PENGAJARAN DARI HENTIAN KEDUA ZULQARNAIN عليه السلام

Tiada perincian mengenai apa yang ditemui Zulqarnain di sana. Namun kalimah “kazalika” menunjukkan polisinya di hentian pertama sama sahaja dengan hentian kedua, tiada perubahan. Begitulah pemerintah yang soleh, semakin luas kekuasaan, dari Barat ke Timur, jatidiri dan polisi keadilannya tidak berubah. Sebaliknya pemerintah yang dijelaskan dalam kisah pemuda al-Kahfi dan hentian pertama Musa dan Khadir عليهما السلام, semakin bertambah kuasa mereka, semakin tinggi risiko kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa.

Tiada perincian mengenai apa yang ditemui Zulqarnain di sana. Kita amat mahukan perincian itu. Tidak bolehkah diiyakan sahaja segala cerita-cerita yang dibawakan ke telinga kita. Tidak senang duduk kita jika tiada pencerahan. Kita rasa kita amat terdesak mahukan informasi. Sesungguhnya di hentian kedua Zulqarnain ini, Allah sengaja menguji kita dengan “saya mahu tahu lebih lanjut” sebagaimana Musa عليه السلام diuji dengan hentian kedua yang amat amat memerlukan pencerahan dari hamba yang soleh itu. Sulitkah untuk serahkan kepada Allah sahaja pengetahuan sebenar mengenai hentian kedua itu ? Adakah semua perkara perlu kita ulas jika ada perkara telah dikhususkan pengetahuannya hanya untuk Allah ?

Penggunaan kalimah “hatta” dan bukan “ila” menunjukkan ada sesuatu yang besar telah ditemui di hentian kedua, sebagaimana hentian pertama dan ketiga. Barangkali ada sesuatu mengejutkan ditemui di sana. Ia satu “new discovery” bagi Zulqarnain, namun tidak bagi Allah al-Alim Al-Khabir. Sebelum Zulqarnain sampai, bumi hentian kedua sudah sempurna diketahui potensinya, penduduknya, cabarannya, serba-serbi mengenainya di sisi Allah. وقد أحطنا segala apa yang ada di laut (hentian pertama), darat (hentian kedua) dan pergunungan (hentian ketiga).

Wallahu a’lam

Syaari Ab Rahman
2 Zulhijjah 1443 H

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started