DOA BAGINDA AGAR KERJA DI PEJABAT JADI BERKUALITI DAN JADI IBADAH

Esok akan menyampaikan topik kerja sebagai ibadah di WBS Shah Alam.

Selain mengambil inspirasi dari seorang tokoh nabi yang diwafatkan Allah semasa “waktu bekerja”, konsep kerja sebagai ibadah kelihatannya telah dirumuskan dengan begitu berhikmah, komprehensif dan genius dari Nabi kita صلى الله عليه وسلم dalam bentuk doa sahaja.

Saya datangkan matan asal hadis dan membuat sedikit perubahan pada terjemahan agar bersesuaian dengan topik asal saya yang menyentuh situasi pekerjaan seharian kita.

اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ الهَمِّ والحَزَنِ، والعَجْزِ والكَسَلِ، والجُبْنِ والبُخْلِ، وضَلَعِ الدَّيْنِ، وغَلَبَةِ الرِّجالِ.

الراوي : أنس بن مالك.
المحدث : البخاري.
المصدر : صحيح البخاري.
الصفحة أو الرقم: 6369.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kegelisahan (pada apa yang akan berlaku) dan kesedihan (pada apa yang telah berlaku).

Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah (tiada kompetensi, tiada kemahiran pada tugasan diberikan) dan malas (tiada kemahuan dan motivasi meskipun ada pengalaman dan kemahiran pada tugasan diberikan, juga bermalas-malasan dalam hal ibadah kepada Tuhan).

Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut (tidak berani menegur kesalahan di sisi peraturan manusia dan kemungkaran di sisi peraturan Tuhan) dan bakhil (tidak mahu membantu rakan sepejabat atau orang bawahannya yang dalam kesusahan, sengaja berdiam diri dari menyumbang idea yang baik pada organisasi ketika dia mempunyai idea).

Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang (pendapatan yang masih tidak membantu membayar pinjaman, jauh sekali meningkatkan zakat) dan penindasan manusia (yang zalim, sentiasa mahu mengambil kesempatan, atau yang menghina dan menyindir dirinya tanpa kesudahan).”

Bacalah doa dari hadis yang sahih ini setiap pagi dan petang, semasa melangkah masuk ke pejabat dan semasa melangkah keluar meninggalkannya.

Semoga dengan asbab doa ma’thur ini, musibah di rumah tidak terbawa-bawa ke pejabat dan musibah di pejabat tidak terbawa-bawa ke rumah.

Semoga semua kita akan baik-baik sahaja…

Semoga segala yang sesak akan perlahan reda…

Semoga keberkatan Jumu’ah mengiringi kehidupanmu…

Saudaramu,
Syaari Ab Rahman

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started