
Memang banyak kelebihan apabila berkesempatan ke stadium melihat sendiri perlawanan bersejarah Malaysia akhirnya berjaya menang ke atas Vietnam selepas 10 tahun penantian.
Sorakannya, debarannya, dan getaran semangatnya tak sama seperti menonton di rumah. Suasananya hidup. Saya bukan sekadar menonton, saya merasakan, bersama adik-adik staf saya.
Begitulah juga para sahabat. Mereka bukan sekadar membaca al-Quran, mereka menyaksikan ia turun — ayat demi ayat. Melihat reaksi Rasulullah ﷺ, memahami konteksnya secara langsung, merasai turun naik emosi wahyu.
Mereka ‘di stadium’. Mereka berdiri di tepi padang sejarah.
Tapi bagaimana dengan sebahagian kita yang menonton dari rumah? Bahkan majoriti pun menonton di rumah?
Kita yang menonton perlawanan yang sama dari rumah, seumpama itulah “menonton” wahyu dari mushaf, rakaman sejarah, dan tafsir para ulama. Kita tidak berada di stadium. Kita tidak mendengar suara Jibril, tidak melihat wajah Nabi ketika wahyu turun.
Namun, jangan silap, walaupun kita tidak di stadium, kita tetap dapat memahami permainan. Malah, dalam beberapa hal, kita boleh ada kelebihan:
• Kita dapat menonton ulang tayang. Ia tiada di skrin Bukit Jalil. Umat kini punya akses kepada 30 juzuk al-Quran sekaligus, dan kita boleh ulang baca dan faham, apatah lagi dengan bantuan tafsir dan ulama.
• Kita menonton dengan perspektif penuh. Sejarah sudah lengkap. Kita tahu bagaimana “perlawanan” itu berakhir, dan kita boleh ambil pengajaran dengan lebih luas. Kerana analisis perlawanan di sana sini, ulama ratusan tahun sudah ramai mengulas perlawanan sengit berkenaan.
• Kita masih boleh bersorak. Iman masih boleh hidup. Hati masih boleh bergetar. Kerana al-Quran tidak mati. Ia masih hidup untuk mereka yang membacanya dengan hati.
Mungkin kita bukan ‘penonton terawal’, tapi kita masih penonton yang punya peluang untuk bersorak dengan iman, menangis dengan hidayah, dan bangkit dengan semangat kebenaran.
Dan jangan lupa, Allah tidak menilai siapa yang berada di stadium atau di rumah. Dia menilai siapa yang menghayati perlawanan itu dalam hati.
Leave a comment