang menyakitkan.
- A – Akhirat Dalam Doa
Seperti Asiyah binti Muzahim RA isteri manusia paling ganas dalam al-Quran, beliau mengadu masalahnya dengan Firaun dan rejim kepada Allah.
Inspirasi dari doa beliau agar disediakan rumah di syurga, suri rumah mesti punyai ketabahan hati yang kuat dengan ketentuan Tuhan.
Atau keberanian untuk bertindak menurut kerangka syariat apabila suami sudah “nushuz”, atau meninggalkan solat dan kewajipan agama, atau menjalin hubungan dengan perempuan yang tidak beriman atau menjalin hubungan secara haram.
- N – Narrator (Penyebar, Pempengaruh) Kebaikan
Seperti isteri al-Aziz yang akhirnya menyebut kebenaran sebenar kisah jari terluka pada raja Mesir dan suruhanjaya siasatan.
Seperti isteri-isteri Nabi ﷺ yang menjadi ibu orang-orang beriman hingga akhir zaman, merekalah menjadi sumber ilmu kisah-kisah “privacy” Baginda dalam rumah untuk dijadikan uswah.
Saya bawa peserta menyingkap hikmah surah al-Ahzab yang menggabungkan dua isu serentak iaitu makin besar penguasaan kerajaan Madinah pada wilayah-wilayah tanah Arab, makin bertambah jumlah isteri-isteri Baginda yang majoriti balu-balu pejuang.
Satu rencana Yang Maha Teliti agar Baginda terus bersikap manusiawi ketika di puncak kuasa, terus kaya emosi dengan proses pembelajaran dari madrasah “al-Hujurat”.
Doakan saya dapat membantu isteri menulis “Suri Rumah Dalam al-Quran” inshaallah sebagai pelengkap pada “Perempuan Berbudi Dalam al-Quran” dan “Perempuan Yang Baik-Baik Dalam al-Quran”.
Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre

Leave a comment