
Alhamdulillah, seminar seharian bermula dengan saya berkongsi tiga sebab kenapa saya sangat menunggu seminar sehari bulanan ini. Allah jua yang bantu pelihara kita dengan al-Quran.
SESI PERTAMA seminar, saya kongsikan tiga soalan penting perlu ditanya sebelum membaca surah 165 ayat ini iaitu mengenai kepanjangan saiznya, kesekaligusan penurunannya dan ketersusunannya selepas al-Maidah dan sebelum al-A’raaf.
Kemudian saya kongsikan tiga sebab utama surah ini penting pada waktu ini dan seakan ia baru diturunkan.
Pertama, kelihatan ada kaitan dengan peranan “graduan” musim haji. Kedua, perihal aliran sains SPM anak-anak yang pernah menjadi dunia SPM saya. Boleh dikatakan semua falsafah ilmu sains tulen (hard scienses) dinyatakan dalam surah ini dengan gaya penceritaan yang sangat bersahaja namun “deep” dari Tuhan. Ketiga, perihal reaksi kita pada genocide regim waktu ini di bumi Palestin kerana majoriti nama anbiya’ dalam surah ini beroperasi di sana.
Kemudian saya kongsikan kesatuan tema lima surah bermula dengan tahmid bahawa ia mengajar kita kaedah-kaedah bersyukur yang Allah mahukan dari kita, bukan menurut kayu ukur manusia seperti zikir di lidah semata.
Kemudian SESI KEDUA dimulakan dengan saya mengemukakan tema surah menerusi awalan dan akhiran surah iaitu tafsiran ayat 1 dan ayat 165 surah ini. Jelas surah ini bertemakan fikir dan zikir. Makin banyak fikir, harusnya makin banyak zikir. Makin banyak zikir, harusnya makin banyak fikir. Kegagalan memahami konsep sepenting ini bermakna gagal memahami fungsi khalifah yang Allah mandatkan pada kita.
Kemudian saya kukuhkan tema surah dengan membahaskan empat ayat yang menyebut nama tauqifi surah iaitu al-An’am itu sendiri. Ia bukan sekadar perihal bid’ah dalam beragama ( وَلِيَلْبِسُواْ عَلَيْهِمْ دِينَهُمْ ۖ ) yang pernah terjadi di zaman jahiliah kaum musyrikin Quraish di Makkah, bahkan nama surah menonjolkan perihal manusia yang berkelakuan seperti binatang berkaki empat, tidak mahu berfikir dan tidak terasa apa-apa dengan apa yang terjadi di sekeliling mereka.
Sesi kedua membawa para pelajar mengembara ke tujuh ayat pilihan yang unik yang terdapat hanya dalam surah al-An’am. Saya usahakan pencerahan setiap ayat dengan mengaitkan dengan tema besar surah tadi iaitu zikir dan fikir.

Tiba masanya ke sesi puncak iaitu SESI KETIGA di petangnya, sesi paling saya suka iaitu berkongsi dapatan kajian sarjana saya iaitu peranan kisah Nabi Ibrahim dalam penentuan tema sesuatu surah.
Paling penting, para pelajar dan pencinta tadabbur telah dibawa ke satu per satu ayat mengenai seni dakwah Nabi Ibrahim عليه السلام yang sangat “genius” mulai ayat 74 dan apa pelajaran buat kita. Benarkah kita sudah berdakwah hanya kerana menyertai sebuah organisasi dakwah atau kita ada title tertentu seperti “ustaz/ah”? Apa kayu ukur dari Tuhan sendiri bahawa kita sudah melakukan dakwah?
Seminar DITUTUP dengan saya berkongsi rahsia susunan nama 17 anbiya selepas kisah Nabi Ibrahim kerana susunan al-Quran kelihatan bertentangan dengan susunan kronologi hidup mereka menurut para sejarawan.
Semoga Allah memanjangkan umur, mengurniakan kesihatan, melimpahkan keberkatan dan mengurniakan kebahagian dengan al-Quran pada semua pelajar yang telah hadir fizikal dan yang hadir atas talian seminar surah mendekati al-An’am ini. Barakallah fikum

Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre
Leave a comment