Antara legasi fikrah Shekh Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi رحمه الله ialah ketegasannya menjauhkan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam pentafsiran al-Quran.

Menerusi karya إسرائيليات معاصرة (2015) ini, Shekh menjelaskan “cengkaman” Israiliyyat tidak hanya sebatas sumber-sumber rujukan Yahudi mengenai kisah para anbiya’ yang penuh dengan kebatilan dan kesalahan, bahkan akar dan falsafah “Israiliyyat” itu telah melebarkan serangannya terhadap politik, ekonomi, peradaban, sosiologi, ilmu pengetahuan, institusi keluarga kaum muslimin khususnya dan kemanusiaan itu sendiri umumnya.
Lebih malang lagi, “Israiliyyat” sebegini telah merebak ke dalam pemikiran umat Islam sebagaimana riwayat-riwayat Israiliyyat itu sendiri.
Membaca karya ini terus mengingatkan saya pada perjuangan mahaguru Bani Israil sendiri iaitu Nabi Musa عليه السلام .
Makin jelas hikmah satu persatu kisah baginda dalam surah al-Qasas dan selainnya, dipersembahkan al-Quran dengan lebih penekanan kepada aspek-aspek “kerohanian” “akhlak Islam” dan “pemikiran Islam” yang menjadi agenda perjuangan baginda, dari Mesir hingga ke padang Tih.
Seolah-olah apa yang Shekh perjuangkan menerusi karya “Israiliyyat Moden” ini menjawab persoalan mengenai hikmah mengapa banyak kisah Nabi Musa bukan sekadar paling banyak dalam al-Quran, bahkan gaya penceritaan dan ibrahnya banyak memfokuskan pada sudut pandang akhlak, kesabaran dan kerohanian, lebih dari pendekatan penceritaan bersifat pensejarahan dan kronologikal semata-mata.
Di Mesir, al-Quran menonjolkan pelbagai sikap Bani Israil, dari mahu beragama tetapi selesa membiarkan kezaliman bermaharajalela, hinggalah kepada sikap keqarunan dan sengaja menonjol-nonjol kekayaan hingga menimbulkan cemburu dan hasad.
Di Madyan, al-Quran memperlihatkan sifat perikemanusiaan dan kesukarelawanan tanpa melihat ras dan bangsa, sifat malu ketika berinteraksi antara lelaki dan wanita, sifat suka berbicara dan empatinya mendengar, sehinggalah kepada kisah kelebihan penciptaan lelaki dan wanita sehingga tidak perlu mewujudkan persaingan yang saling menyalahkan dan merendahkan antara satu sama lain.
Menuju ke Palestin, diperlihatkan buruknya asabiyyah dan “hizbiyyah”, tindas menindas antara yang kuat dengan yang lemah, sehinggalah akhirnya sikap meninggalkan jihad kerana mahu takutkan mati.
Semua sikap inilah yang hilang dari “tamadun” tajaan Israiliyyat pada waktu ini.
Benarlah kisah-kisah al-Quran, khususnya kisah Bani Israil dalam al-Quran, ialah kisah kehidupan yang berulang-ulang, kisah yang membina kehidupan kepada hati-hati yang mengalami kekerasan dan kematian.
Benarlah kata al-Allamah Prof. Dr Yusuf al Qaradhawi bahawa antara hikmah banyaknya pengulangan kisah Nabi Musa dalam al-Quran ialah kerana itu musuh utama umat Islam pada waktu ini. Bukan batang tubuh mereka, tetapi pemikiran dan konspirasi jahat yang mereka persembahkan kepada ummat Muhammad.
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman
19 Rejab 1443 H
Leave a comment