MENYANTUNI BULAN MUHARRAM

Jika HIJRAH itu menjadi tema penting masyarakat kita setiap kali memasuki “tahun baru” kaum muslimin, asatizah bidang tafsir al-Quran boleh mengisi ruang keinginan ingin tahu masyarakat kita dengan ilmu wahyu.

  1. Kongsikan kalimah HIJRAH dan segala kata terbitannya dalam al-Quran. Rasanya 31 kali ia disebut dalam Kitabullah. Lafaz seperti وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا atau اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا atau ayat-ayat yang menyebut kalimah hijrah dan الْمُهَاجِرِينَ , pasti menarik untuk didedahkan pada masyarakat kita.

Atau

  1. Kongsikan ibrah kisah-kisah HIJRAH para anbiya’ dalam al-Quran seperti surah al-Qasas mengenai perjalanan HIJRAH Nabi Musa عليه السلام dari Mesir ke Madyan atau surah Yusuf mengenai perjalanan yang seakan HIJRAH baginda dari Palestin ke Mesir. Didik masyarakat kita hikmah-hikmah pendidikan kenabian di sebalik berlakunya peristiwa berkenaan.

Atau

  1. Kongsikan apa yang menarik pada konten surah-surah Makkiah dan surah-surah Madaniah agar kita lebih menghargai mengapa HIJRAH mesti terjadi dan bagaimana agaknya rupa paras Islam jika Islam hanya di Makkah tanpa Madinah. Pasti masyarakat kita akan lebih menghargai Nabi صلى الله عليه وسلم dan sirah Baginda apabila menyedari singkatnya hidup Baginda berbanding usia para anbiya’ sebelumnya, namun Nabi jua yang terpilih menjadi penghulu anbiya’. Mengapakah agaknya ?

Atau

  1. Angkat satu kisah yang berlaku dalam Muharram itu sendiri iaitu kisah detik-detik terbelahnya laut Merah kepada Nabi Musa عليه السلام ketika Bani Israil dihampiri regim Firaun di laut Merah. Seingat saya, surah al-Shu’araa’ paling “champion” pada memaparkan kronologi detik ini sehingga terasa kita dibawa ke lokasi kejadian dan berada dekat di sisi baginda Nabi Musa. Masyarakat kita pasti akan hargai jika asatizah berkongsi kehebatan kisah itu dari gaya bicara bahasa Arab al-Quran sendiri yang bermukjizat dan sangat memukau pemilihan katanya dan penyusunan kalimah dan ayatnya. Apatah lagi jika asatizah mampu membandingkan perspektif surah al-Shu’araa’ itu dengan surah al-Dukhan dan Taha ketika berbicara mengenai babak yang sama.

Atau

  1. Seperti biasa mengekalkan tradisi penceritaan kisah HIJRAH Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri, namun mengangkat fakta-fakta yang sahih mengenai peristiwa berkenaan dan menghubungkan ibrah kepimpinan dan perancangan strategik Nabi untuk HIJRAH berkenaan dengan ayat-ayat al-Quran itu sendiri.

Wallahu a’lam

Barakallah fikum

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started