Sebuah kajian sarjana yang bukan sekadar menganalisa satu persatu pendekatan penyampaian Shekh Dr Muhamad Abdullah Diraz di radio, bahkan membahaskan isu-isu sekitar الوحدة الموضوعية itu sendiri. Itu yang menjadikan kitab ini ada “dua dalam satu” sekaligus !
Kajian ini bertajuk التفسير الإذاعي للقرآن الكريم عند العلامة الحكيم محمد عبد الله دِرَاز (تدوين المسموع مع الدراسة التحليلية ) setebal lebih 900 halaman diterbitkan pada tahun 2019 oleh Ihya’ Center for Research & Studies.
Selain dari perjuangan memartabatkan apa yang disebut sebagai ilmu “kesatuan tema surah” (الوحدة الموضوعية), rupa-rupanya Shekh Abdullah Diraz (wafat 1958 M) sangat aktif menyebarkan sentuhan tadabbur ayat-ayat al-Quran menerusi saluran radio. Lalu apa lagi, aku makin jatuh cinta kepadanya.
Sebagai insan kerdil yang diberi Allah SWT sedikit pengalaman berkongsi tafsir dan tadabbur menerusi radio IKIM beberapa tahun, pendekatan penulis النبأ العظيم dan دستور الأخلاق في القرآن menerusi kajian ini wajarlah dihargai dan ditekuni para penuntut ilmu tafsir di universiti. Belajar itu satu perkara, mengajar pula seninya berbeza.
Ada beza menyampaikan ilmu tafsir dan tadabbur dalam masa lebih sejam di pentas kuliah Maghrib dengan menyampaikan ilmu yang sama dalam masa terbatas, tanpa kehadiran sesiapa dalam konti tertutup. Ia perlukan kreativiti penyampaian dan kemahiran olahan yang berbeza yang tidak cukup sekadar pembacaan tafsir yang meluas.
Perlu pandai “bersilat” menyusun konten di radio. Pembacaan tafsir perlu meluas, namun penyampaian perlu berhikmah kerana masa yang terbatas. Seperti diungkapkan pengkaji di bahagian rumusan kajiannya mengenai method Shekh iaitu antaranya لم يذكر الدكتور دراز أو يشير لأي من المصادر العقلية أوالنقلية في تفسيره الإذاعي، وكذلك الآيات القرانية والأحاديث النبوية لم يذكرها بلفظها وإنما بمعناها وذلك راجع إلى طبيعة التفسير الإذاعي (hal. 867).
Saya benar-benar “feel” hal-hal disebut pengkaji Shekh Diraz sebegini apabila “on air” kerana cabaran utama iaitu keterbatasan masa jangan dijadikan alasan untuk tidak berjaya mempersembahkan idea-idea besar dan terpenting dari al-Quran.
Jika kita tidak mahir dengan seni penyampaian di radio, kita tidak akan mampu bertahan lama di sini ketika platform sebeginilah akan memberi manfaat sebegitu ramai manusia yang jauh dari masjid dan kuliah-kuliah agama.
Inilah lebih kurang realiti berada dalam dunia التفسير الإذاعي yang menjadi perhatian kajian sarjana penulis buku ini iaitu Dr Du’a Muhammad Riyadh Abu Zayd yang kini seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Arab dan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan, Universiti ‘Ain Shams di Mesir.
Kajian juga mendapati Shekh dalam penyampaiannya di radio menjauhi cerita-cerita Israiliyyat. Ini bukti bagaimana seorang ulama boleh menyantuni masyarakat dengan ketinggian ilmu kemukjizatan bahasa al-Quran itu sendiri tanpa perlu mereka cerita yang pelik-pelik dan bukan-bukan tanpa sumber yang autentik.
Kajian juga mendapati Shekh memberi penekanan juga pada riwayat-riwayat Asbabun Nuzul, Munasabah, perihal Makki Madani yang membantu pencerahan ayat pada awam.
Shekh juga tidak membawa perbahasan-perbahasan “complicated” yang sering dikemukakan ahli-ahli nahu, balaghah, fuqaha’, qurra’ dan falsafah dalam tafsir mereka. Kajian mendapati Shekh membawa isu-isu semasa dan الأمثال الشعبية di Mesir untuk lebih menjelaskan tadabbur ayat-ayat yang dikupasnya.
Boleh dikatakan Shekh antara figura penting kurun ini yang mengembangkan model tafsir bi al-ra’yi (المدرسة العقلية) dengan memfokuskan kecenderungannya pada mengislah dan mendidik masyarakat.
Terima kasih ustaz Muhammad Nur Amir yang membantu pengeposan kitab ini dan ustaz Abdul Muhaimin yang memaklumkan. Sebaik sahaja anakanda Fatihah membukakan bungkusan berat ini, terus disapa ayahnya, “Abi beli speaker baru lagi ke?” 😂

Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
Jumaat,
5 Safar 1444 H
Leave a comment