SURAH YUSUF DAN PENDIDIKAN POLITIK

Surah yang tidak pernah mengecewakan kita semasa menghadapi pandemik Covid-19 dahulu, kini hadir lagi untuk memberi kita pedoman menghadapi PRU.

Sebaik-baik pemimpin ialah mereka yang pernah merasai kesusahan orang di bawah itu sendiri, bukan hanya turun pada rakyat lima tahun sekali.

Bermula dari kehidupan sebagai kanak-kanak yang dipisahkan dari ayah tanpa sebab oleh adik-beradik sendiri, Yusuf AS dididik Tuhannya untuk jadi pemimpin kepada sebuah negara yang gilakan kemajuan materialistik, tetapi bakal meninggalkan ekosistem yang menyebabkan anak-anak “yatim piatu” sedangkan ibubapa mereka ada sahaja terpacak di rumah pada malam hari.

Di pasaran hamba dan pemerdagangan manusia, Yusuf AS dididik Tuhannya betapa arus materialistik dan hedonistik melampau telah membawa kepada manusia sanggup “membunuh” nilai kemanusiaan untuk mengejar keuntungan perniagaan.

Dalam penjara pula, Yusuf AS dididik Tuhannya bagaimana penguasa-penguasa begitu mudah menghumban musuh-musuh politiknya atau memerangkap sesiapa sahaja yang tidak sebulu.

Sesungguhnya dari kegelapan telaga, pasaran hamba dan penjara itulah, lahirnya Yusuf seorang Nabi dan seorang pemimpin negara.

Tindakan si penyedia minuman raja yang menawarkan solusi kepada Raja Mesir ketika sang Raja kecewa dengan pandangan balas para menterinya, mengajar kita tingginya rasa kebertanggungjawaban beliau pada masa depan negara yang diisyaratkan dari mimpi Raja Mesir itu.

Seorang pekerja biasa-biasa yang memberi saranan pada raja dalam mesyuarat yang dihadiri orang-orang besar, mengajar kita betapa pentingnya semua rakyat Malaysia bertanggungjawab dengan masa depan negara.

Jika masa depan negara ini dalam bahaya, maka beranilah bersuara dengan apa jua medium demokrasi yang kita ada seperti kertas undi sebagaimana beraninya si penyedia minuman raja bersuara mencalonkan Yusuf AS sebagai penyelesaian.

Tindakan Raja Mesir yang sudi mendengar, bahkan merealisasikan saranan sang penyedia minuman yang tidak berjawatan apa-apa, mengajar kita pentingnya orang yang berada di atas, turun ke bawah mendengar rintihan dan pandangan rakyat.

Kemudian hormatilah pilihan yang bakal dibuat oleh rakyat kerana itulah “pemarkahan” prestasi kekuasaan kita selama ini walaupun penghakiman rakyat bukan “absolute truth” dalam kamus kepimpinan Islam.

Jika pemimpin dan pasukan pemimpin yang kita pilih ditakdirkan kalah, hormati pilihan rakyat dan buatlah muhasabah sejauhmana kita memberi telinga kita pada permasalahan rakyat yang menyebabkan mereka tidak lagi memilih kita dan kumpulan kita.

Manakala yang menang pula, janganlah terpedaya kerana Yusuf AS sendiri telah memposisikan dirinya bukan sebagai penasihat raja yang boleh duduk selesa bersebelahan raja, bahkan sebagai barisan hadapan untuk menghadapi sendiri detik kritikal tujuh tahun kedua.

Kerana memahami kepimpinan dan kekuasaan dalam Islam ialah amanah berat dari Allah dan boleh menjadi penyesalan di hari Akhirat, tidaklah pelik Yusuf AS sendiri yang membahagi-bahagikan gandum pada rakyat jelata sehingga akhirnya dengan sikap mudah ditemui rakyat yang susah itulah, Yusuf AS dipertemukan semula dengan saudara-saudaranya.

Nabi Yusuf AS telah mentafsirkan sepenuhnya mimpi raja Mesir, tidak ditafsirkan sekerat-kerat atau sekadar ditafsirkan tanpa mengemukakan pelan bertindak. Ini mengajar kita pemimpin dan pasukan kepimpinan yang kita mesti pilih nanti ialah mereka yang mempunyai wawasan jauh ke hadapan, tidak sekadar menawarkan penyelesaian jangka pendek. Yusuf diperlukan Mesir bukan hanya untuk tujuh tahun pertama, bahkan tujuh tahun kedua.

Bahkan pengumuman melimpah ruahnya hujan dan rezeki pekerjaan di tahun kelima belas menandakan tiba masanya Baginda mengisi fikiran dan aspek ruh rakyat Mesir dengan ajaran wahyu mengenai hakikat masa hadapan (hari Pembalasan) selepas empat belas tahun mereka diajar membuat bekalan aspek tubuh menghadapi hari-hari kesusahan.

Tidak gopoh gapah dengan tawaran kekuasaan, apatah lagi selepas begitu lama merengkok di balik tirai besi tanpa keselesaan, Yusuf amat berhati-hati dengan potensi “gangguan” di tengah jalan apabila baginda menuju politik kekuasaan.

Dipastikan terlebih dahulu kesucian maruah dirinya dikembalikan dengan pembuktian yang telus dari siasatan mahkamah Raja. Bahkan Baginda sendiri kekal berada dalam penjara semasa siasatan dilakukan ke atas wanita-wanita yang terluka jari agar tidaklah Baginda mempengaruhi keputusan penghakiman.

Memelihara lidah dari menggelar wanita-wanita penggoda atau menyebut nama wanita yang menjadi dalang utama yang menyebabkan Baginda terpenjara tanpa kesalahan, Yusuf mengajar kita peliharalah lidah dan tangan kita sepanjang kempen pilihanraya yang berlaku. Biarlah rakyat menghakimi dan menentukan sendiri selepas kita memberi hujah dan bukti. Janganlah memilih parti politik dan wakil rakyat untuk membawa suara kita ke Parlimen dan DUN dinaratifkan seolah-olah memilih agama.

Meskipun dari istana penguasa hingga ke lapangan sosial rakyat jelata ialah masyarakat non-muslim yang menyembah berhala, namun dengan jaminan “makin” (مَكِينٌ) iaitu kedudukan yang kukuh dari Raja Mesir untuk Baginda melakukan apa sahaja bagi pihak kerajaan, maka Baginda memilih untuk menyumbang secara “active participation” politik kekuasaan di Mesir, mudah-mudahan diteladani dan diikuti oleh al-Mala’ di sekeliling raja.

Selagi keputusan-keputusan penting untuk agenda dakwah Baginda selaku “al-Hafiz” tidak dihalang, selagi tiada “sabotaj” pada setiap agenda ekonomi Baginda selaku “al-Alim” iaitu menyelamatkan tujuh tahun kedua Mesir, Baginda akan terus berkhidmat bersama Raja yang tidak Muslim pada ketika itu. Apakah nasib keislaman Raja dan penduduk Mesir sepanjang Yusuf berkuasa ? Wallahu a’lam.

Paling penting dari surah Yusuf ialah:

Matlamat politik dan kekuasaan ialah dakwah dan membina generasi yang lebih baik di masa hadapan.”

Surah Yusuf tidak bernoktahkan kisah kekuasaan Yusuf sahaja, bahkan berakhir dengan perubahan sikap saudara-saudaranya akibat dari kebijaksanaan Yusuf menggunakan kuasanya untuk melakukan misi dakwah dan tarbiah yang sememangnya mengambil masa, tidak boleh gopoh-gapah.

Melalui usia kanak-kanak yang perit dan sakit dengan konflik kekeluargaan, inilah Yusuf AS yang menggunakan kuasa politiknya untuk bukan sekadar menyelamatkan jutaan keluarga di Mesir dari kebuluran, bahkan menyelamatkan keluarganya sendiri dari ancaman kemurkaan Tuhan kerana tidak bertaubat atas kesalahan kepada Baginda dan ayahnya Yaaqub AS.

Ingatlah pilihanraya umum hanya datang sekali dalam lima tahun. Janganlah kerana perbezaan faham ideologi dan mazhab parti yang kita pilih, syaitan berjaya memporak perandakan hubungan persaudaraan dalam sebuah keluarga. Tidak sedikit keluarga di Malaysia yang terkesan ekonomi dan pendidikan akibat dari Pandemik dan PKP yang telah menimpa, janganlah diburukkan lagi dengan pilihan politik kepartian kita menuju 19 November nanti.

Sesungguhnya nilai-nilai kepimpinan dan kekuasaan yang dikemukakan surah Yusuf dan al-Quran yang bermukjizat ini merentasi masa dan lokasi. Semoga kisah-kisah al-Quran sebegini terus memberi petunjuk pada kita dalam menghadapi apa jua bentuk proses membuat pilihan dan keputusan dalam hidup. Janganlah kisah-kisah al-Quran itu dijadikan “hakmilik” satu parti atau satu kumpulan sahaja kerana al-Quran itu sendiri anugerah Allah SWT sebagai rahmat, pedoman dan motivasi untuk semua kaum Muslimin dan umat manusia inshaallah.

Syaari Ab Rahman
12 Rabiul Awwal 1444

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started