
Awalan surah Yusuf, rencana Tuhan amat halus, hingga tidak kelihatan kebaikan yang akan hadir selepas kesusahan. Disangka keburukan hingga diharap agar segeralah anak kecil itu diselamatkan ayahnya sendiri, namun telaga itulah yang telah menghantar Yusuf kepada pentas kekuasaan tertinggi di negara jiran.
Akhiran surah Yusuf, rencana Yusuf عليه السلام atas ilham dari Tuhan amat halus, hingga tidak kelihatan apa motif sebenar Yusuf memperlakukan ikhwahnya sedemikian. Disangka keburukan hingga tindakan baginda menyebabkan sang ayah akhirnya hilang penglihatan, namun kesakitan seketika itulah yang kelak menghantar ikhwah yang zalim kepada sujud dan taubat kepada Tuhan.
Awalan surah al-Kahfi, rencana Tuhan amat halus, hingga tidak pun kelihatan di hadapan mata pemuda al-Kahfi apa sebenarnya terjadi pada tubuh mereka sendiri. Tubuh yang hakikatnya telah melalui perjalanan masa 300 tahun lamanya, tidak diberi hak makanan dan tidak pula mengalami peraturan alam bernama penuaan, bahkan pemuda hanya terasa tidur mereka cuma semalaman.
Akhiran surah al-Kahfi, rencana Khadir dan Zulqarnain عليهما السلام atas ilham dari Tuhan amat halus, hingga tidak kelihatan apa sebenarnya setiap kebaikan yang mereka berdua rancang di setiap tiga hentian. Kekadang kita terlintas mahu memburuk-buruk tindakan Khadir di tiga hentian, sebagaimana kekadang kita terlintas memuji-muji tindakan Zulqarnain di tiga hentian, sedangkan keduanya عليهما السلام telah berjalan dengan rencana halus yang tidak kelihatan, rencana menyebarkan rahmah yang diwahyukan sendiri oleh Tuhan.
Ya Allah, kekalkan kami dengan kebaikan, berpandukan cahaya dari kalam-Mu al-Quran.
Leave a comment