Nikmat beraya kali ini bukan sekadar penyatuan semula semua adik beradik di sisi ibu tersayang selepas dua kali “raya PKP” tidak dapat melakukannya.
Bahkan pada bertemu semula keluarga besar Tuan Guru Haji Yaacob, dari dekat dan dari jauh dengan asbab kenduri kesyukuran perkahwinan dua orang adik saya, Abdul Azim Abdul Rahman dan Hajar Farhana Abdul Rahman.
Dapat bersembang semula dengan mak-mak ayah-ayah saudara yang hadir selepas bertahun-tahun tidak bertemu, bersembang sambil menikmati juadah kenduri tanpa ada gangguan ceramah dan mesyuarat, telefon dan laptop seakan-akan ghaib seketika, sungguh besar nikmat Tuhan kurniakan ini walau ia hanya seharian sahaja kami berkesempatan merasainya di Idulfitri kelima.
Berulang alik menempuh sesak jalan raya di sana sini, dari PLUS menuju Kedah hinggalah LPT dari Terengganu pulang ke Kajang, itulah harga yang perlu dibayar untuk silaturrahim ini terjalin.
Bersembang berhadap-hadapan, mengenang zaman nakal kecil-kecil dahulu dari lidah orang-orang tua yang membesarkan kita, melihat masa depan keluarga besar ini dengan anak-anak saudara yang sudah berumahtangga, terus mengingatkan kita mengenai nikmat syurga itu sendiri.
وَأَمْدَدْنَاهُم بِفَاكِهَةٍ وَلَحْمٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ
وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ
قَالُوا إِنَّا كُنَّا قَبْلُ فِي أَهْلِنَا مُشْفِقِينَ
Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini.
Dan (dengan berada dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.
Mereka berkata: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah).
At-Tuur: 22, 25, 26
Syurga yang sering digambarkan penduduknya bersembang sambil berhadap-hadapan, hidangan makan minum yang menyerikan perbualan, begitulah naratif al-Quran kepada syurga sehingga pertemuan berbentuk kenduri kesyukuran di Idulfitri sebegini memotivasikan kita semua untuk bertemu semula di Syurga.

Syaari Ab Rahman
9 Syawal 1443 H
Kajang
Leave a comment