
Kemenangan Yusuf AS sebagai penguasa Mesir bermula dari sebuah mimpi semasa kecil di Palestin.
Kemenangan Nabi SAW sebagai penguasa Makkah bermula dari sebuah mimpi di Madinah pada tahun 6 H.
Kekadang Allah menunjukkan Dia al-Alim tentang masa depan agama-Nya ini pada insan-insan pilihan.
Selepas mimpi, Yusuf AS mula dihalang ikhwahnya sendiri dari mendekati Yaaqub AS ayahnya sendiri, tanpa sebab tanpa kesalahan.
Selepas mimpi melihat Baitullah dan menunaikan umrah, Nabi SAW dan para sahabat dihalang kaumnya sendiri dari mendekati Baitullah, tanpa sebab tanpa kesalahan.
Kekadang untuk mendapat suatu nikmat yang sangat besar di masa depan, Allah datangkan sedikit kehilangan pada masa sekarang agar kita faham apa makna musibah dalam kehidupan.
Selepas Yusuf AS tiba di Mesir dan diberi Allah kekuatan dan kekuasaan mengatasi ikhwahnya, tiba-tiba ikhwahnya sendiri berkata buruk di hadapannya sendiri. Namun Yusuf berjaya menahan marahnya dan merahsiakan identitinya agar rencana Tuhannya tidak terkandas di tengah jalan.
Selepas Nabi SAW diberikan kekuasaan dan kemenangan dalam banyak peperangan, tiba-tiba perwakilan kafir di Hudaibiyah berlagak menghina Islam, lafaz Bismilah dan lafaz Rasulullah. Namun para sahabat berjaya menahan marah mereka dan kekal mentaati Rasul dengan percaya adanya rencana Tuhan yang lebih baik dari kemahuan insan.
Kekadang kita menyangka kepahlawan itu pada yang berjaya melepaskan kemarahan lalu membinasakan musuhnya habis-habisan di medan perang. Ternyata kepahlawanan sebenar ialah menahan marah untuk keuntungan perjuangan di masa depan.
ليسَ الشَّدِيدُ بالصُّرَعَةِ، إنَّما الشَّدِيدُ الذي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Syaari Ab Rahman
Pelancaran 1
Daurah Refleksi Surah al-Fath (RAFAH)
Leave a comment