RESENSI NOVEL “DHUHA ; CAHAYA PAGI YANG TERANG” YANG DIINSPIRASI DARI SURAH AL-DHUHA

Alhamdulillah, dapat tamatkan bacaan karya kreatif ini dalam 3 hari sahaja sepanjang bercuti Iduladha baru-baru ini.

Ya, kalau dah novel namanya, kenapa perlu ambil masa lama-lama untuk tamatkan sahaja debaran babak seterusnya 😂

Seumpama membaca tafsir al-Azhar yang tafsiran ayat-ayat al-Quran disulamkan Buya Hamka dengan pelbagai cerita benar dari pengalaman kehidupannya sendiri, Dr Mohd Daud Bakar ternyata mempunyai sentuhan ajaib yang tersendiri.

Sangat teliti percaturan kisah-kisah fiksyen dari beliau untuk memperjelas “maqasid” setiap ayat al-Dhuha.

Hadirnya pula tepat pada masanya sebagai terapi jiwa ketika banyak anak muda yang diuji Allah dengan dengan kemurungan dan “mental illness” di fasa pandemik sebelum ini (ketika karya ini diterbitkan) dan kini endemik Covid-19.

Novel yang diinspirasikan dari kejadian kesesakan lalu lintas yang sememangnya tidak dapat dielakkan di Lembah Klang oleh seorang insan bernama “Lukman”, suara seorang ustaz di corong radio mensyarahkan surah al-Dhuha amat menakjubkan sehingga terasa ia seumpama baru diturunkan.

Ayat dua mengenai ketenangan malam (وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى), novel ini membawa kisah bagaimana Lukman bersama keluarganya di rumah di malam hari selepas pulang dari bekerja.

Ayat tiga mengenai Tuhan tidak pernah membenci dan meninggalkan Nabi (مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى), dipaparkan cerita ayah kawan Lukman, Pakcik Karim yang kesakitan terlantar atas tilam namun penuh fikiran sangka baik kepada Tuhannya.

Ayat lima mengenai kegembiraan di masa hadapan yang bakal Nabi terima (وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَى), dipaparkan cerita anak kawan Lukman bernama Sabrina yang gembira kerana mendapat tajaan sambung belajar.

Ayat enam mengenai Nabi yang pernah hidup berpisah dari ibubapa sejak kecil (أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى), dipaparkan cerita anak ketiga Luqman yang kerap terpisah dari ibubapa dan adik beradiknya kerana rawatan sakit jantung berlubang sejak lahir.

Kisah kuliah sejam “ustaz Taufiq” di radio yang amat memberi kesan pada Lukman meskipun sedang berjuang melepasi kesesakan jalan, bukanlah cerita khayalan bagi saya.

Saya sendiri pernah menemui beberapa orang yang saya tidak pun kenali, namun datang menyapa saya kerana mereka kata mereka pernah dengar suara ini di radio IKIM pada setiap hari Isnin jam 5 petang.

Kata mereka ada satu segmen banyak “mengisi” fikiran dan hati mereka sepanjang kesesakan lalu lintas ketika pulang ke rumah dari tempat kerja. Kata merekalah 😂

Ustaz Taufiq ditampilkan sebagai figura penyampai tadabbur yang kemas penghuraiannya sepanjang membumikan surah al-Dhuha.

Kerap benar “renjatan elektrik” menerpa Lukman yang sedang memandu ditemani kuliah ustaz berkenaan. Luar dugaan saya rupanya kuliah beliau dari jam 7 hingga 8 pagi itulah yang mencorak perjalanan novel 176 halaman ini.

“Quran itu, tak kira di mana dan masa ia diturunkan, saling lengkap melengkapi. Quran adalah kitab yang sentiasa koheren. Tiada ayat yang sia-sia. Tiada ayat yang berdiri sendiri. Mesti ada keterkaitan dengan ayat lain. Semuanya berperanan dan berfungsi dalam kapasiti makna dan konteks ayat tertentu.” (halaman 27)

“Ramai orang yang baca Quran sekadar membaca makna dan tafsir ayatnya semata-mata. Namun, amat sedikit yang cuba melihat dan memahami laras bahasa wahyu, sedangkan ia teras Quran. Ia tulang belakang Quran.” (halaman 73)

“Inilah kehebatan Quran. Ringkas dan pendek tapi cukup bermakna. Yang mencabar adalah memberi intipati makna kepada ayat ini supaya tak terjatuh dan gugur apa sahaja makna penting terkandung dalam beberapa ayat yang pendek tersebut sama ada tersurat atau tersirat” (halaman 126)

“Ada banyak mutiara dalam setiap ungkapan Quran. Quran memang tak pernah gagal mempesonakan kita” (halaman 128)

“Setiap perkara yang disebut dalam Quran secara kerap dan bertubi-tubi adalah satu tanda yang jelas bahawa isu itu bukan lagi isu orang perseorangan atau masyarakat, tapi isu negara dan pemerintah” (halaman 151)

“Quran sentiasa melihat kepada orang yang senang dipinggirkan dalam masyarakat atas apa saja alasan.” (halaman 155)

“Apabila seseorang membaca Quran, seseorang itu berasa seolah-olah dia sedang bercakap dengan Quran ataupun Quran sedang bercakap dengannya. Inilah kemuncak perasaan apabila seseorang membaca mana-mana ayat Quran dengan minda yang terbuka dan hati yang basah.” (halaman 164)

“Bawalah makna dan mesej surah al-Dhuha ini di rumah, kilang, pejabat, sekolah, ladang, jalan raya dan juga di semua tempat. Ia releven di mana mana sahaja.” (halaman 172)

Semoga Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar – Shariah Minds – Minda Syariah terus menulis buah-buah tadabbur al-Quran dengan pendekatan novel fiksyen sebegini, khusus surah-surah pendek dan lazim sebegini.

Dan semoga lebih ramai asatizah tadabbur dapat menyantuni masyarakat dan anak muda dengan pendekatan novel sebegini. Inshaallah!

Tahniah MDB !

“Insyirah”, you’ll be the next inshaallah !

Syaari Ab Rahman
Tadabbur Centre
18 Zulhijjah 1443 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started