BILA UMURMU SUDAH SAMPAI EMPAT PULUH…

“Bila umur empat puluh, barulah mantap tumbuhnya kedewasaan sebagai insan. Kalau umur belum capai empat puluh, biasalah manusia itu mahu benar sendirian, menang sendirian. Namun bila sudah capai empat puluh, mulailah dia insafi bahawa ada orang lain di sekelilingnya. Mulailah dia insafi bahawa dia tidak mungkin hidup sendirian di dunia ini. Mulailah dia berkurangan dorongan hawa nafsunya.”

Hamka, Tafsir al-Azhar, Ayat 15 Surah al-Ahqaf.

“Di peringkat usia empat puluh tahun inilah kemuncak kematangan, waktu inilah seseorang itu cukup bersedia untuk memikirkan sesuatu dengan mendalam dan tenang. Di peringkat usia beginilah juga fitrah manusia yang jujur dan lurus mulai memberi perhatiannya kepada hakikat di sebalik kehidupan dan selepas kehidupan ini. Inilah umur dia akan serius berfikir mengenai kesudahan hayatnya!”

Syed Qutb, Fi Zhilal al-Quran (terjemahan Dato’ Yusoff Zaky), ayat 15 Surah al-Ahqaf.

Ada 7 perkara penting patut kita tahu di sebalik isu umur 40 tahun menurut perspektif al-Quran sendiri.

  1. Satu-satunya umur manusia di dunia yang disebut dalam al-Quran dengan spesifik ialah umur 40.
  2. Satu-satunya surah yang menyebut perihal umur 40 tahun ialah surah al-Ahqaf, surah ke 46, mengandungi 35 ayat.
  3. Satu-satunya isu yang diulas selepas ayat umur 40 tahun ialah kisah ibubapa berusaha mendidik anaknya agar beriman pada hari Pembalasan namun mendapat tentangan.
  4. Satu-satunya kisah anbiya’ masa lampau yang disebut selepas ayat umur 40 tahun ialah kisah kaum al-Ahqaf yang menentang dakwah Nabi Hud AS.
  5. Satu-satunya kisah Nabi SAW yang diulas selepas ayat umur 40 tahun ialah kisah sekumpulan jin Bani Israil berdakwah kepada kaum jin yang lain hanya selepas mereka terdengar bacaan al-Quran dari Nabi SAW.
  6. Satu-satunya surah yang menyebut istilah Rasul Ulil Azmi yang amat dahsyat tentangan yang mereka hadapi ialah surah al-Ahqaf, ayat terakhir.
  7. Satu-satunya anbiya yang melafazkan doa yang mirip dengan doa umur 40 tahun ialah Nabi Sulaiman AS.

Apa kaitannya semua ini dengan umur 40 tahun ?

PENJELASAN DAN HURAIAN

Firman Allah SWT mengenai umur 40 tahun adalah pada ayat 15 surah al-Ahqaf.

وَوَصَّيْنَا الإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Abdullah Muhammad Basmeih : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan SAMPAI KE PERINGKAT UMUR EMPAT PULUH TAHUN, BERDOALAH IA DENGAN BERKATA: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

  1. Surah al-Ahqaf ialah surah ketujuh atau surah terakhir yang bermula dengan huruf “Ha Mim”. Kesemua tujuh surah ini – bermula dari surah Ghafir – telah mengalami persamaan dari segi penurunan (kepada Nabi SAW) dan penyusunan (dalam mushaf).
  2. Ia seakan memberitahu saya bahawa tiba masanya di umur 40 ini, saya meneladani Nabi SAW iaitu transisi dari berfikir membina legasi untuk keluarga kepada berfikir membina legasi untuk umat manusia. Life is about making choice. Either just to breathe or to be great !
  3. Sebagai surah “puncak” kepada surah-surah “Hawamim” dan bersebelahan pula surah Muhammad yang diturunkan di fasa kekuasaan Nabi di Madinah, di umur 40, saya mesti percaya bahawa kerja menyebarkan ilmu wahyu kepada umat manusia, pasti akan dikurniakan rezeki dan kemenangan jika saya benar-benar beruswahkan Nabi SAW dalam setiap gerak geri dakwah yang dilakukan.
  4. Ayat mengenai umur 40 tahun telah dimulai dengan perintah berbuat ihsan kepada ibubapa (وَوَصَّيْنَا الإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا). Mengapa ? Ia mengajar saya bahawa legasi yang ditinggalkan selepas memasuki umur 40 tahun mestilah legasi kasih sayang. Itulah legasi seorang insan bernama “ibu”. Jika tiada sikap belas kasihan dan ihsan kepada orang tua kita sendiri, anehlah untuk umur 40 tiba-tiba bercita-cita untuk menyebarkan kebaikan dengan kasih sayang kepada manusia lain.
  5. Ada dua angka pada ayat 15 iaitu angka 30 dan 40. Perhatikan. “30” merujuk pada fasa kritikal seorang ibu mengandung, melahir, menyusu dan membesarkan anak. “40” pula merujuk umur matang. Seakan ayat 15 ini mengajar saya, sulit untuk memulakan bakti pada manusia pada umur “40” kalau tidak bermula dari menghargai dan mengenang detik-detik “30” bulan ibubapa membesar dan memelihara kita dahulu.
  6. Apapun kerenah kita semasa bayi dan kecil, ibu sentiasa bersabar dan tetap memberi kasih sayang kepada kita. “Dia payah, namun dia kekal mengukir senyuman, dia tak pernah bosan, tak pernah benci, tak pernah mengeluh.” (Hamka). Adakah kita ada “genetik” yang sama jika dakwah yang kita lakukan mulai umur 40 menghadapi manusia yang berkerenah sebagaimana kerenah kita sendiri semasa kecil-kecil dahulu di hadapan ibubapa kita ?
  7. Ayat 17 surah al-Ahqaf menceritakan perihal ibubapa yang bersungguh-sungguh mahu mendidik iman dan hari Pembalasan kepada anak mereka, namun mendapat tentangan dari anak itu (أُفٍّ لَّكُمَا أَتَعِدَانِنِي أَنْ أُخْرَجَ).
  8. Seakan ayat ini mengingatkan saya bahawa tiada makna memasuki umur 40 jika anak-anak saya dibiarkan tanpa pendidikan iman kepada Tuhan dan hari Pembalasan. Benarlah ayat 15 yang mengingatkan mereka yang memasuki umur 40 tahun, berdoalah dengan lafaz وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ . Kita disarankan bertaubat kerana kita mesti mengakui bahawa adanya kemungkinan kesilapan dan kesalahan di sana sini semasa “parenting” kita pada anak-anak sehingga memberi kesan dia seakan melawan pendidikan tauhid yang mahu ditinggalkan kepadanya.
  9. Ayat 22 pula menceritakan perjuangan Nabi Hud AS. Satu-satunya anbiya’ dari masa lampau diceritakan dalam surah al-Ahqaf. Seakan kisah ini mengingatkan saya apabila memasuki umur 40, legasi yang perlu ditinggalkan ialah legasi seperti Nabi Hud iaitu وَأُبَلِّغُكُم مَّا أُرْسِلْتُ بِهِ , mendidik umatnya dengan wahyu agar tidak tersalah pandang pada kehidupan, sehinggakan awan gelap yang merupakan azab, namun disangka hujan rahmat yang memberi kebaikan.
  10. Umur 40 barangkali umur terbaik dari sudut tenaga, potensi dan penampilan fizikal kita. Maka wajarlah surah ini memaparkan kisah kaum yang berbangga dengan kehebatan tubuh badan mereka. Namun sekelip mata sahaja mereka dihapuskan dari muka bumi kerana tubuh mereka sahaja sempurna namun akal dan hati mereka “cacat”. Zahir nampak gagah, sistem dalaman rosak binasa sehingga benarlah tindakan Tuhan mengakibatkan al-Ahqaf hanya tinggal rumah-rumah yang mereka pernah diami sahaja, tiada apa lagi untuk dibanggakan pada kaum Aad ini. فَأَصْبَحُوا لا يُرَى إِلاَّ مَسَاكِنُهُمْ !
  11. Benarlah al Qurthubi ketika berkata “umur 40 ialah umur peringatan dari Tuhan.” (سن الأربعين هو سن النذير). Jika pada umur ini masih belum melakukan apa-apa perubahan sikap dalam beragama seperti kaum Aad, itulah dirinya dan tiada apa-apa lagi bakal mengubahnya melainkan apa yang akan disaksikannya di Akhirat kelak. Jika dia masih tidak mahu bertaubat pada umur 20, mungkin banyak faktor menghalang fulan bin fulan itu dari melakukannya. Namun jika umur 40 dan ke aras masih tidak melakukannya sedangkan akalnya sudah sempurna, pengalaman hidupnya sudah banyak mengajar dia, lalu sebenarnya dia dalam bahaya kerana dia sudah tiada faktor keuzuran untuk tidak kembali kepada Tuhannya. Dia dalam bahaya kerana Malakut Maut sudah mengintainya.
  12. Inilah satu-satunya surah memaparkan dakwah Nabi SAW lakukan kepada satu penduduk yang datang dari tempat yang amat jauh, bahkan dari “masa” yang amat jauh. Merekalah sekumpulan jin dari zaman Bani Israil zaman Nabi Musa (وَإِذْ صَرَفْنَا إِلَيْكَ نَفَرًا مِّنَ الْجِنِّ يَسْتَمِعُونَ الْقُرْآنَ). Seakan kisah ini memberitahu saya agar memasuki umur 40, bersedialah mengalih perhatian dakwah kepada kaum yang berbeza dan tidak lagi memfokuskan dakwah pada orang yang sama sahaja. Kasihani mereka yang berpotensi menerima hidayah namun amat jauh dari sumber al-Quran yang sedang dibacakan.
  13. Ayat 29-32 memaparkan kesan al-Quran yang dibacakan Nabi kepada kaum jin sehingga mereka bertukar status dari pendengar al-Quran yang takjub kepada pendakwah al-Quran kepada kaum jin.
  14. Apabila ayat 31-32 menyebut kalimah دَاعِيَ اللَّهِ sebanyak dua kali, saya semakin yakin seakan-akan Allah SWT mahu memberitahu saya itulah halatuju kamu memasuki umur 40. Ia bukan tidak pernah menjadi halatuju kamu, namun ia mesti diberi perhatian lebih serius.
  15. Sebagaimana umur yang sama Nabi menjadi Rasul semasa menerima wahyu pertama di gua Hira’, begitulah kebanyakan para anbiya menjadi Rasul pada usia matang 40 tahun berkenaan. دَاعِيَ اللَّهِ !
  16. Selepas belajar mengurus hidup sebagai kanak-kanak, remaja, dewasa, bujang dan berkahwin serta beranak, kini waktu untuk berfikir untuk membina daerah, negeri dan negara dengan prinsip دَاعِيَ اللَّهِ.
  17. Kematangan mengurus emosi dan hidup yang sudah dicapai selama 39 tahun, kini waktunya kematangan itu digunakan untuk menghadapi dakwah, umpama Musa AS yang belajar mengurus emosi dan sikap gopoh gapah dan cepat marahnya di Mesir dahulu menerusi “madrasah” 10 tahun beristeri dan mempunyai anak-anak di Madyan.
  18. Kematangan itulah menjadi rahsia kesabaran para Rasul terdahulu sehingga inilah satu-satunya surah menyebut perihal Rasul Ulil Azmi. فَاصْبِرْ كَمَا صَبَرَ أُوْلُوا الْعَزْمِ مِنَ الرُّسُلِ وَلا تَسْتَعْجِل لَّهُمْ !
  19. Jangan kita lupa, doa yang diajar dalam ayat 15 surah al-Ahqaf ini juga sangat mirip dengan doa Nabi Sulaiman AS dalam surah al-Naml pada ayat 19 (وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ). Doa ini dilafazkan baginda ketika dalam perjalanan ekspedisi dakwah menyebarkan Islam dan perjalanan baginda terhenti seketika di lembah semut.
  20. Ia seakan memberitahu saya memasuki umur 40, adakah saya bersungguh menyebarkan dakwah ke lokasi-lokasi baru sebagaimana bersungguhnya Nabi Sulaiman AS mahu menyebarkan dakwah ke negara Saba’ !
  21. Perhatikan juga isu “legasi” dalam surah al-Ahqaf, satu-satunya surah yang menyebut isu umur 40 tahun ini. Ayat 4 di awal surah al-Ahqaf berbicara mengenai “legasi”, tetapi merujuk kepada orang kafir. Kalimah yang digunakan al-Quran ialah أَثَارَةٍ iaitu bekas atau sisa sesuatu yang masih berbaki. Allah mencabar kaum kafir untuk menunjukkan bukti adanya Tuhan selain Allah menerusi apa-apa yang ditinggalkan orang terdahulu yang masih boleh dilihat dengan mata kepala yang hidup pada hari ini.
  22. Maka ayat 4 ini seakan mengajar saya agar sebelum mati, tinggalkanlah legasi yang menyebabkan manusia makin mengenali Tuhan mereka sendiri dan bukan sebaliknya legasi yang menjauhkan mereka dari Tuhan tanpa mereka sedari.
  23. Perihal legasi buruk yang sama disentuh pada di akhiran surah iaitu ayat 26 ketika Allah menggunakan kalimah مَكَّنَّاهُمْ yang membawa erti kekuasaan yang mantap untuk satu tempoh yang lama. Kalimah yang sama pernah digunakan ketika Allah bercerita mengenai legasi Yusuf AS dan Zulqarnain AS, bezanya cuma ayat 26 ini kekal membahaskan legasi yang dikenang dunia sebagai legasi keburukan.
  24. Perhatikan kembali ayat 15 dan 16 mengenai ayat umur 40 tahun. Allah menyebut kalimah أَحْسَنَ pada ayat (أُوْلَئِكَ الَّذِينَ نَتَقَبَّلُ عَنْهُمْ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا). Maka ayat ini bukan sekadar menjelaskan Allah memustajabkan doa mereka yang berdoa dengan doa yang diajar pada ayat 15 berkenaan, bahkan Allah mengiktiraf umur 40 sebagai umur matang untuk membuat penilaian apa pekerjaan TERBAIK boleh dilakukan pada usia 40.
  25. Umur 40 ialah umur bersyukur ( رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ) kerana anak-anak mungkin sudah besar panjang dan sihat walafiat, atau pekerjaan sudah mantap dan pekerja sudah bertambah, atau pangkat sudah tinggi atau tingkat pengajian rasmi sudah maksimum, maka di hadapan banyak nikmat yang telah diberi Tuhan, maka kini tiba waktu membuat keputusan besar, apa pilihan pekerjaanmu yang TERBAIK sebelum datang zaman kamu menjadi lemah, berambut putih atau banyak penyakit atau sudah terpaksa dipapah ke sana sini. Umur untuk engkau berfikir apakah amalan TERBAIK kamu yang memudahkan urusan hisabmu di Akhirat nanti.

Barangsiapa memasuki umur 40, ambillah masa membaca dan memahami surah al-Ahqaf untuk menjawab persoalan “apa yang perlu saya rancang untuk masa depan saya selepas memasuki umur 40”.

Barakallah fikum

Syaari Ab Rahman
20 Julai 1982- 20 Julai 2022 (40)
29 Ramadhan 1402 – 20 Zulhijjah 1443 (41)
Kajang, Selangor

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started