“BATU BERSURAT” DI MASJID BULUH, GUA MUSANG

Sebagai mukmin, apabila dipertemukan dengan mana-mana halaman al-Quran, atau diperdengarkan dengan mana-mana ayat Allah, harusnya kita berfikir dengan mendalam apa maknanya dan kenapa agaknya Allah “menurunkan” ayat itu kepada kita.

Setibanya di Masjid Buluh, Gua Musang, isteri yang kali pertama hadir ke sini bertanya, “abang, ayat-ayat ini mengenai apa ya?”

Saya jawab, “Kena tanya orang masjid rasanya. Mereka lebih arif. Atau beginilah. Bagi abang masa. Abang studi dulu.”

Tahniah pada pihak yang telah membangunkan keratan gergasi yang diambil dari mushaf al-Quran halaman 25 hingga 26 ini. Peringatan yang tepat pada masanya bagi orang bermusafir. Barakallah fikum

Sekurang-kurangnya, ada empat peringatan atau 4 “M” buat kita, dijelaskan dari juzuk 2 al-Quran, ayat 164 hingga 176 surah al-Baqarah ;

MERENUNG (AYAT 164)

Kebesaran Allah itu sangat jelas di sekeliling kita. Kita hanya perlu berfikir, termenung dan meninggalkan telefon seketika. Memasuki Kelantan sama sahaja memasuki negeri-negeri lain, antara panorama yang boleh disaksikan ialah hujan lebat, suasana pertanian di kampung atau aktiviti perikanan di lautan.

Maka, seakan ayat 164 membetulkan niat bermusafir kita iaitu bukan sekadar balik kampung, tetapi memahami bahasa alam ciptaan Tuhan untuk lebih memahami tujuan kehidupan.

MEDIA SOSIAL (AYAT 165-167)

Kekadang yang menghalang kita dari berfikir dan merenung tadi ialah keghairahan “selfie” sana sini kerana kita tiba di lokasi “rare” atau kali pertama kita sampai.

    Maka, seakan ayat 165-167 mengingatkan hakikat hidup ini sangat sementara, binalah bekalan segera sebelum kematian datang dari hanya terus membina pengaruh. Followers yang ramai, yang mencintai pempengaruh lebih dari Tuhannya sendiri, tidak akan jadi bekalan perjalanan ke Akhirat jika followers itu tidak pun didekatkan pada Tuhan.

    MAKAN MINUM (AYAT 168-172)

    Kekadang bila musafir, kita nak buru kedai-kedai makan yang “viral”. Sanggup beratur panjang hanya kerana nak beritahu satu dunia yang kita dah sampai ke “syurga” berkenaan. Akhirnya, kita tak sedar, kita mungkin telah buang banyak masa menunggu berjam-jam untuk makanan tiba. Kekadang makan sambil menjemput syaitan, memakan sesuatu yang tidak dipastikan halal haramnya atau membazir makanan tanpa rasa bersalah.

      Maka, seakan 168-172 ini mengingatkan agar jangan makan minum hanya kerana orang itu kata, orang ini kata. Buatlah sesuatu dengan ilmu dan perhatikanlah makan minum itu sendiri sebagai satu anugerah dari Tuhan.

      MENUNTUT ILMU AGAMA (AYAT 174-176)

      Kekadang musafir kita bukan balik kampung atau bercuti, tetapi menghantar anak belajar menuntut ilmu agama di sekolah atau institusi tertentu.

        Maka, seakan ayat 174-176 ini menjadi pesan penting pada anak-anak agar terbina keperibadian mereka dijauhkan dari ciri-ciri Ahlul Kitab yang dimurkai Allah. Kisah agamawan Yahudi yang menyembah sokongan dan puji-pujian, yang haq dari Kitabullah disembunyikan, yang mungkar dibiarkan, peringatan dari ayat-ayat yang dipaparkan ini sangat menggerunkan.

        Wallahu a’lam

        Semoga ayat-ayat Allah yang terpateri di sini tidak hanya dikagumi hanya kerana ia hasil tulisan tangan, bahkan kekaguman itu disandarkan pada isi kandungan dan pesan-pesannya yang sangat diperlukan oleh kita semua.

        Syaari Ab Rahman
        Tumpat, Kelantan
        Sha’ban 1446 H

        (Jika posting ini bermanfaat buat “set kito”, sudi-sudikan “share” agar ada sebab “spiritual” untuk musafirin dan pelancong singgah di sini, inshaallah)

        Leave a comment

        Website Powered by WordPress.com.

        Up ↑

        Design a site like this with WordPress.com
        Get started