TEMA “MENGHALANG” DALAM SURAH AL-HIJR

“Ha-ja-ra” ( ح – ج – ر ) bermaksud mencegah, MENGHALANG dan menutup sesuatu agar tidak ditimpa sesuatu yang lain (Ibnu Faris, Mu’jam al Maqayis).

Ayat 5 surah al-Fajr (هَلْ فِي ذَلِكَ قَسَمٌ لِّذِي حِجْرٍ) menjelaskan “zi hijr” sebagai pemilik akal yang sihat kerana akal itu MENGHALANG dirinya dari melakukan sesuatu yang di akhirnya akan membawa dirinya sendiri ke lembah kerugian dan kehinaan.

Ashab al-Hijr” pula merujuk pada kaum Thamud yang diutuskan Nabi Soleh عليه السلام. Uniknya, kaum Thamud tidak pernah disebut sebagai “Ashabul Hijr” dalam al-Quran melainkan hanya dalam surah ini sahaja.

Mengambil makna “ha-ja-ra” sebagai menghalang, kaum Thamud menyangka bahawa rumah-rumah mereka yang mereka pahat sendiri dari gunung-gunung batu kononnya boleh memelihara mereka dari apapun keburukan atau MENGHALANG mereka dari azab Allah menimpa mereka.

Awalan surah al-Hijr (ayat 2-3) memperihalkan kaum musyrikin yang sedang terseksa dalam neraka dalam keadaan mereka amat menyesali keadaan mereka di dunia dahulu yang TERHALANG dari hidayah Islam akibat dari pilihan mereka sendiri.

Kemudian surah al-Hijr (ayat 6-8) terus membicarakan mengenai TERHALANGNYA azab Allah yang dibawa para Malaikat dari menimpa sesiapa kaum melainkan pada masa yang telah ditetapkan ke atas mereka.

Kemudian surah al-Hijr (ayat 9) menegaskan pemeliharaan al-Quran hingga hari Kiamat dan TERHALANGNYA kalam Allah al-Quran ini dari terdedah pada perubahan dan penyelewengan manusia dan ahli agama yang mahu mengikuti hawa nafsu. Antara yang DIHALANG oleh Allah dari melakukan penyelewengan ke atas al-Quran ialah golongan “al-Muqtasimin” itu sendiri (ayat 90-92).

Kemudian surah al-Hijr (ayat 16-18) berbicara mengenai TERHALANGNYA syaitan dari mencuri berita ghaib di langit kerana kukuhnya pertahanan dan “buruj” di atas sana.

Kemudian surah al-Hijr (ayat 19-22) berbicara mengenai HALANGAN mempersenda rezeki Tuhan dengan menegaskan bahawa Allah jualah pemilik sebenar khazanah rezeqi di langit dan di bumi.

Kemudian surah al-Hijr (ayat 39-43) berbicara mengenai Iblis dan syaitan akan DIHALANG dari memperdaya orang beriman dan ikhlas walau mereka boleh menyesatkan selainnya.

Kemudian surah (ayat 48) berbicara mengenai adanya PENGHALANG dari ahli syurga keluar dari Syurga kerana Allah sendiri memelihara mereka yang sedang menerima besarnya nikmat di dalamnya.

Kemudian dipaparkan mengenai kisah azab kaum Nabi Syuaib dan kaum Nabi Luth (ayat 61-84) agar penyakit terkutuk yang mereka lakukan dalat DIHALANG dari tersebar kepada bangsa manusia yang lain pada waktu itu.

Kemudian surah al-Hijr (ayat 95) mula menutup tirai mengenai jaminan Allah sendiri untuk MENGHALANG sebarang konspirasi jahat kafir ke atas Nabi menemui kejayaan.

Allah juga MENGHALANG kaum mukminin dari terus menerus bercampur gaul dengan kamu musyrikin tanpa jelas identiti agama ini sendiri, maka dakwah secara terus terang mesti dilakukan (ayat 94)

Surah al-Hijr juga menutup tirai dengan Allah sendiri MENGHALANG Nabi SAW dan para Sahabat dari terpedaya dengan gaya hidup orang kafir dan MENGHALANG Nabi SAW dari sempit dada ke atas orang kafir dengan perintah tasbih dan sujud (ayat 97-98)

Wallahu a’lam

اللَّهمَّ لا مانعَ لما أعطيتَ ، ولا مُعطيَ لما منعتَ ، ولا رادَّ لما قضيتَ ، ولا ينفعُ ذا الجَدِّ منك الجَدُّ

Rujukan :
من دلالات أسماء السور في القرآن الكريم
‘Isa Wada & Mahmud Mehna (2019)

Leave a comment

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started