Jika anda tercari-cari satu tafsir kontemporari yang menghimpunkan kemukjizatan al-Quran dari aspek bahasa Arab dan memfokuskan pada surah-surah tertentu sahaja sebagai pembuktikan kepada aspek kemukjizatan itu, inilah salah satunya.
Di dalam karya على طريق التفسير البياني ini, Dr Fadil Salih al Samra’i menghimpunkan empat tiang utaman “tafsir bayyani” iaitu فقه اللغة , فقه التصريف , فقه النحو dan فقه البلاغة untuk menjawab persoalan apa maksud kemukjizatan al-Quran sehingga ia mengatasi mukjizat bulan terbelah atau unta betina keluar dari bukit batu atau tongkat kayu bertukar menjadi ular gergasi atau mayat mati hidup semula berkata-kata.
Betapa pentingnya ilmu nahu sehingga jika seseorang itu menukar baris atas (fathah) pada huruf ha kepada baris hadapan (dhammah) pada kalimah Allah di ayat (إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ) , boleh mengubah makna dan menjadikan dia jatuh kufur jika ia disengajakan.
Al-Quran sangat teliti memilih perkataan. Ibnu Abbas RA ketika membezakan بلى dan نعم pada ayat (أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ). Beliau berkata “jika mereka menjawab نعم , telah kufurlah manusia semua kepada Tuhannya”.
Begitulah juga ketika Allah berfirman (فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ . الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ. ). Jika Allah menyebut في صلاتهم ساهون dengan عن ditukar kepada في, maka tiada siapa pun akan selamat dari api neraka termasuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana Nabi pernah terlupa salah satu rukun dalam solatnya sehingga baginda melakukan sujud sahwi. Sebab itulah Anas RA berkata ( الحمد لله على أن لم يقل في صلاتهم ).
Di bahagian muqaddimah, penulis telah berterus terang dan berpesan agar pembaca – khususnya bukan bidang bahasa Arab – bersabar dengan kesabaran yang tinggi untuk memahami apa yang bakal dihidangkan dalam 4 jilid karya terbitan Dar Ibnu Kathir dan membahaskan 14 surah dari al-Quran.
Dalam jilid yang pertama, penulis membicarakan tafsir surah-surah pendek al Falaq, al Naas, al Ikhlas, al Kauthar, Quraish, al Dhuha, dan al Lail.
Terdapat juga surah panjang dibahaskan dalam jilid pertama ini iaitu surah al Insan, al Saff dan al Hadid.
Dalam jilid kedua pula, penulis membicarakan tafsir surah Yaasin dan Luqman.
Jilid ketiga pula membahaskan surah Hud.
Jilid terakhir pula membahas surah al-Anbiya
Wallahu a’lam




Leave a comment