
Kekadang bila berpeluang solat berjemaah dengan isteri dan anak-anak di rumah, saya akan memilih untuk membaca surah al-Masad.
Sememangnya surah ini secara zahirnya menceritakan tiga perkara.
PERTAMANYA, kemusnahan yang akan berlaku secara perlahan-lahan. Penggunaaan kalimah “tab-ba” membawa makna kemusnahan tidak berlaku dalam bentuk sekaligus.
KEDUANYA, diperincikan azab Allah pada Abu Lahab dalam neraka. Tiada perincian azab Allah padanya di dunia.
KETIGANYA, diumumkan juga azab pada isterinya bersama.
Ternyata “kerja sepasukan” dengan bantuan isteri yang punyai kelebihan berbeza dari suami menjadikan kerja melawan Nabi lebih bermotivasi. Satu pihak ada kelemahan harta kebendaan, satu pihak ada kelebihan mengadu domba dan mencipta kebencian.
Tiga refleksi surah ini saya kongsikan dengan anak-anak antaranya mengenai kejahatan regim Z di pada waktu ini.
PERTAMANYA, Allah ada sebab tidak memusnahkan segera regim pengganas pada waktu itu. Jangan sangka Allah lemah kerana “bom jangka” kemusnahan regim sudah menyala, menunggu masa untuk meletup sahaja.
KEDUANYA, kekadang Allah tenangkan orang beriman dengan mengumumkan azab regim kafir harbi ini dengan azab di Akhirat kelak, tanpa menyebut azab di dunia kerana kemungkinan orang beriman tak sempat nak melihat mereka dimusnahkan Allah di dunia.
Maka, menyebut azab di Akhirat lebih tepat dan “healing” bagi kaum mukmin yang tersakiti ketika tidak kelihatan tanda-tanda kemenangan dalam masa terdekat.
KETIGANYA, kekadang musuh-musuh Islam menjadi lebih bersemangat dan bermotivasi melakukan kerosakan di tanah suci para anbiya berkenaan kerana mereka ada “pasangan” yang memberikan bantuan dalam bentuk kepakaran yang berbeza seperti menjadi lidah yang fasih untuk mencipta naratif yang salah kepada para pewaris ajaran Nabi dan pejuang Islam zaman-berzaman.
Maka, menyebut azab kepada pelaku dan pembantu pelaku, sebagaimana Allah menyebut Qarun dan Haman selepas menyebut Firaun, itu lebih tepat dan “healing” bagi orang beriman.
Semoga Allah memimpin dan membantu kita melihat bumi G dengan petunjuk wahyu.
Syaari Ab Rahman
12 Syawal 1445 H
Leave a comment