Kalau sudah semua barang kemas atau pakaian pada tubuh pun akhirnya DICAMPAKKAN ke pentas, kononnya untuk rebirth, maka fahamlah kita kenapa al-Quran ada berbicara mengenai pendustaan “Samiri” dan kejahilan kaumnya.
قَالُوا۟ مَآ أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا وَلَـٰكِنَّا حُمِّلْنَآ أَوْزَارًۭا مِّن زِينَةِ ٱلْقَوْمِ فَقَذَفْنَـٰهَا فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى ٱلسَّامِرِىُّ ٨٧
Mereka (Bani Israil) menjawab:
“Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu (wahai Musa) itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami MENCAMPAKKANNYA ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.” Ta-Ha (20:87)

Al-‘Allamah Muhammad Shinqiṭī (1394 H) dalam Adhwa’ al-Bayan menyatakan pandangan bahawa tindakan membakar perhiasan adalah bertujuan menyatukan semua harta itu sebagai satu ketulan emas, yang boleh disimpan untuk kelak ditentukan oleh Nabi Musa.
Namun Samiri mempergunakan kesempatan itu secara licik, melakukan perbuatan ghaib yang bersifat tasyabbuh sihir, dengan:
Menyimpan tanah dari (kononnya) jejak kuda malaikat Jibril,
Mempercayai ia memiliki sifat hidup,
Melemparkannya ke dalam emas cair sebagai bentuk ritual penciptaan,
Memohon padanya untuk berubah menjadi anak lembu yang bersuara.
Dalam التفسير المقاصدي tulisan Dr. Jāsir ‘Awdah, beliau menyatakan
في هذه العبارة إشارة إلى أن السامري يرى نفسه صاحب بصيرة خاصة لا يراها الآخرون،
وأن له القدرة على فعل ما لا يقدر عليه غيره،
ويبرر فعله برؤية خاصة وتأويل ذاتي ثم يقول: “وكذلك سولت لي نفسي”، أي أن الباعث الحقيقي هو هوى النفس!
“Dalam ungkapan ini, tersirat bahawa Samiri menganggap dirinya memiliki penglihatan istimewa yang tidak dimiliki orang lain. Dia merasa memiliki kuasa dan kemampuan melakukan sesuatu yang luar biasa, dan dia membenarkan tindakannya dengan tafsiran peribadi serta rasa istimewa batiniah.
Namun pada akhirnya dia mengaku: “Begitulah jiwaku membisikkan (menggoda) aku,” — yakni pendorong sebenar tindakannya ialah hawa nafsunya sendiri!”
Al-Maududi pula menambah di laman EnglishTafsir Dot Com :
“Alasan itu datang daripada mereka yang terlibat dalam syirik bersama Samiri. Mereka ingin berkata: “Kami tidak mencampakkan perhiasan dengan niat untuk membuat patung anak lembu, dan kami pun tidak tahu apa yang akan terjadi dengannya. Tetapi apabila patung itu telah siap, kami secara tidak sengaja terlibat dalam syirik itu. Perhiasan berat yang dipakai oleh lelaki dan wanita kami, seperti orang Mesir, menjadi beban dalam perjalanan di padang pasir. Kami tidak tahu bagaimana mahu melepaskannya. Sukar untuk bergerak di padang pasir sambil membawa semua itu.”
Amin Ahsan Islahi menegaskan ini adalah muslihat psikologi dan teknikal, bukan sihir literal. Samiri menggunakan kemahiran seni pembuatan patung ala-Mesir, bukan kekuatan ghaib.
“Samiri mencipta lembu berhala yang boleh mengeluarkan bunyi lembu jantan. Dia menyebarkan cerita bahawa bunyi itu muncul kerana dia mencampakkan debu dari jejak kuda Jibril ke dalam patung itu. Hingga hari ini, ramai yang memperdaya manusia dengan helah psikologi. Samiri zaman kini ada dalam kota kita, dan jauh lebih mahir menipu.”
Amīn Aḥsan Islahi, Surah Ṭāhā (ayat 87–88), Tadabbur-e-Quran, vol. 5.
Kesimpulannya,
Samiri bukan sekadar pandai menipu, tetapi dia memainkan “simbolisme” dan taktik spiritual palsu untuk mencipta benda yang boleh dituhankan.
Semoga Allah pelihara kita dari “Samiri” moden, yang memanipulasi trauma dan kesempitan kewangan sebahagian manusia untuk membina ritual yang tidak syar‘ie lalu menyusupkan kepercayaan palsu.
Semoga Allah pelihara iman kita dari mempunyai prasangka kononnya “Tuhan Musa” sebagai ‘terlalu lambat’ menjawab doa-doa kita, lalu diangkat guru-guru moden dari fahaman New Age sebagai “penyelesai segera”.
Wallahul musta’an
Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre
Leave a comment